Saturday, February 24, 2018

Penyakit Beguk Boleh Berjangkit Kepada Kanak-kanak


Rasa perit, tidak selesa, sakit ketika menelan air liur dan mengunyah, sakit di bahagian telinga dan leher serta ada kalanya menyebabkan sakit kepala akibat bengkak yang berlaku di belakang telinga sehingga ke dagu.

Penyakit Beguk Boleh Berjangkit Kepada Kanak-kanak

Itu antara kesakitan yang terpaksa ditanggung individu yang dijangkiti beguk (mumps) yang disebabkan oleh kuman paramyxoviridae daripada virus genus rubula yang lazimnya menyerang di bahagian kelenjar air liur terutama kelenjar parotid.

Biasanya beguk menyerang golongan dewasa, namun kanak-kanak juga tidak terlepas dari serangan virus tersebut akibat jangkitan daripada orang dewasa sama ada melalui sentuhan, batuk atau bersin mahupun percikan air liur penghidap.

Pun begitu, sejak vaksin diperkenalkan, kanak-kanak kurang berisiko dijangkiti beguk, namun kegagalan mereka mendapat suntikan ulangan vaksin pencegahan jangkitan itu menyebabkan mereka mudah dijangkiti virus berkenaan apabila meningkat usia.

Beguk bukanlah satu virus yang berbahaya kepada mereka, namun memberi rasa tidak selesa kepada kanak-kanak terutamanya boleh menyebabkan selera makan mereka berkurangan.

Ini kerana keadaan itu boleh berlaku apabila jangkitan virus berkenaan menyebabkan mereka sukar untuk mengunyah makanan akibat bengkak di bahagian leher dan telinga selain daripada sukar menelan makanan.

Mereka yang terkena beguk, sebenarnya telah dijangkiti virus tersebut sekitar seminggu sebelum bengkak di leher kelihatan lazimnya sekitar 10 hingga 12 hari.

Tanda-tanda Dijangkiti Beguk

Antara tanda-tanda mereka telah diserang termasuklah sakit kepala, hilang selera makan, letih dan demam.

Ibu bapa yang menyedari anak-anak mereka mempunyai tanda seperti ini perlu bawa anak mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera selain perlu mengasingkan mereka agar virus itu tidak berjangkit dengan orang lain.

Bagi mengelakkan kesakitan yang lebih teruk, elakkan memberi makan makanan yang masam atau yang keras. Beri makanan lembut seperti bubur atau mi sup kerana lebih mudah ditelan.

Bagi mengelakkan kanak-kanak dijangkiti beguk, suntikan vaksin ulangan perlu diberikan ketika umur mereka mencecah empat hingga lima tahun.

Pada usia kanak-kanak setahun vaksin ini perlu diberi dan diulang sebagai tambahan pada usia lima tahun, kegagalan mereka mendapat imunisasi tersebut boleh menyebabkan kanak-kanak dijangkiti virus itu.

Lazimnya jika terkena beguk, ibu-ibu sering menggunakan rawatan tradisional seperti menyapukan nila di bahagian yang terkena beguk tersebut.

Tidak dinafikan rawatan tradisional itu berkesan, tiada salahnya menggunakan kaedah turun-temurun berkenaan kerana fungsinya adalah untuk menyejukkan bengkak.

Kita boleh menggunakan apa sahaja cara yang tidak memudaratkan untuk menyejukkan kawasan yang dijangkiti kerana dengan secara tidak langsung ianya dapat mengurangkan kesakitan.

Secara perubatan tiada rawatan spesifik, rawatannya adalah untuk mengurangkan sakit iaitu dengan memberi ubat bagi mengurangkan bengkak,mengurangkan sakit dan menyembuhkan demam.

Doktor biasanya tidak akan memberikan antibiotik kecuali jika ada bakteria atau virus lain di kawasan jangkitan tersebut.

Kanak-kanak yang dijangkiti beguk kurang mengalami komplikasi kepada penyakit yang lain, namun virus yang menyerang kelenjar air liur itu boleh menyebabkan berlakunya masalah kepada pendengaran jika tidak dirawat dengan segera.

Biasanya untuk tempoh tertentu, pendengaran kanak-kanak yang dijangkiti beguk akan mengalami masalah, namun biasanya selepas beguk hilang, pendengaran akan kembali pulih.

Namun, jika beguk menyerang orang dewasa, penghidap perlu lebih berhati-hati kerana beguk boleh menyebabkan beberapa masalah lain seperti meningitis (radang lapisan otak), pankreatitis (radang pankreas), orkitis (radang testis) dan ensefalitis (radang otak).

Ibu yang menyusukan bayi juga boleh memberi jangkitan beguk kepada bayi, iaitu melalui percikan air liur atau kurangnya penjagaan kebersihan ketika menguruskan bayi berkenaan.

Oleh itu, mereka dinasihatkan agar memakai penutup mulut dan hidung ketika menyusukan anak bagi mengelakkan risiko beguk menjangkiti anak mereka.

Beguk memang tidak kelihatan berbahaya, tetapi kanak-kanak yang diserang beguk boleh menyebabkan mereka menjadi lemah, malah terpaksa menahan kesakitan yang sama seperti ditanggung oleh orang dewasa.

Justeru, ibu bapa tidak boleh mengambil mudah tentang masalah beguk kerana dibimbangkan membawa kepada masalah lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Merawat Penyakit Beguk Anak Anda

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon