Tuesday, February 20, 2018

Kekayaan Berdasarkan Kasta Di Malaysia

Loading...

Apabila dinyatakan ramai orang Malaysia yang merungut tentang kesempitan hidup, kos sara hidup yang semakin memuncak dan pengangguran yang semakin meruncing, jawapan teramat dangkal yang biasanya diberikan antara lainnya ialah seperti dibawah.

Kasta Kekayaan Di Malaysia
Gambar hiasan.

a. Eh, kalau ekonomi tak baik, bagaimana pula ramai rakyat Malaysia yang bercuti dan berbelanja di luar negara?

b. Indeks konsumer kita tinggi. Itu bermaksud ramai orang berbelanja besar. Jadi, ekonomi kita baguslah.

c. Ada pula seorang yang terkenal memuat naik carta jualan kereta Honda di Malaysia untuk menunjukkan banyak sekali kereta Honda yang dibeli tahun lalu. Jadi implikasinya ialah ekonomi kita baik.

Apa sebenarnya yang rakyat rungutkan?

Alangkah mudahnya kalau konklusi makro ekonomi kita dapat dirumuskan dengan begitu mudah dan sebegitu alpa dan bersahaja.

Adakah mereka ini semua tidak sedar apa sebenarnya yang dirungutkan oleh masyarakat dan siapa sebenarnya merungut?

Rakyat bukan merungut tak boleh pergi Paris dan shopping di New York.

Rakyat juga tak pernah merungut mereka tidak boleh shopping di Pavilion atau Suria KLCC.

Rakyat juga tak pernah merungut mereka tak boleh beli Honda City atau Civic.

Sebenarnya, rakyat merungut mereka tak mampu beli tepung, petrol, roti canai, nasi lemak, baju dan seluar bundle, kasut Adidas tiruan atau hot dog di tepi jalan.

Mereka merungut tak larat bayar bil elektrik.

Mereka merungut tidak ada duit hendak menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Malah nak beli pakaian seragam sekolah pun mereka bermasalah.

Rakyat yang merungut mengenai perkara di atas bukan berniat pun hendak melancong ke Singapura atau Thailand. Apa lagi ke London sambil hisap curut sebatang RM165 dan "berwefie" di tepi jalan di Bayswater atau di pinggir Harrods.

Malah, ada di antara mereka yang tidak pernah pun datang ke Kuala Lumpur.

Kita lihat sekarang ini, taraf perekonomian masyarakat di Malaysia seperti berkasta.

Dari segi pemerhatian mata kasar, kasta-kastanya boleh dilihat daripada kereta yang ahlinya memandu atau dipandu di dalamnya, yakni, secara umumnya seperti berikut (dari yang teratas sehingga terbawah:

A. Kasta Lamboghini, Ferrari dan Bentley.

B. Kasta Mercedes S Class dan BMW 7 series.

C. Kasta Mercedes E Class dan BMW 5 series.

D. Kasta Honda Accord dan Proton Perdana.

E. Kasta Toyota Vios dan Honda City.

F. Kasta Proton Saga, Kancil dan kereta tua.

G. Kasta Kapchai.

H. Terletak di antara kasta D-G, kasta LRT dan MRT.

Kasta Lamboghini, Ferrari dan Bentley ini terlampau jauh meninggalkan kasta-kasta lain dari segi kebolehan berbelanja.

Mereka inilah yang ke luar negara naik kelas pertama atau business class (malah ada yang naik private jet), yang hisap cerut masuk Instagram di Bayswater dan membeli-belah di Harrods London atau La Fayette Paris dan sebagainya.

Anak-anak mereka di luar negera malah, ada yang pergi ke pejabat naik helikopter. Hadir acara alumni pun dengan helikopter.

Kasta B pun tak boleh kejar kasta A ini.

Kasta B pun ke luar negara juga. Tapi tidaklah sehebat kasta A.

Anak-anak kasta ini mungkin bersekolah di international school dan private colleges sebelum ke luar negara.

Ahli-ahli kasta ini ialah CEO dan mereka yang mempunyai perniagaan yang besar dan berjaya.

Kasta C ke luar negara juga tetapi mungkin tiga tahun sekali. Anak-anak mereka di sekolah swasta.

Kalaupun anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara, mungkin di bawah program berkembar sahaja.

Ahli-ahli kasta C ini ialah golongan profesional secara amnya. Mereka ini berpelajaran tinggi tetapi mungkin tidak secemerlang seperti kasta B.

Kasta D dan E akan ke Singapura, Thailand, Indonesia sahaja. Sekali-sekala mereka ambil tour ke Eropah. Kasta D dipenuhi dengan penjawat awam di posisi tinggi. Mereka berpelajaran tetapi memilih untuk bekerja kerajaan.

Di dalam golongan E pula ialah graduan-graduan yang bekerja selama dua hingga lima tahun.

Ramai daripada mereka yang tersangkut di dalam income trap. Maksudnya, kaya pun tidak, miskin pun tidak. Mampu beli kereta. Tapi agak susah hendak membeli rumah. Boleh minum kopi kat Starbucks tapi nak pergi hotel lima bintang belum tentu boleh.

Kasta F dan G inilah yang amat susah kehidupan mereka. Merekalah yang merungut tentang kesempitan hidup dan keruncingan pendapatan yang amat ketara.

Dan merekalah yang paling besar jumlahnya jika dibandingkan dengan jumlah ahli kasta yang lain.

Di dalam lingua kerajaan, mereka inilah yang kita kategorikan sebagai golongan B40. Yang menerima BR1M, yang kais pagi makan tengahari dan kais petang makan esok pagi.

Inilah yang kita panggil jurang pendapatan.

GDP dan indeks konsumer tidak akan dapat menyerlahkan jurang pendapatan.

Jurang inilah yang makin meruncing dan jurang inilah yang kita seolah-olahnya pejam mata dan tak mahu tengok mahupun bincang.

Semata-mata dengan mengatakan ramai yang ke luar negeri dan berbelanja sakan dan ramai yang beli Honda tak bermaksud kasta-kasta F dan G ini senang lenang dan tak wujud.

Rungutan mereka tak ada kena mengena dengan bercuti ke luar negara atau dengan membeli Honda.

Rungutan mereka adalah terlebih basic daripada itu.

Yang sedihnya ialah, kalau kita kaji ahli-ahli kasta A ini dan kita selidik faktor-faktor yang memangkinkan mereka ke dalam kasta A, ramai di antara mereka tak berhak pun untuk berada di dalam kasta A kerana:

*Ilmu dan kualifikasi pelajaran mereka tak setinggi mana.

*Intelek mereka pun tak seberapa.

Jadi persoalannya, kenapakah begitu? Bagaimanakah ahli-ahli kasta A boleh berada dalam kasta A walaupun mereka, dari segi tahap keinsanan universal, tidak seberapa?

Misteri orang kaya Kasta A

Kita kemudiannya mesti kaji kenapa boleh terjadi sedemikian? Kita perlu lihat bagaimana mereka boleh melonjak ke dalam kasta A?

Kita tengok siapa mereka dan siapa kawan mereka serta siapa kontek mereka.

Maka akan terjawaplah misteri ini.

Maka timbul pula persoalan berikutnya, yakni:

Apakah distribusi peluang (distribution of opportunity) yang dipraktiskan di negara kita seimbang?

Pada 2018 ini, kita tidak lagi sepatutnya bercakap mengenai distribusi kekayaan atau "distribution of wealth."

Negara-negara tidak lagi kaya seperti dahulu kala.

Distribution of wealth ialah satu konsep lampau dan hampir mansuh.

Pentadbiran adil atau pun yang mengamalkan distributive justice di tahun 2018 ialah mengenai distribusi peluang. Yes, distribution of opportunities.

Dalam konsep ini, saya cadangkan setiap insan itu akan dapat maju ataupun memajukan diri sekiranya ada peluang atau diberi peluang yang secukupnya dan sama-rata.

Kalau selepas diberi peluang pun, dia masih gagal, maka itu kelemahan dia.

Orang yang berpeluang ke Universiti Oxford sudah tentu akan jauh tarafnya daripada orang yang tidak berpeluang.

Namun, orang yang tidak berpeluang itu, dari segi teorinya, mungkin akan setaraf sekiranya diberi peluang yang sama.

Apakah kita mahu tanamkan kepala dan terus menerus berendam di dalam konsep kuno distribution of wealth sebagaimana yang dicuba untuk di implementasikan di dalam Dasar Ekonomi Baru (yang terbukti gagal).

Atau kita mahu selidik dan menukar arah ke teori alaf 2000 dan memberikan peluang yang serupa kepada semua individu?

Sampai masanya, untuk kita memartabatkan keindividuan setiap rakyat kita.

Kita mulakan dengan anggapan semua kita adalah makhluk yang mempunyai kebolehan. Cuma yang kita perlukan ialah peluang.

Mungkin dengan peluang yang cukup, kasta Kapchai akan dapat melonjak ke kasta Bentley dan sebagainya.

BACA INI JUGA: Wang Zakat Berjuta Ringgit, Orang Miskin Hidup Melarat

sumber: TMI

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

2 comments

tak boleh pakai semua ni, sebagai contoh Kasta G,(kapchai)Ada seorang pemuda pakai kapchai di kuala Lumpur, bukan dia tak mampu,gaji pun Rm47,000-50.000 sebulan kerja sebagai Pengacara tv. tapi dia nak elak jalan jem pergi kerja dan dia memang suka naik motor.
Senario kedua, seorang pemuda membawa kereta Audi A8, gaji mgkin dalam 2,+++ memang tak mampu nak pakai kereta tu, tapi kerjanya adalah sebagai driver, jadi nampak dia macam dalam Kasta kelas B.Fantasi yang kita nampak sorang kaya sorang sederhana, tapi realitinya tidak!

Jadi macamana sebenarnya yang betul tu tuan? ;)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon