Isnin, Januari 15, 2018

Benarkah Hadis 'Tidur Selepas Asar Hilang Akal'?


Apakah status hadis, “Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”

Benarkah Hadis 'Tidur Selepas Asar Hilang Akal'?

Jawapan: Sesungguhnya ALLAH SWT menjadikan setiap insan atau tubuh badan manusia itu memerlukan kepada rehat secukupnya. Tidur merupakan salah satu cara untuk seseorang itu merehatkan badannya.

Hal ini telah dikhabarkan oleh ALLAH SWT di dalam kitab- Nya yang suci, “Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat. (al-Naba’: 9)

Kata Imam Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat ini, tidur itu adalah memutuskan pergerakan bagi tujuan merehatkan diri daripada banyak bergerak dan berjalan pada urusan kehidupan bagi menempuh waktu siang. (Lihat: Tafir Ibn Kathir, 307/8)

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan beberapa pendapat para ulama dalam menentukan status hadis ini.

Imam Ibn Hibban mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Khalid bin al-Qasim dan dia menyambung riwayat-riwayat yang terputus, menrafa’kan riwayat-riwayat yang mursal dan juga menyambung riwayat-riwayat yang mawquf maka tidak boleh menulis riwayatnya.

(Lihat: al-Majruhin, 334/1) Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadis ini sebagai tidak sahih. (Lihat: al-Mawdhu’at, 252/2) Imam al-Zahabi mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Khalid bin al-Qasim yang dituduh berdusta. (Lihat: Tartib al- Mawdhua’at, 239) Imam al-Haithami mengatakan perawi bernama Amr bin al- Husain seorang yang matruk. (Majma’ al-Zawaid, 119/5) Imam al-Syaukani mengatakan bahawa di dalam sanad hadis ini terdapat perawi yang berdusta. (Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 216) Syeikh al-Albani menilai hadis ini sebagai dhaif. (Silsilah al- Ahadith al-Dhaifah, 112/1)

Berdasarkan beberapa pendapat para ulama di atas, kita memahami bahawa sebahagian pendapat ulama mendhaifkan hadis ini dan sebahagian yang lain mengatakan hadis ini palsu.

Maka dengan itu, kami berpandangan bahawa hadis tersebut adalah teramat lemah kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta.

Maka dengan itu, kami nyatakan bahawa tiada hadis sahih yang melarang tidur selepas asar.

Akan tetapi, jika dikatakan tidur pada waktu ini boleh menghilangkan akal berdasarkan kepada tajrubah dan ia boleh membawa kepada mudarat maka ia sebaiknya perbuatan ini mestilah dijauhi kerana setiap insan itu mesti menjauhkan dirinya daripada perkara yang boleh memudaratkan dirinya.

Di samping itu, jika seseorang itu memerlukan atau berhajat untuk tidur pada waktu tersebut maka ia dibolehkan.

Kesimpulan

ALLAH SWT menjadikan tidur untuk kita berehat kerana pada waktu siang manusia sibuk bekerja untuk mencari rezeki.

Maka tidur pada waktu malam dapat mengembalikan tenaga untuk bekerja pada keesokan harinya dan begitulah sebaliknya bagi yang bekerja pada waktu malam.

Ini kerana, tanpa tidur yang secukupnya maka akan tergendalalah segala usaha yang ingin dilakukan pada hari-hari yang berikutnya.

Akhir sekali, semoga ALLAH SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang sihat rohani dan jasmani agar kehidupan dapat diteruskan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kenapa Hadis Palsu Dicipta?

sumber: sinarharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon