Wednesday, January 24, 2018

Kebetulan Kisah Novel Yang Sangat Mengerikan


Bagaimana agaknya perasaan anda apabila mengetahui kejadian yang berlaku di alam nyata persis seperti jalan cerita dalam novel yang pernah anda baca? Pastinya menakutkan kerana wujudnya penulisan mengenai peristiwa benar sebelum ianya benar-benar terjadi.

Kebetulan Kisah Novel Yang Sangat Mengerikan

Kejadian misteri ini dilaporkan berlaku suatu ketika dulu kepada Edgar Allan Poe, seorang penulis novel jenayah dan misteri.

Pada tahun 1838, beliau telah menghasilkan prosa cereka yang panjang berjudul 'The Narrative of Arthur Gordon Pym of Nantucket'.

Selepas diterbitkan, penulisan Edgar mendapat kritikan kerana di dakwa menghasilkan novel tidak bermutu.

Novel tersebut menceritakan tentang pelayaran Arthur Gordon Pym bersama amak-awak kapal.

Suatu hari, telah berlaku perbalahan dikalangan mereka disebabkan rasa tidak puas hati antara satu sama lain.

Pemberontakan yang berlaku menyebabkan kapal bernama 'Grampus' dirampas dan berlaku pembunuhan sehingga mengorbankan hampir semua anak kapal.

Arthur yang masih hidup mula menyusun strategi untuk merampas semula kapal daripada pemberontak.

Rancangan tersebut dilakukan bersama dua orang rakan yang terselamat iaitu Dirk Peters dan Augustus.

Usaha mereka berhasil apabila berjaya merampas semula kapal Grampus dan membunuh kesemua pemberontak.

Mayat-mayat yang bergelimpangan dibuang ke laut kecuali seorang lagi yang terselamat iaitu Richard Parker dan bernasib baik diterima sebagai awak-awak kapal untuk membantu pelayaran mereka.

Kemudian, Arthur dan kumpulannya meneruskan pelayaran ke destinasi yang dituju.

Malangnya, pelayaran mengambil masa yang lama menyebabkan mereka kehabisan bekalan makanan dan mereka berempat terpaksa menahan lapar berhari-hari sehingga menjadi lemah dan tidak berdaya.

Selepas menemui jalan buntu, keputusan dibuat dengan cara salah seorang daripada mereka perlu dikorbankan untuk dijadikan makanan.

Richard Parker kemudiannya dibunuh untuk dijadikan ratahan kanibal ketiga-tiga yang lain.

***

Itulah sebahagian daripada sinopsis novel yang ditulis oleh Edgar Allan Poe.

Namun, siapa sangka penceritaan dalam novel tersebut benar-benar berlaku pada tahun 1884.

Seorang kapten bernama Tom Dudley melakukan pelayaran bersama tiga orang individu menaiki kapal 'Mignonette'.

Dalam pelayaran tersebut, Tom dibantu oleh dua orang rakan dan seorang remaja lelaki yang bekerja di kabin kapal.

Perjalanan menuju ke Australia dari pelabuhan Southampton secara tiba-tiba dilanda badai ketika berada dipertengahan laut, menyebabkan kapal mereka karam menenggelamkan semua barang.

Mereka berempat sempat menaiki sebuah perahu dan berada dalam keadaan sehelai sepinggang.

Disebabkan lapar tanpa bekalan makanan, mereka perlu mengorbankan salah seorang diantara mereka. Keputusan terlalu sukar namun tiada pilihan demi bertahan untuk hidup.

Suatu hari, remaja lelaki pekerja kabin meminum air laut bagi menghilangkan dahaga namun, disebabkan rasa haus melampau dia minum terlalu banyak.

Selepas beberapa ketika, remaja itu mula tidak sedarkan diri, lalu detik itu menjadi peluang keemasan untuk mereka yang lain untuk membunuh mangsa.

Dagingnya diratah sehingga kenyang manakala bekalan makanan dikatakan cukup buat mereka sehingga satu bulan.

Tidak lama selepas itu, ketiga-tiga mereka berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Biarpun sudah selamat, perasaan bersalah muncul dalam diri Tom Dudley dan rakan-rakannya.

Mereka kemudiannya membuat pengakuan tentang pembunuhan yang telah dilakukan dan sebagai hukuman mereka diarahkan untuk melakukan kerja paksa selama enam bulan.

Peristiwa itu juga membuatkan Kapten Tom Dudley digelar sebagai Tom Kanibal.

***

Kejadian itu telah menimbulkan tanda-tanya orang ramai apabila mengetahui kisah tersebut pernah wujud dalam sebuah novel.

Sejak itu, Edgar Allan Poe dianggap seorang individu yang mampu melihat masa depan kerana ramalannya yang menjadi realiti.

Apa yang lebih misteri dan amat memeranjatkan adalah, remaja yang dibunuh juga dikenali sebagai Richard Parker.

Adakah ia satu kebetulan?

BACA INI JUGA: Kisah Benar Novel Yang Mencari Penulisnya!

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon