Saturday, January 27, 2018

Apa Itu OPR Dan Interest Rate Bank Negara Dan Kesannya Kepada Nilai Wang?


Overnight Policy Rate (atau Kadar Dasar Semalaman) adalah kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia, sebagai ukuran jumlah nilai faedah dikenakan oleh bank yang memberikan pinjaman kepada bank lain yang meminjam sejumlah dana (duit).

Apa Itu OPR Dan Interest Rate Bank Negara Dan Kesannya Kepada Nilai Wang?

Duit yang ada dalam sesebuah bank boleh jadi bertambah atau berkurang setiap hari, bergantung pada aktiviti seperti pengeluaran atau deposit oleh pelanggan.

Untuk mudah faham, bank akan meminjamkan sebanyak mungkin wang kepada pelanggan setiap hari. Sebab ini adalah salah satu cara bank buat duit.

Dan bila sudah tamat waktu operasi, ada bank yang mempunyai lebihan atau kekurangan duit dalam simpanan mereka.

Bank pula perlu memastikan jumlah tertentu dikekalkan dan disimpan dalam bank setiap hari.

Bila terjadi antara 2 situasi ini, bank (yang tak cukup duit) terpaksa meminjam sejumlah duit dari bank lain untuk satu tempoh masa (semalaman).

Mereka akan meminjam daripada bank lain (yang mempunyai lebihan dana) atau kepada BNM sendiri.

Dan pembiayaan ini akan dikenakan Kadar Faedah Semalaman (OPR) yang telah ditetapkan oleh BNM. Semua ini bagi memastikan sistem perbankan kekal stabil.

OPR hanya dikenakan kepada institusi kewangan dan bukan kepada pelanggan (kita).

Pengurangan kadar OPR akan memberi kesan kepada kos pinjaman antara bank, yang akhirnya akan menjurus kepada kesan berangkai.

Sejarah penurunan kadar OPR negara kita

Pada tahun 2017 lalu, OPR dikurangkan menjadi 3% berbanding 3.25% pada 2016, dengan pengurangan 25 mata asas.

Dan ini adalah pengurangan pertama dalam tempoh 7 tahun (yang dibuat pada tahun 2009, masa ekonomi negara dilanda kegawatan).

Tahun 2009, kadar OPR merekodkan kadar terendah sebanyak 2% dan telah dinaikkan sekali lagi pada tahun 2010 menjadi 2.75%.

Pada tahun 2011 pula, kadar itu meningkat lagi menjadi 3% dan kekal hingga tahun 2013 dan 2014 hingga 2015, ia meningkat kepada 3.25%.

Sebelum 2009, kadar OPR mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah (8.25%).

Ini berlaku pada tahun 1998 semasa kemelesetan ekonomi dan jatuh secara drastik pada tahun 1999 kepada 3.25%.

Sementara itu, kadar siling dan kadar lantai koridor bagi OPR masing-masing dikurangkan kepada 3.25% dan 2.75%.

Apa sebab pengurangan OPR ini dibuat?

Sebab utama adalah ketidak tentuan pasaran global, yang dilihat boleh memberikan impak negatif kepada negara kita.

Ini boleh dikaitkan secara langsung dengan Brexit (United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah).

Brexit meletakkan pasaran global dalam bahaya dan BNM terpaksa mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi negara kita daripada ancaman risiko luaran.

Menjawab soalan anda – Apakah kesan penurunan OPR pada kita?

Perubahan OPR akan mempengaruhi perkara penting yang lain, yang memberikan kesan secara langsung kepada rakyat biasa.

Tindakan ini dibuat supaya rakyat dapat survive dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Ini termasuk faedah pinjaman (loan interest), faedah simpanan tetap (fixed deposit interest), faedah simpanan (savings interest) dan lain-lain.

Selain mengurangkan beban rakyat, langkah ini juga akan memberikan rangsangan kepada ekonomi negara.

Dibawah ini antara perkara yang akan terkesan:

1. Langkah mengurangkan inflasi

Pengurangan OPR diramal akan mengurangkan inflasi negara.

2. Pengurangan Base Rate (BR) dan Base Lending Rate (BLR)

Perubahan ini secara langsung akan mempengaruhi kadar pinjaman, dimana bank akan menyesuaikan kadar pinjaman mereka pada kuantum yang sama.

Contohnya, pembeli akan melihat pengurangan dalam pembayaran bulanan kalau bank mengurangkan Kadar Asas (BR) sebanyak 0.25%.

Ini akan meningkatkan kapasiti perbelanjaan kita.

Selepas pengumuman rasmi penurunan OPR, Maybank mengurangkan kadar faedah sebanyak 20 mata asas.

Manakala BR semasa (3.20%) dikurangkan menjadi 3%, dan BLR semasa (6.65%) dikurangkan menjadi 6.65%.

CIMB Bank juga mengurangkan mata asas yang sama seperti Maybank (20 mata asas).

BR dikurangkan menjadi 3.90% daripada 4.10%, dan BLR pula berubah kepada 6.75% daripada 6.95%.

Dengan ini, kadar faedah untuk pinjaman kadar terapung yang sedia ada (existing floating rate) akan diselaraskan secara wajar. Bermakna, pinjaman baru akan mengikut kadar yang baru ditukar.

Hasilnya, peminjam akan membayar pinjaman gadai janji yang lebih rendah (jika OPR diturunkan) berbanding sebelum ini.

Dan kalau kadar ini dikekalkan, simpanan mereka akan menjadi lebih tinggi untuk jangka masa panjang.

3. Kesan kepada nilai simpanan dan fixed deposit

Pengurangan OPR bukan satu berita baik buat mereka yang mempunyai simpanan yang tinggi dan juga simpanan tetap. Sebab faedah ke atas akaun-akaun ini juga akan berkurang.

Penyimpan akan mendapat faedah yang lebih rendah berbanding sebelum ini, sebab bank akan mengurangkan kadar faedah kepada 20 hingga 25 mata asas.

Senang cerita, penyimpan tak banyak buat untung.

Nota penting: Antara alternatif yang boleh anda lakukan adalah menyimpan dalam Tabung Haji atau ASB. Dua instrumen ini tidak terkesan dengan penurunan OPR.

4. Kesan kepada pinjaman lain

Pinjaman lain seperti pinjaman sewa beli (hire purchase loan), pinjaman peribadi dan juga kad kredit akan turut sama terkesan dengan penurunan OPR.

Ini sebab bank akan mengurangkan kadar faedah pada kadar segera (bila BNM sudah mengumumkan penurunan OPR secara rasmi).

Kadar pengurangan ini pula berbeza, bergantung kepada setiap bank yang ada dan yang pasti, orang ramai akan mendapat manfaat daripada pengurangan OPR (jika dikurangkan).

5. Impak kepada Real Estate Investment Trust (REIT)

Amanah pelaburan hartanah Malaysia akan turut mengalami peningkatan penurunan OPR. Sebab pelabur juga dapat menikmati pembayaran faedah yang lebih rendah.

Penurunan OPR menjamin simpanan yang lebih banyak dan juga pendapatan boleh-guna (disposable income) yang lebih besar dikalangan pelabur.

Ini akan meningkatkan keuntungan pelaburan mereka.

6. Akan Mengukuhkan Ringgit Malaysia

Setiap kali pengumuman rasmi Bank Negara Malaysia apabila menurunkan kadar OPR, mata wang negara menunjukkan peningkatan berbanding banyak mata wang utama yang lain di dunia.

RM dilihat kukuh berbanding US Dollar, Singapore Dollar, Yen, dan juga Pound Sterling. Siapa yang tak suka kadar OPR turun?

Penurunan ini tidak memberikan faedah kepada institusi kewangan sebab ia akan menambah lebih banyak tekanan kepada bank.

Tapi, pengurangan ini dilihat masih lagi dapat dikawal oleh bank-bank tertentu seperti Maybank, AmBank, dan Affin Holding.

Inilah sebab mengapa pinjaman berkadar tetap (fixed rate loans) mereka meliputi hampir 30% daripada portfolio pinjaman mereka.

Dan yang paling jelas, orang awam akan dapat menikmati pelbagai manfaat daripada penurunan OPR.

Menurut beberapa pandangan pakar, penuruan OPR juga boleh menjadi sia-sia kalau seseorang itu tidak memiliki kemahiran pengurusan kewangan yang baik.

Tabiat berbelanja yang keterlaluan juga boleh menyebabkan masalah, walaupun kadar OPR diturunkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: gilahartanah

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon