Wednesday, December 13, 2017

'Masyaa-Allah Awak Sangat Beriman Kerana Menaikkan Harga Barang'


Jika anda masuk ke kedai dan mendapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa, lalu dia menjawab, “Allah menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata, “Masya-Allah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman”. Ataupun anda akan marah dan berkata, "Awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!”

'Masyaa-Allah Awak Sangat Beriman Kerana Menaikkan Harga Barang'

Apa yang jelasnya, negara sedang berhadapan dengan skandal berbilion ringgit, rasuah dan penyelewengan. Pengawalan harga barang dan kos sara hidup ialah amanah yang diberi rakyat kepada pemimpin.

Memang benar semua perkara berlaku dengan izin Allah namun apa yang Dia izinkan, bukan semestinya Dia reda.

Demikian juga apa yang Dia reda bukan semestinya Dia izinkan. Dia tidak reda kezaliman Firaun, tetapi Dia mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang dicipta-Nya.

Angkara politik tersepit

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini mendapat reaksi ramai apabila berkata, isu harga barang naik bukan masalah baru malah telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Membaca terjemahan hadis diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas bin Malik, Hamzah menjelaskan ada sahabat meminta Rasulullah menetapkan harga barangan untuk mereka.

Isu kos sara hidup yang tinggi juga menjadi perhatian ramai apabila Datuk Sheila Majid menyentuhnya menerusi Twitter pada 5 Disember lalu.

Kata penyanyi itu rakyat mengeluh tentang keadaan semasa ekonomi dan bosan kerana 'diperah' akibat hutang yang bukan berpunca daripada mereka.

Ekoran itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan Sheila sebagai meroyan sambil menegaskan bahawa kadar pengangguran di Eropah lebih teruk berbanding Malaysia.

Mufti

Dalam konteks ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, telah mengulas balas dengan panjang lebar.

Menurut Mohd Asri, jika kenaikan harga barang bukan disebabkan perancangan buruk manusia - sebaliknya secara semula jadi dan penetapan harga barang akan menzalimi para peniaga - maka hadis itu dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.

Namun, jika naik turun harga tidak semula jadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan mesti menjaga keadilan kedua-dua pihak.

Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding, sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang.

Hadis tutup aib

Inilah yang disebutkan sarjana seperti Ibn al-‘Arabi, “Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli)”.

“Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi SAW) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan,” tegas Mohd Asri.

Menurut beliau lagi, hadis itu sahih cuma konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat.

Apakah yang boleh kita pelajari daripada kenyataan oleh menteri terbabit?

Pertama, memetik hadis untuk mengukuhkan hujah dan tindakan perlu berlandaskan ilmu pengetahuan dan huraian yang menyeluruh, bukan semata-mata berasaskan kefahaman literal atau bahasa.

Kedua, menggunakan hadis untuk menutup keaiban atau kelemahan apatah lagi kezaliman dalam pengurusan ekonomi negara dan rakyat merupakan satu tindakan yang mencemar kesucian hadis dan Islam.

Ketiga, menteri dan parti pemerintah wajib mendengar rintihan hati rakyat dan memberi penyelesaian tanpa perlu mengugut atau mengancam.

Dalam konteks ini, bahawa hadis tersebut sebenarnya menjelaskan prinsip besar Islam ialah keadilan.

Rasulullah menyebut tentang membersihkan diri daripada kezaliman

Pengurusan ekonomi negara, termasuk kenaikan harga barang, harga runcit minyak dan hutang negara ialah tanggungjawab parti pemerintah.

Tadbir urus kerajaan yang salah dan korup serta penuh pembaziran dan ketirisan menyebabkan kantung negara menjadi kering dan akhirnya kerajaan terpaksa mengenakan cukai regresif seperti GST yang telah menyebabkan kenaikan melambung harga barang.

Skandal korupsi institusi menyebabkan kehilangan kepercayaan pelabur asing, mendorong kejatuhan nilai ringgit yang mengakibatkan harga barang import menjadi mahal.

Bukankah ini kezaliman kepada rakyat akibat kepincangan tadbir urus pihak yang sedang berkuasa?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Fakta Ekonomi Meningkat Tapi Bukan Untuk Rakyat Miskin

sumber: mk

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon