Wednesday, November 01, 2017

Pesakit Kronik Buah Pinggang Rayu Bantuan


“Nak makan pun saya terpaksa hutang kedai, cukup duit baru saya bayar,” luah seorang pesakit buah pinggang kronik, Baie Dol, 44.

Baie Dol

Baie yang menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Kasih Tebuk Pulai, Sabak Bernam, hidup dalam serba kedaifan setelah tidak lagi mampu bekerja akibat hilang upaya sejak lima tahun lalu.

Baie yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, peningkatan kos sara hidup sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

“Nak kerja pun dah tak mampu sebab lutut kaki tak boleh nak lurus. Saya buntu fikirkan nasib diri,” katanya.

Baie berkata, dia bergantung sepenuhnya bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) yang memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM150 sebulan.

“Kalau ikutkan bantuan ini tak cukup sebab semua barang makin mahal.

“Saya mohon jasa baik Zakat Selangor naikkan kadar bantuan bulanan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa berulang-alik tiga kali seminggu ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan dialisis.

“Saya pula tak ada kenderaan. Nak ke sana pun susah sebab terpaksa minta tolong kawan.

“Kadang-kadang terpaksa upah sekadar yang mampu supaya saya dapat jalani dialisis,” katanya.

Akibat kesempitan itu juga, Baie berkata, bekalan elektrik di rumahnya itu juga sudah dipotong sejak dua minggu lalu.

“Saya berjalan pun guna tongkat. Bila nak ke bilik air susah sebab bergelap waktu malam hingga terpaksa guna lampu suluh.

“Nak bayar elektrik memang saya tak mampu, duit yang ada ni pun nak bayar hutang makan dan keperluan lain,” katanya.

Baie yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 18 tahun lalu memberitahu, dia sebelum ini pernah berkahwin pada tahun 2000, bagaimanapun berpisah lima tahun lalu.

“Saya pula tak ada anak. Nak urus kehidupan sendiri memang susah. Tapi apa boleh buat, saya terpaksa teruskan kehidupan ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Baie di talian 019-2927772.

BACA INI JUGA: Mualaf Mohon Bantuan Melalui Facebook, Serik Birokrasi MAIWP!

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon