Wednesday, November 29, 2017

Apa Yang Berlegar Dalam Kepala Pembunuh John Lennon?


“Apabila kenderaan diberhentikan dan Yoko Ono keluar, kedengaran suara di dalam kepala yang menyatakan: Lakukannya! Lakukannya!

Apa Yang Berlegar Dalam Kepala Pembunuh John Lennon?
John Lennon.

"Lalu saya mengeluarkan pistol dan boom, boom, boom,” kata Mark David Chapman, 25, yang menjadi sebutan di seluruh dunia kerana membunuh vokalis The Beattles, John Lennon.

Lennon maut ditembak pada 8 Disember 1980.

Biarpun tragedi itu sudah berlalu 35 tahun lalu, alunan muzik dibawa The Beatles masih lagi utuh di hati peminat, terutama pada hari memperingati detik itu diadakan setiap tahun.

The Beatles adalah band British yang membawa fenomena dalam muzik global pada sejak 1960-an.

Umum tahu pembunuh Lennon adalah Chapman, namun tiada siapa tahu alasan sebenar yang mendorong lelaki itu melepaskan lima das tembakan dan mengenai tepat belakang mangsa dengan menggunakan Revolver 38 kaliber.

Menurut media antarabangsa, dalam wawancara eksklusif Jim Gaines bersama Chapman di New York tiga tahun selepas Lennon mati, kedua-dua mereka bercakap mengenai tragedi itu selama ratusan jam walaupun pada awalnya pembunuh terbabit keberatan.

Mungkin fakta ini mengejutkan umum - Chapman adalah peminat tegar The Beatles sejak kecil, malah pernah memberitahu rakannya. Bagaimanapun, perasaan itu akhirnya mulai ‘luntur.’

“Saya sering mengimpikan menjadi seorang daripada anggota The Beatles, dan saya sentiasa terfikir bagaimana perasaannya menjadi ahli kumpulan itu,” kata Chapman.

Pernah cuba bunuh diri

Chapman dikatakan penganut setia Kristian namun 'keimanannya' berubah apabila Lennon menganggap The Beatles lebih popular daripada jesus.

Pada masa sama, Chapman mengalami masalah kemurungan selepas tamat pendidikan sekolah menengah dan bekerja di sebuah pertubuhan kebajikan Kristian.

Dia juga pernah cuba membunuh diri sebaik tiba di Hawaii pada 1977 namun gagal.

Siri kemurungan Chapman semakin menjadi-jadi dan keadaan yang berterusan ini dilihat oleh isterinya Gloria Abe Chapman.

“Dia sering meminta perceraian dan melakukan penderaan apabila kami bersama buat sementara waktu di Hawaii,” katanya.

Chapman juga mengakui, walaupun dia mungkin nampak tenang dan stabil, tetapi tiada siapa tahu keadaan di dalam jiwanya yang bergolak.

Chapman diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondominium dan kerap menghabiskan masanya di sebuah perpustakaan.

Di situlah tempat dia membaca dua buku yang mengubah haluan hidupnya menjadi pembunuh.

Buku itu adalah John Lennon: One Day at a Time karya Anthony Fawcett dan The Catcher in the Rye (J D Salinger).

Menurut Gaines, tidak lama selepas itu Chapman mula berangan membunuh Lennon dan kesihatannya semakin merudum.

“Sejak kecil, jika Chapman tidak berfungsi dengan baik, dia akan menghalakan kegilaannya kepada sekumpulan suara di dalam kepala yang dipanggil 'orang kerdil'.

“Suara itu amat berkuasa dan jahat. Pada masa itulah Chapman meminta kepada tuhan agar memberinya kekuatan untuk membunuh Lennon,” katanya.

Jawapan semua masalah

Apa Yang Berlegar Dalam Kepala Pembunuh John Lennon?
Mark David Chapman.

Pada penghujung Oktober, Chapman berkelakuan aneh. Selepas berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan dan menandatangani notis keluar dengan nama "John Lennon".

Dia menaiki penerbangan ke New York pada 29 Oktober 1980 dengan membawa sepucuk pistol bersamanya.

Selepas Chapman ditahan, dia dipindahkan ke Hospital Bellevue, tempat dia menjalani berpuluh ujian psikiatri.

Chapman memberitahu Gaines, dia memang mempunyai masalah schizophrenia dan paranoid, tetapi tidak sedikit pun dikawal oleh masalah itu ketika membunuh Lennon.

Sepanjang dia berada dalam tahanan, dia dinafikan parol sebanyak lapan kali dengan yang terbaru pada 2014.

Dia hanya dibenarkan untuk memohon parol seawalnya pada 2016.

Walaupun wawancara sudah selesai, namun Chapman masih tidak memberikan jawapan kukuh mengapa dia melakukan pembunuhan itu.

“Membunuh Lennon menjadi jawapan kepada semua masalah saya, rasanya.

“Ia dilakukan untuk memadam semua kesilapan lalu dan memberikan saya identiti,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Misteri Ramalan Kematian John Lennon

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon