Jumaat, November 17, 2017

20 Khasiat Buah Betik Untuk Kesihatan

Tak ramai yang tahu bahawa biji betik yang biasa kita buang mempunyai pelbagai khasiat serta manfaat dan salah-satunya adalah untuk membantu menyingkirkan racun-racun yang terkumpul di dalam usus dan hati.

Khasiat buah betik

Buah betik selain menjadi hidangan berkhasiat, ia turut memdatangkan banyak manfaat dan khasiat dan sebab itulah mengapa anda perlu makan buah betik setiap masa.

1. Mengubati sembelit dan buasir

Jika mengalami sembelit cubalah memakan betik. Ia murah lagi selamat. Betik juga penawar yang ideal bagi penyakit buasir berdarah, malah menurut para doktor dengan mengamalkan memakan beberapa potong buah betik selepas makan, bukan saja dapat membantu penghadaman makanan serta membekalkan berbagai-bagai vitamin, zat galian dan serat yang kita perlukan, bahkan dapat menjauhkan kita daripada cacing pita dan kerawit di dalam perut.

Ini kerana betik mengandungi unsur yang disebut ‘ anthelmintic’ yang dapat membunuh kuman.

2. Mencegah batu karang

Sebahagian doktor dan pakar pemakanan mengatakan bahawa buah betik ranum jika dicampur dengan madu asli adalah baik bagi sesiapa yang tidak lawas kencing dan menghidap berbagai-bagai masalah pada sistem kencingnya.

Dengan membuang air kecil secara baik, dapat menghindarkan kita dari mendapat masalah batu pada pundi kencing kita.

3. Sebagai tonik tambahan

Memakan buah betik setiap hari dapat menambahkan tenaga badan dan menjadi sumber pembersih perut yang amat berkesan.

Ia amat mujarab bagi menyembuhkan berbagai-bagai gangguan perut dan penghadaman makanan.

Jus buah betik ranum, jika dicampur dengan susu dan madu boleh menjadi tonik yang tinggi khasiatnya bagi kanak-kanak yang sedang membesar, wanita yang sedang hamil, wanita yang menyusukan dan kepada mereka yang lemah tenaga kerana sakit.

4. Mengubati sakit-sakit otot

Daun betik yang dilayur di atas api dapat mengubati sakit-sakit otot apabila dilekapkan pada bahagian yang sakit.

Bagi mengubati sakit sendi pula, meminum air perahan dari daun muda yang ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau nipis boleh membantu.

5. Merawat masalah kulit

Bagi merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi.

6. Mengubati tumit pecah-pecah

Betik juga boleh digunakan untuk mengubati tumit pecah-pecah yang boleh menyebabkan kaki terasa sakit.

Salah satu daripada rawatan tradisional bagi mengubati masalah ini ialah dengan menggunakan buah betik muda yang dibelah dua kemudian diambil getahnya dan sapu dibahagian tumit yang pecah.

7. Ulam-ulaman

Daun betik terutama pucuknya yang muda sering direbus untuk dijadikan ulam. Selain itu, air rebusan daun betik dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin. Buah betik mentah (yang masih hijau) enak jika dibuat kerabu.

8. Merawat Hemoroid

Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C, ia berkesan merawat hemoroid atau buasir dan sembelit. Makan buah betik boleh memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit.

9. Kaya dengan vitamin C

Buah betik yang ranum kaya dengan vitamin C, mempunyai kandungan serat yang tinggi. Selain itu, ia juga mengandungi air, protein, lemak, serat, zat besi, fosforus, kalium, kalsium, natrium, niasin, riboflavin, tiamin, karpain, karposid, mirosin, papain dan pektin.

10. Kaya dengan vitamin A

Buah betik kaya dengan vitamin A (kulitnya) dan juga kalium. Nutrien -nutrien penting yang terkandung dalam betik, menjadikan tumbuhan ini mempunyai nilai-nilai perubatan yang tersendiri.

11. Melembutkan daging

Daun betik pula mengandungi dekstrosa, karpain, karbohidrat, serat dan kalsium. Jika memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.

12. Mengubati ketumbuhan dan hipertensi

Di Ghana ia juga digunakan untuk mengubati ketumbuhan manakala pucuknya boleh mengubati penyakit tekanan darah tinggi.

13. Kurangkan berat badan

Khasiat buah betik selalu dikaitkan dengan pengawalan dan pengurangan berat badan disamping menghaluskan kulit dan mampu menjadikan wajah sentiasa awet muda.

14. Merawat denggi

Daun betik tua, dikatakan boleh dibuat jus untuk mengubati penyakit denggi. Dengar khabarnya, platelet pesakit denggi akan segera bertambah jika meminum jus daun betik. Sejauh mana kebenaran ini, tidaklah diketahui.

15. Menyingkirkan cacing kerawit

Biji betik pula boleh digunakan untuk menyingkirkan cacing gelang dan cacing kerawit pada kanak-kanak.

Caranya ialah dengan mengambil segengam biji betik dan tumbuk hingga hancur kemudian direbus dan diminum oleh kanak-kanak tersebut, tetapi awas, ia dipercayai tidak berapa sesuai untuk wanita yang sedang mengandung.

16. Legakan sakit gigi

Getah betik juga berguna bagi melegakan kesakitan gigi yang berlubang dengan cara menitikkan getah pada lubang gigi tersebut atau boleh juga menggunakan kapas.

17. Menghentikan pendarahan

Daun betik yang ditumbuk lumat kemudian dicampurkan dengan sedikit garam dan kemudian dilekapkan pada tempat yang luka dan dibalut dapat menghentikan pendarahan.

18. Mencegah penyakit kandung hempedu

Selain mengandungi vitamin C yang tinggi, iaitu dua kali ganda kandungan vitamin C di dalam buah limau, betik juga boleh mencegah penyakit yang mendera kandung hempedu.

Ini merupakan hasil kajian pakar pemakanan dari University of California, San Francisco terhadap lebih daripada 13 ribu orang.

Setelah menganalisis kadar darah sukarelawan, para pengkaji mendapati bahawa mereka yang mempunyai kadar vitamin C yang rendah, akan mengalami risiko menderita penyakit kandung hempedu yang tinggi.

Walaupun sumber vitamin C boleh didapati daripada pelbagai jenis buah dan sayuran, tetapi sebiji buah betik dalam ukuran sederhana (±280 gram) mengandungi 88 mg vitamin C dan 500 kj kalori.

Ini ialah jumlah yang amat besar. Penyakit kandung hempedu lebih banyak menyerang wanita berbanding lelaki, oleh itu amalan makan betik amat baik untuk kaum wanita.

19. Mengurangkan keradangan

Betik mempunyai beberapa enzim protein pencernaan unik termasuklah papain dan chymopapain. Dipercayai enzim ini mampu membantu mengurangkan keradangan dan dapat merangsang penyembuhan akibat kesan terbakar.

Sebagai tambahan, khasiat antioksida di dalam betik termasuklah vitamin C, E dan beta karotena juga amat baik dalam mengurangkan keradangan.

Papain di dalam betik muda juga dikatakan amat berguna dalam masalah kekurangan jus gastric, mukus tidak elok yang berlebihan di dalam perut, dyspepsia dan keradangan usus.

Buah yang masak pula jika dimakan selalu, mampu mengurangkan masalah sembelit, hemoroid atau buasir, najis yang berdarah dan kronik.

Jus yang dihasilkan daripada biji betik juga dikatakan berguna dalam merawat dyspepsia dan najis berdarah.

20. Merawat penyakit tekak

Jus betik yang dicampurkan dengan madu pula dikatakan boleh digunakan dalam merawat tonsil yang kemerahan akibat difteria dan penyakit tekak yang lain. Ramuan ini dikatakan mampu mencairkan membran dan menghalang jangkitan daripada merebak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sebiji Epal Sehari Untuk Kesihatan Jantung, Paru-paru Dan Kolesterol

sumber: maskulin

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

2 comments

Buah betik memang kesukaan lokman...lagi2 manis memang meliur .

Banyak sungguh khasiat betik. Sekarang ni terdapat lebih banyak epal dari betik di jual di pasar raya.


TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon