Friday, August 11, 2017

Elizabeth Tan Nafi Konon Mahu Bunuh Diri


Minggu ini media tempatan kecoh melaporkan penyanyi Elizabeth Tan pernah mengalami kemurungan sehingga hampir membunuh diri.

Elizabeth Tan

Terkini, penyanyi Knock Knock itu telah menafikan pula dirinya terlalu tekan akibat putus cinta hingga terfikir untuk melakukan perkara terkutuk itu.

Akui Elizabeth yang mesra disapa Lizzy itu, sejak beberapa tahun lalu dia berdepan dengan beberapa isu yang membawa kepada masalah tekanan perasaan yang memaksanya untuk berehat seketika.

“Saya baru mendapat tahu ada beberapa tajuk (berita) mengatakan saya kecewa putus cinta sampai nak bunuh diri. Tajuk itu tidak betul, jadi saya harap semua jangan salah faham.

“Memang betul saya mengalami kemurungan dan sedikit tertekan sebelum ini, sebab itulah saya berehat seketika awal tahun ini. Namun ia bukan sepenuhnya disebabkan putus cinta.

“Saya berdepan beberapa masalah sejak tiga tahun lalu, yang sudah lama dipendam dan isu cinta itu hanya menjadi pencetus kepada semuanya.

“Saya semakin baik sekarang. Masa memang merawat kedukaan. Paling penting, saya banyak belajar daripada semua pengalaman pahit,” tulis penyanyi itu di Instagramnya, semalam.

Kata Lizzy, 23, kepada BH Online, dia bersyukur apabila dirinya cepat tersedar dan segera mendapatkan bantuan daripada keluarga dan sahabat.

“Saya cuba bangkit meneruskan kehidupan. Kejadian yang saya lalui turut membuatkan diri ini lebih matang.

“Pernah satu ketika, saya duduk berjam-jam mengimbas kesilapan dan kelemahan diri, termasuk situasi kemurungan dialami. Saya hampir membuat tindakan bodoh membabitkan nyawa sendiri.

“Berpisah dengan teman lelaki juga menjadi sebahagian alasan mengapa saya jadi begitu. Saya percaya, kalau tidak ditangani secara bijak, kemurungan akan membawa kesan lain.

“Masalah itu sesuatu serius dan tidak boleh dipandang ringan. Ia perlu dikongsi dan tindakan saya tidak terus memendam hal kemurungan ini mampu menyelamatkan diri daripada terus bertindak bodoh,” katanya.

Sementara itu, Lizzy meletakkan penghargaan kepada ibunya kerana tetap memberi sokongan kepadanya tatkala dia sedang kesedihan.

“Saya terharu dengan apa yang dilakukan ibu. Dia banyak memberi dorongan dan kata semangat. Malah, ibu sanggup mengambil cuti untuk menjaga saya ketika saya bergelut dengan diri sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lizzy kini tampil dengan single terbaru ciptaan sendiri berjudul Darling yang turut menjadi runut bunyi drama bersiri 20 episod terbitan Skop Productions Sdn Bhd, My Darling Inspektor Daniel.

Ia turut dibintangi bersama pelakon popular tanah air, Aaron Aziz, Erra Fazira dan Siti Elizad.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon