Monday, August 21, 2017

Siapa Gerangan An Najwa, Bintang Bola Jaring Malaysia!?


Nama An Najwa Azizan tiba-tiba menjadi sebutan selepas kejayaan skuad bola jaring negara menamatkan kemarau 16 tahun pingat emas di Sukan SEA.

An Najwa

Biarpun sudah menceburi sukan bola jaring sejak 2013, mungkin kerana kurangnya pendedahan di media membuatkan tidak ramai yang berpeluang menyaksikan kehebatan An Najwa.

Jutaan mata rakyat Malaysia tertumpu ketika aksi memukau An Najwa dalam perlawanan akhir menentang Singapura, pantang sahaja bola sampai ke tangannya, pasti akan menghasilkan gol.

Pemenang Emas Sukan SEA 2017

Pasukan bola jaring Malaysia menambah koleksi pungutan emas kontinjen negara di kejohanan Sukan SEA Ke-29 apabila menundukkan Singapura 65-41 di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Menang semua perlawanan di peringkat pusingan kelayakan, Malaysia dilihat begitu gah dengan aksi cemerlang dan pantas, sekali gus menjadi pasukan pilihan merangkul emas untuk kejohanan kali ini.

Malaysia seakan tidak berhadapan masalah untuk memimpin perlawanan akhir apabila mendahului suku pertama dengan jaringan 20-7, diikuti 36-12 di suku kedua dan 51-28 di suku ketiga, sebelum mencatat kemenangan bergaya 65-41.

Fakta Menarik

Kami kumpulkan beberapa fakta berkenaan 'buah hati' baharu rakyat Malaysia ini untuk pengetahuan anda.

1. An Najwa Azizan dilahirkan pada 9 Ogos 1997 dan merupakan anak keempat dari lima beradik.

2. Mewarisi bakat bersukan daripada bapanya, Azizan Azmi, yang merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan.

3. Berketinggian 178 sentimeter (5'10 inci).

4. Mula berjinak-jinak dengan bola jaring pada usia 13 tahun.

5. Sebelum menceburi sukan bola jaring, An Najwa terlebih dahulu terbabit dalam sukan olahraga, khususnya acara lompat jauh.

6. Sudah memiliki 43 kaps bersama skuad kebangsaan sejak 2013.

7. Dipilih sebagai MVP (Most Valuable Player) ketika pasukan negara muncul juara Kejohanan Bola Jaring Asia tahun lalu.

8. Ditanya rahsia berjaya menghasilkan gol setiap kali memegang bola, katanya, "Saya tidak fikirkan perkara lain. Saya hanya fokus mahu masukkan bola ke dalam jaring".

Tahniah pasukan bola jaring Malaysia kerana menggondol emas dalam acara berpasukan bola jaring.

BACA INI JUGA: 5 Fakta Menarik Sukan SEA 2017 Yang Anda Patut Tahu

sumber: astroawani

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon