Wednesday, August 30, 2017

Apa Sebenarnya Maksud Liberal?


Apa sebenarnya makna liberal? Adakah liberal itu ertinya sifat hedonis iaitu sifat suka buat apa saja sesuka hati? Inilah yang biasa difahami rakyat umum.

Liberal

Pemahaman rakyat umum tidak boleh dijadikan takrif kepada makna liberal. Kalau rakyat umum memahami Islam sebagai agama teroris, adakah ini juga dianggap benar?

Untuk memahami makna liberal, kita perlu memahami sejarah perkembangan falsafah di Barat. Kita perlu belajar falsafah dan sejarah supaya tidak nampak jahil dan tidak ilmiah.

Di sini, saya ingin ringkas dan mudahkan penjelasan makna liberal supaya ramai yang tidak salah gunakannya. Mungkin mudah untuk memahami makna liberal bila kita kaitkan dengan gerakan hak asasi kemanusiaan.

Kristian Dan Liberal

Gerakan hak asasi kemanusiaan adalah hasil pengalaman Barat dalam membebaskan diri daripada kepimpinan agamawan Katolik Kristian.

Bebas maknanya bebas daripada genggaman agamawan. Bahkan perkataan liberal sebenarnya bermakna bebas.

Semasa pemerintahan agamawan, rakyat disatukan oleh gereja atas nama hak Tuhan atas hak manusia.

Gereja melaksanakan hak Tuhan. Hak Tuhan mesti diutamakan atas hak manusia. Suara Agamawan yang mewakili suara Tuhan sentiasa veto suara dan hak rakyat.

Mindset liberal adalah hasil fobia yang mendalam terhadap suara agamawan katolik kerana baginya, suara agamawan tidak telus. Agamawan tidak perlu hujah rasional untuk menghukum.

Ketidaktelusan merupakan fobia utama liberalis. Bagaimana pengurusan fatwa agamawan mampu telus jika segala hukum dibuat atas alasan ia adalah suara Tuhan yang tidak boleh dipersoalkan?

Liberalis melihat bahawa agamawan tidak mengutamakan suara rakyat dalam berfatwa. Suara Tuhan adalah segala-galanya kerana Tuhan Maha Mengetahui. Agamawan Katolik adalah wakil suara Tuhan yang mutlak ini.

Bila Islamis berkempen politik agama, adakah ini bermakna taat buta kepada kepimpinan politik majlis syura ulama? Liberalis sangat fobia kepada budaya taat buta atau blind faith.

Kalau inilah maknanya, maka wacana Islamik ini sudah tentu dilihat menyamai mindset Katolik Kristian iaitu menganggap ulama sebagai wakil suara Tuhan, bukan suara rakyat.

Suara ulama akan sentiasa veto suara rakyat kerana ulama adalah wakil Tuhan. Kalau suara ulama itu dipertikaikan, ia seolah-olah mempertikaikan suara Tuhan.

Liberal Di Malaysia?

Sebagai perbandingan di Malaysia, Parti AMANAH adalah dianggap liberal kerana dipimpin oleh bukan ulama, manakala Pas adalah Islamik kerana dipimpin oleh ulama.

Ini adalah umpama berkata gereja adalah beragama kerana dipimpin oleh paderi tetapi restoran McD adalah liberal kerana dipimpin oleh ahli dunia, bukan alim ulama.

Seorang pendakwah Islam perlu memahami fobia mindset liberal. Islamis mempunyai fobia terhadap isu anjing dan babi. Liberalis mempunyai fobia terhadap isu hak asasi manusia.

Agamawan Katolik mengutamakan suara Tuhan atas suara rakyat. Bila agamawan berjuang melaksanakan fatwa mufti atau ulama, adakah ini suara rakyat atau suara Tuhan? Adakah fatwa boleh dipersoalkan oleh rakyat umum?

Undang-undang sivil boleh dipersoalkan oleh semua rakyat. Bahkan boleh diubah dengan keputusan majoriti Parlimen bila melanggar hak asasi manusia.

Adakah fatwa negara boleh diubah bila bercanggah dengan hak asasi kemanusiaan?

Parlimen adalah suara rakyat tetapi gereja adalah suara Tuhan. Adakah majlis syura yang membentuk fatwa itu wakil suara Tuhan?

Di mana letaknya ketelusan jika ulama berfungsi sebagai wakil Tuhan?

BACA INI JUGA: Apa Itu Pluralisme Dan Bahayanya Kepada Akidah Umat Islam

sumber: sinarharian

1 comment

  1. Kurang setuju.

    Benar kita boleh berliberalisasi terhadap pengurusan kepimpinan-kata-Tuhan yang salah / batil.

    Tapi tidak boleh memilih berliberalisasi terhadap kepimpinan-kata-Tuhan (Allah SWT) yang betul & hak.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon