Tuesday, June 27, 2017

Lagenda Puteri Lindungan Bulan


Lagenda Mahsuri bukanlah asing dalam pengetahuan masyarakat di Malaysia kerana kisah wanita berdarah putih itu sering didendangkan sejak dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa.

Lagenda
Kisah Puteri Lindungan Bulan pernah dipentaskan di Thailand.

Namun, tidak ramai yang tahu terdapat satu lagi cerita lagenda mengenai seorang wanita yang turut dikatakan memiliki darah putih.

Disebut sebagai Puteri Lindungan Bulan, lagenda puteri berketurunan raja ini memiliki keunikan kisahnya yang tersendiri.

Terletak di atas bukit kecil di Kampung Siputeh, Jitra, makam bersaiz besar daripada biasa ini didakwa milik Puteri Lindungan Bulan.

Peliknya, terdapat empat pasang batu nisan yang berada di atas kubur berkenaan. Jumlah tersebut menunjukkan petak makam itu menyimpan dua jasad.

Dipercayai, makam tersebut bukan hanya menyimpan jasad Puteri Lindungan Bulan, bahkan juga jasad ayahandanya, Sultan Sulaiman Syah.

Penduduk kampung percaya pemilikan makam tersebut, walaupun sehingga kini tidak dapat dipastikan kebenaran mengenai pemilik sebenar dua kubur dalam satu makam berkenaan.

Asal-usul Lagenda Puteri Lindungan Bulan

Lagenda kisah Puteri Lindungan Bulan berasal daripada cerita lisan yang berkembang di sekitar Kota Siputeh.

Puteri Lindungan Bulan mengisahkan tentang seorang puteri keturunan raja, anakanda Sultan Sulaiman Syah.

Sultan Kedah ini memiliki dua orang puteri bernama Puteri Zaleha (Puteri Lindungan Bulan) dan Puteri Mariam.

Diantara keduanya, Puteri Zaleha dikatakan memiliki darah berwarna putih, manakala darah Puteri Mariam berwarna merah seperti individu lain.

Keistimewaan tersebut menjadikan Puteri Zaleha berbeza dengan Puteri Mariam kerana darah putih yang dimilikinya menyebabkan dia kelihatan unik dan namanya sentiasa menjadi sebutan.

Walaupun agak berbeza, kedua-dua puteri itu sama jelita rupa parasnya, memiliki perwatakan sopan dan lemah-lembut.

Meskipun begitu, kecantikan Puteri Zaleha dikatakan lebih menawan. Kasih sayang Sultan Sulaiman Syah juga lebih tertumpah kepada Puteri Zaleha.

Bahkan, hubungan di antara keduanya begitu rapat sehingga tidak boleh berjauhan apatah lagi untuk berpisah, ibarat kata pepatah, 'Bagai menatang minyak yang penuh'.

Kisah Lagenda Tersebar

Berita tentang puteri berdarah putih ini mula tersebar luas sehingga ke negeri Acheh, telah menarik minat baginda Raja Acheh untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Ketika itu, Raja Acheh turut mempunyai seorang anak lelaki bernama Putera Mahkota. Jadi, baginda berkenan untuk mengambil Puteri Zaleha menjadi menantu.

Raja Acheh pun menghantar rombongan untuk meminang puteri Sultan Sulaiman Syah, diketuai oleh adindanya Tengku Panglima Sasa, yang diketahui mempunyai perwatakan panas baran.

Sebelum berangkat ke Kedah, Tengku Panglima Sasa telah menyatakan bahawa, sekiranya keluarga diraja Kedah menolak peminangan mereka, dia tidak akan teragak-agak untuk menyerang negeri berkenaan.

Perkara itu yang telah diketahui oleh bendahara istana kemudiannya menyampaikan berita tersebut kepada Sultan Sulaiman Syah.

Sultan yang berasa terkejut dan khuatir mula menyusun strategi sebelum rombongan tiba.

Baginda tidak sanggup menyerahkan puteri kesayangannya dan dalam masa yang sama tidak mahu Kedah menjadi 'Padang jarak padang tekukur'.

Akhirnya, kerabat diraja sepakat untuk menjadikan Puteri Mariam sebagai galang ganti dalam peminangan tersebut.

Rahsia ini hanya diketahui keluarga diraja Kedah dan menjadi rahsia istana.

Kedatangan rombongan peminangan disambut dan diterima baginda Sultan.

Maka, berlangsunglah perkahwinan di antara Putera Mahkota dan Puteri Mariam di istana Kedah sebelum dibawa ke Acheh.

Acheh Menyerang Kedah

Perkahwinan mereka kekal bahagia selama beberapa ketika sehinggalah terjadi satu insiden ketika berlangsung sebuah majlis istana di Acheh.

Puteri Mariam yang sedang mengapur sirih dan mengacip pinang tanpa diduga terkacip jarinya sendiri lalu berdarah.

Ternyata, darah yang mengalir keluar tidak berwarna putih seperti yang disebutkan sebelum ini.

Peristiwa ini menimbulkan kemarahan Raja Acheh, malah Tengku Panglima Sasa turut berasa marah dan tertipu.

Raja Acheh membuat keputusan untuk menyerang Kedah, namun tidak disertai oleh Putera Mahkota kerana mahu menjaga Puteri Mariam yang sedang hamil.

Dia juga sanggup menerima isterinya meskipun tidak berdarah putih seperti yang dikhabarkan.

Dalam keadaan kucar-kacir akibat serangan Acheh, Sultan Sulaiman Syah sempat menyembunyikan Puteri Zaleha di dalam sebuah lubang kerana tidak mahu anak kesayangannya itu dirampas kerajaan Acheh.

Hanya baginda dan isterinya yang tahu lokasi persembunyian berkenaan dan sebelum meninggalkan puterinya, baginda sempat berdoa supaya Puteri Zaleha dilindungi daripada pengetahuan orang lain.

Menurut beberapa riwayat, Baginda telah berpesan kepada bulan, "Wahai bulan, walau bagaimana terang sekalipun cahayamu menerangi malam, aku mohon supaya engkau tidak menyuluh sinarmu ke tempat persembunyian anakku."

Lagenda Puteri Lindungan Bulan

Kubur

Akhirnya, berlakulah perang antara Acheh dan Kedah. Malangnya, Kedah menghadapi kekalahan menyebabkan Sultan Sulaiman Syah dan isterinya ditangkap dan dibawa ke Acheh.

Dikatakan, beribu-ribu rakyat Kedah turut dibawa bersama sebagai tawanan.

Istana Kedah dimusnahkan dan baginda sultan mangkat semasa berada di Acheh, manakala Puteri Zaleha tidak dapat dikesan oleh tentera Acheh sepanjang berada ditempat persembunyiannya.

Disebabkan tiada siapa yang tahu lokasinya, puteri ini meninggal dunia kerana kehabisan bekalan makanan.

Makan, terjawablah persoalan mengapa Puteri Zaleha digelar sebagai Puteri Lindungan Bulan.

Sementara itu, Puteri Mariam turut mendapat gelaran tersendiri apabila dinamakan sebagai Puteri Bintang Kejora. Cuma, bagaimana nama itu diperolehi tidak dapat dipastikan.

Apa yang pasti, kewujudan makam diatas bukit kecil di Kampung Siputeh bukan hanya menarik kedatangan pengunjung, bahkan mampu menyebarkan kisah Puteri Lindungan Bulan sebagai lagenda yang pernah wujud di negeri Kedah.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon