Tuesday, May 16, 2017

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Malaysia (16 Mei)


Di Malaysia pada tarikh 16 Mei ini, telah berlaku beberapa peristiwa penting untuk pengetahuan dan tatapan bersama.

Malaysia

Berikut merupakan beberapa peristiwa penting yang berlaku hari ini dalam sejarah di Malaysia.

Pelancaran Buku Merah

Pada hari ini dalam tahun 1960, Buku Merah telah dilancarkan. oleh Tun Abdul Razak yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pambangunan Luar Bandar telah melancarkan buku tersebut.

Buku Merah mengandungi arahan-arahan beliau dalam perancangan tugas-tugas pembangunan termasuklah peta, laporan tentang rancangan-rancangan umum, kemajuan kaum dan dasar kewangan dalam melaksankan rancangan-rancangan kemajuan.

Buku ini dilancarkan bagi projek-projek pembangunan luar bandar yang dicadangkan bagi setiap negeri di Malaysia.

Sebelum sesuatu pembangunan dapat dilaksanakan, keterangan mengenainya terlebih dahulu digariskan dengan jelas dalam bentuk rajah termasuk peta-peta daerah yang hendak dibangunkan.

Perancangan dari peringkat bawah ini dijalankan oleh Jawatankuasa daerah pembangunan luar bandar yang dibentuk di seluruh negeri dengan mengambil kira cadangan rakyat.

Kerja-kerja pembangunan dilaksanakan melalui 3 peringkat iaitu peringkat Pusat, Negeri dan Daerah.

Buku Merah telah membuktikan keberkesanan idea Tun Abdul Razak yang bertepatan dengan keperluan semasa negara.

Sesungguhnya setelah 50 tahun negara merdeka, pembangunan negara terus diperhebatkan demi kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia

Penubuhan Majlis gerakan Negara (MAGERAN)

Pada hari ini dalam tahun 1969, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan.

Penubuhan majlis ini bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969.

Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC.

Pada dasarnya fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, mempastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum.

Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Berikutan daripada itu, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1970.

Beberapa dasar penting telah diwujudkan antaranya Akta Hasutan, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru yang telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

Sesungguhnya MAGERAN telah menyumbang besar dalam memulihkan perpaduan dikalangan rakyat sehingga kemerdekaan negara dapat dipertahankan hingga kini.

Badan Amal Dan Kebajikan Tenaga Isteri (BAKTI) Ditubuhkan

Pada hari ini dalam tahun 1977, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri (BAKTI), iaitu sebuah badan kebajikan yang dianggotai oleh isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri telah ditubuhkan secara rasminya sebagai sebuah badan berdaftar dan berpelembagaan, bertempat di Sri Taman oleh Datin (Toh Puan) Shuhaila Tan Sri Mohd Noah, isteri Perdana Menteri Kedua.

Pada asasnya penubuhan BAKTI yang dianggotai oleh isteri-isteri pemimpin negara ini adalah untuk berkhidmat bakti, kenal-mengenali antara satu sama lain serta mengembleng tenaga dalam pelbagai usaha aktiviti.

Pada awal penubuhannya ahli-ahli BAKTI terdiri daripada isteri-isteri Menteri-Menteri Kabinet Malaysia, Timbalan-Timbalan Menteri dan isteri-isteri Yang Di-Pertua dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang dipilih secara automatik.

Pada tahun 1982, bilangan keahliannya telah bertambah dengan kemasukan secara automatik yang dibuka kepada isteri Setiausaha-setiausaha Parlimen dalam Kementerian-Kementerian.

Pentadbiran BAKTI dikelolakan oleh Jawatankuasa Tadbir yang dipilih dalam Mesyuarat Agung BAKTI setiap tahun kecuali jawatan Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua BAKTI adalah dipegang oleh isteri Perdana Menteri dan isteri Timbalan Perdana Menteri secara automatik, manakala lapan Jawatankuasa Kecil dilantik untuk menguruskan matlamat ahli-ahli BAKTI sepanjang tahun.

FRIM Temui Kaedah Baru Hasilkan Bahan pembakar

Pelbagai kejayaan telah dicapai oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk faedah orang ramai.

Di antaranya ialah FRIM telah menemui kaedah baru untuk menghasilkan bahan pembakar dengan menggunakan kayu buangan untuk dijadikan gas bagi penjanaan kuasa elektrik dan kenderaan bermotor.

Penemuan kaedah baru tersebut telah dimaklumkan kepada wartawan pada hari ini 16.4.1989 oleh pegawai penyelidik FRIM, Encik Hoi Why Kong, di Ibu pejabat FRIM, Kepong, Selangor.

Penghasilan gas daripada bahan kayu buangan itu mampu menjanakan kuasa yang sama dengan bahan pembakar biasa, malah ianya mempunyai kelebihan kerana bahan-bahan tersebut begitu murah dan mudah didapati.

Hasil penyelidikan daripada sebuah reaktor setinggi 85 sentimeter dengan ukur lilit seluas 20 sentimeter, ianya boleh menghasilkan sebanyak 30 kilowatt dengan menggunakan 3 kg kayu dan jika digunakan selama 12 jam ia memerlukan sebanyak 36 kilogram kayu untuk jangkamasa tersebut, serta boleh memberikan kuasa elektrik kepada 15 buah rumah dengan penggunaan pada kadar biasa.

Penjanaan bahan pembakar gas daripada kayu itu mempunyai beberapa komponen penting iaitu:-
  • sebuah reaktor yang diperbuat daripada besi yang berfungsi untuk menghasilkan gas dan didalamnya mempunyai bahan pembakar untuk membakar kayu-kayu tersebut bagi menghasilkan gas.
  • di tahap kedua komponen tersebut mempunyai alat penyejuk untuk memastikan gas yang dikeluarkan berada dalam keadaan bersih.

FRIM memperolehi teknologi berkenaan melalui kerjasama dengan Kerajaan Jerman, sebagai jalan terbaru untuk membanyakkan sumber tenaga tanpa mengharapkan sesuatu bahan tertentu sahaja.

Sesungguhnya penyelidikan yang telah dijalankan, membuktikan bahawa teknologi tersebut dapat dikendalikan secara mudah dan tidak memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi untuk mengendalikannya.

Perasmian Pusat Latihan Membina Semangat Mersing Johor

Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun seharusnya mempunyai rakyat yang bersemangat, rajin dan bekerja keras dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang akan datang.

Adalah menjadi harapan kerajaan agar pembangunan negara yang sedang diatur ini dapat dimanfaatkan oleh sebuah rakyat negara ini.

Semangat dedikasi dan berdikari harus dipupuk agar generasi akan datang dapat terus bersaing dalam arus pembangunan tersebut.

Sebagai persediaan melengkapkan generasi muda dengan perkembangan yang berlaku dalam negara ini pada hari ini 16 Mei 1998, sebuah Pusat Latihan Membina Semangat telah dibuka di Mersing Johor.

Pusat ini telah dirasmikan oleh YAB. Tun Abdul Razak bin Hussien, Perdana Menteri Malaysia.

Semasa berucap di majlis perasmian ini, YAB. Tun Abdul Razak menegaskan walaupun selama ini kita telahpun mempunyai pusat-pusat latihan seperti Outward Bond Trust di Lumut, Pusat Latihan Belia Dusun Tua, Pertak dan sebagainya, pusat latihan baru di Mersing ini akan dapat meluaskan lagi skop latihan yang akan diberikan kepada pemimpin-pemimpin muda.

Langkah ini penting dari segi menumpukan perhatian kepada keperluan membina akhlak dan memupuk semangat baru di kalangan generasi muda.

Bersesuaian dengan perkembangan dan peredaran masa kita perlu menyediakan lebih ramai pemimpin yang berkelibar, berani dan jujur untuk membimbing rakyat ke arah kemajuan dan kemakmuran negara yang berterusan.

Raja Haji Menyerang Bukit China Dan Terangkera

Pada hari ini dalam tahun 1784, Raja Haji, seorang pahlawan Bugis yang terkenal dan merupakan Yang diPertuan Muda Johor telah menyerang Bukit China dan Terangkera di Melaka yang ketika itu di bawah penguasaan Belanda.

Mulai tahun 1782, Raja Haji telah bermusuh dengan Belanda. Belanda telah mungkir janji tidak mahu membahagi dua harta rampasan yang mereka dapati, iaitu candu yang telah dirampasnya daripada sebuah kapal Inggeris iaitu Kapal Betsy di perairan laut Riau.

Sejak itu, Raja Haji mula menyerang kapal-kapal Belanda yang belayar di Selat Melaka dan mengganggu perniagaan orang-orang Belanda.

Sementara itu Belanda juga selalu menyerang Riau dan angkatan perang Raja Haji. Permusuhan antara kedua belah pihak ini telah berlanjutan dari tahun 1782 hingga 1784.

Pada bulan Februari 1784, Raja Haji membuat serangan belas ke atas Melaka, dengan bantuan dari orang-orang Bugis dan Sultan Ibrahim dari Selangor.

Pada hari ini dalam tahun 1784, Raja Haji menyerang pula Bukit China, sementara askar Sultan Ibrahim serta orang-orang Rembau pula menyerang Terangkera.

Serangan juga dilakukan ke atas tempat-tempat seperti Punggor, Duyung, Pernu, Ujong Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir dan Tanjung Keling, menyebabkan Melaka terkepung dan bantuan makanan terputus.

Melaka hampir jatuh ke tangan Bugis, tetapi Belanda dapat mempertahankan Melaka dengan bantuan seramai 2,130 orang askar dari Betawi yang diketuai oleh Jacob Peter Van Braam.

Pembukaan Pangkalan Tentera Laut Di Malaysia Timur

Pada hari ini 16.5.1966, Pangkalan Tentera Laut yang pertama di Malaysia Timur telah dibuka oleh Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Malaysia.

Pengkalan yang dinamakan KD Sri Labuan dan berharga RM1.3 juta ini adalah terletak di Labuan, Sabah.

Ia adalah satu-satunya pangkalan tentera laut yang pertama dan terlengkap di Malaysia Timur. Pembinaan pangkalan ini telah mengambil masa kira-kira 13 bulan.

Pangkalan ini telah dilengkapkan dengan alat-alat kemudahan perkapalan baru yang termoden sekali.

Kompleks ini juga dilengkapkan dengan lain-lain kemudahan seperti bangunan-bangunan pentadbiran, rumah-rumah kediaman, bengkel-bengkel dan stor.

Pangkalan yang besar ertinya kepada pertahanan negara ini khususnya di Malaysia Timur bukanlah dibina untuk tujuan-tujuan permusuhan dengan negara-negara jiran, tetapi ia adalah untuk tujuan mempertahankan dari ancaman musuh dan memperlengkapkan pertahanan negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kronologi Peristiwa 13 Mei 1969

sumber: arkib

1 comment

  1. Banyak juga perkara bersejarah yang berlaku pada 16 Mei ni kan.. tak sangka..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon