Wednesday, April 12, 2017

Tiga Lagi Produk Kosmetik Beracun Dikesan (Siri 2/2017)


Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Tati Skincare Night Cream
Gambar hiasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara produk yang disahkan mengandungi racun berjadual adalah;

  1. Tati Skincare Night Cream
  2. Tati Skincare Treatment Cream
  3. Moleek Anti Pigment Cream


Menurut maklumat yang diberikan, produk Tati Skincare Night Cream didapati mengandungi merkuri, manakala Tati Skincare Treatment Cream dan Moleek Anti Pigment Cream pula disahkan mengandungi bahan kimia jenis hydroquinone dan tretinoin.

"Kami ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik tersebut.

"Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya lagi, produk kosmetik yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Menurutnya, produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

Jelasnya, kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

"Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin pula biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

"Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

"Manakala produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan," katanya lagi.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

Difahamkan, bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut.

"Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," tambahnya.

Beliau dalam masa sama menggesa penjual dan pengedar produk-produk kosmetik yang terlibat menghentikan penjualan dan pengedaran produk berkenaan dengan serta-merta.

"Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," ujarnya lagi.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Manakala syarikat yang didapati melakukan kesalahan sama pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

BACA INI JUGA: 8 Produk Kosmetik Terbaharu Dikesan Beracun KKM 2017 (Siri 1/2017)

sumber: sh

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon