Thursday, April 27, 2017

Sepanyol Paling Ramai Penderma Organ Di Dunia

Sepanyol menjadi peneraju dunia dalam arena pemindahan organ sejak 25 tahun lalu dengan setiap hari pembedahan pemindahan organ dijalankan di negara itu.

penderma organ

Menurut Pertubuhan Transplan Nasional (ONT) negara itu, sejumlah 4,818 pembedahan pemindahan organ dikendalikan pada tahun 2016 yang lalu dengan 2,994 daripadanya melibatkan buah pinggang.

Sepanyol merekodkan kadar 43.4 pendermaan per sejuta (pmp) penduduk pada tahun 2016 meningkat daripada 40.2 berbanding tahun sebelumnya memecah rekod dunia sebagai negara berpopulasi penderma organ tertinggi.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat mencatat 28.2pmp diikuti, Perancis 28.1 pada tahun yang sama. Malaysia sendiri hanya mencapai kadar 0.6pmp pada tahun 2016.

Penyelaras

Pelaksanaan operasi pemindahan organ yang dilakukan mengikut sistem berpusat, model sama ditiru Portugal dan Croatia selain memberi inspirasi kepada negara-negara lain di sekitar Eropah.
Setiap hospital mempunyai penyelaras pemindahan. Mereka terdiri daripada seorang doktor serta jururawat yang pakar dalam rawatan rapi dan berkebolehan mengenal pasti pesakit yang berisiko mengalami serangan jantung atau kematian otak.

Dalam kes sedemikian, organ seperti buah pinggang, hati, paru-paru, pankreas dan kadangkala jantung masih boleh berfungsi dengan baik untuk diberi kepada mereka yang memerlukan.

Maklumat pendermaan organ akan disalurkan dengan pantas kepada ONT yang kemudiannya akan mencari padanan bersesuaian untuk individu yang berada dalam senarai menunggu.

Jika pesakit tinggal di lokasi jauh, organ yang disimpan sejuk akan dihantar menggunakan kapal terbang dan dimuatkan di kokpit bersama juruterbang.

Kos rawatan adalah percuma kerana ditanggung sepenuhnya Jabatan Kesihatan Awam Sepanyol. Ia hanya disediakan kepada rakyat negara itu bagi mengelakkan eksploitasi atau penyeludupan organ.

Pegawai dari jabatan etika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Marie-Charlotte Bouesseau menjelaskan, di seluruh dunia, hanya kira-kira 10 peratus pesakit yang perlu menjalani pemindahan organ dapat berbuat demikian.

Baki 90 peratus lagi berkemungkinan menemui ajal ketika dalam proses menunggu. Apa yang boleh memperbaiki keadaan ini adalah jaringan kerjasama dan organisasi berpusat. Itu kuncinya.

Kehidupan baharu

Pada tahun 2016 lalu, di Sepanyol, sekitar empat hingga enam peratus daripada pesakit meninggal dunia ketika mereka berada dalam senarai menunggu organ penting seperti hati, jantung dan paru-paru.

Bagi penerima organ, ia bagaikan mendapat kehidupan baharu. Cuma perlu makan ubat bagi memastikan tubuh tidak menolak buah pinggang yang didermakan.

BACA INI JUGA: Kekeliruan Derma Organ, Islam Mengharuskan, Kemuncak Sedekah

sumber: kosmo

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon