Sunday, March 05, 2017

Misteri Roh Rumah Agam Rocky Hill Castle


Sekitar tahun 1820, James Edmonds Saunders yang merupakan seorang peladang dan berasal dari Georgia bersama isterinya berhijrah ke Alabama, Amerika Syarikat.

Rocky Hill Castle Mystery

Selepas bertahun-tahun berusaha, akhirnya James Saunders mewarisi sebuah kawasan ladang yang keluasannya lebih 600 ekar.

Namanya juga mula dikenali sebagai seorang yang berpengaruh di kawasan itu.

James Saunders mengimpikan sebuah rumah agam yang gah sebagai kediaman keluarga.

Pada tahun 1858, James Saunders memulakan kerja-kerja pembinaan rumahnya yang terletak di atas sebuah bukit di kawasan ladangnya.

Pembinaan rumah itu menggabungkan seni bina Itali dan Yunani dengan ukiran bahagian dalam rumah menggunakan teknik paling moden ketika itu.

Dibelakang rumah pula dibina sebuah menara kecil berbentuk oktagon dan sebuah jambatan batu yang menghubungkan menara itu dengan rumah agam.

Dikatakan bahawa menara itu adalah rumah untuk hamba abdi. Disebut juga, bila James Saunders berdiri diatas menara itu, dia akan menjerit kepada pekerjanya untuk memberi arahan.

Dari atas menara itu juga, James Saunders akan meninjau kawasan ladangnya. Pada waktu itu, rumah agam yang digelar Rocky Hill Castle ini merupakan antara rumah mewah.

Malangnya, lambang kemewahan ini tidaklah seiring dengan kisah misteri disebaliknya. Rocky Hill Castle disebut sebagai salah satu kawasan berhantu paling popular di Alabama.

Namun, tidak diketahui dengan pasti siapa arkitek yang telah membina rumah ini.

Cerita yang disampaikan sejak dahulu mengatakan bahawa rumah agam ini direka oleh seorang arkitek berbangsa Perancis.

Setelah selesai pembinaannya, James Saunders dikatakan enggan membayar arkitek tersebut. Tidak lama selepas arkitek itu meninggal dunia, rumah agam ini mula diganggu entiti misteri.

Pelbagai bunyi pelik sering kedengaran terutamanya dari tingkat bawah tanah. Kononnya, roh arkitek itu tidak tenang dan datang untuk mengganggu ketenteraman keluarga James Saunders.

Apabila perang Amerika meletus pada tahun 1861, rumah ini turut dijadikan sebagai hospital sementara untuk merawat tentera yang tercedera.

Malah, tentera yang mati turut dikebumikan di kawasan rumah agam ini. Kerana itulah tidak hairan ramai yang mengatakan pernah melihat hantu tentera berkeliaran di situ.

Selain itu, hantu Lady in Blue turut dikatakan berkeliaran di rumah ini dengan bayangan wanita serba biru sering muncul di kawasan tangga atau bilik bawah tanah.

Roh Lady in Blue ini dikatakan roh misteri seorang wanita yang sedang mencari kekasihnya yang hilang.

***

Sejak Rocky Hill Castle dibiarkan kosong tidak berpenghuni, rumah agam ini sering menjadi tumpuan penggemar aktiviti paranormal.

Selepas James Saunders meninggal dunia pada tahun 1896, Rocky Hill Castle diwarisi oleh keturunannya dengan pewaris terakhir adalah cucunya, Dr. Dudley Saunders.

Tidak lama selepas Dr. Dudley tinggal di rumah agam itu, gangguan misteri bermula.

Menurut penduduk di situ, Dr. Dudley meninggalkan rumah itu pada tahun 1920an kerana tidak tahan dengan gangguan misteri.

Menurut cerita, isteri Dr. Dudley yang sangat tertekan pernah bertindak berani dengan bertanya ketika seorang diri di rumah tersebut, "Bersuaralah jika ada roh di sini!"

Tidak lama selepas berkata begitu, kedengaran satu suara halus di tepi telinganya menjawab, "Puan, saya ada di sini!"

Selepas kejadian itu, mereka tidak menunggu lama, mengemas barang-barang dan berpindah keluar.

Sejak itu, Rocky Hill Castle terbiar namun roh-roh yang tidak tenang dikatakan terus menghantui rumah agam tersebut.

Penduduk yang pernah tinggal di dalam kabin berdekatan rumah agam itu pernah menyatakan bahawa mereka sering terdengar bunyi pelik dari rumah tersebut, termasuklah bunyi piano.

***

Pada tahun 1935, seorang jurugambar bernama Alex Bush telah datang ke Rocky Hill Castle yang sudah lama tidak berpenghuni.

Dia merakam gambar-gambar dibahagian luar dan dalam serta disekitar rumah agam tersebut.

Tujuannya, rumah agam itu akan dikelaskan sebagai salah satu binaan bersejarah untuk Historic American Building Survey.

Apa yang mengejutkan, dalam banyak-banyak gambar yang dirakam, salah satu gambar berjaya merakam penampakan entiti misteri seorang lelaki yang memakai baju berkolar.

Gambar entiti misteri itu jelas kelihatan dibahagian kanan pada ruangan pintu di dalam rumah tersebut.

***

Ditelan arus masa, kemewahan dan kegemilangan Rocky Hill Castle mula tenggelam.

Setelah berpuluh tahun dibiarkan kosong, akhirnya pada tahun 1961, rumah agam ini dirobohkan oleh pemilik baru yang telah membeli kawasan tersebut.

Selepas itu, berkuburlah kisah hantu arkitek, hantu tentera, hantu hamba abdi dan hantu Lady ini Blue yang menghantui rumah agam itu sejak lama dahulu.

Namun, sehingga kini masih ramai yang tertanya-tanya, siapa bayangan lelaki yang muncul di dalam gambar tersebut?

Adakah dia arkitek yang membina rumah tersebut atau mungkin roh James Edmonds Saunders?

BACA INI JUGA: 5 Misteri Kejadian Paranormal Yang Sukar Diterima Akal

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon