Oct 8, 2016

Cerpen: Awaklah Hero Saya

“Kringggggggg!!!!!!” jam loceng Nur Fakhrin Maisara berbunyi menandakan sudah pukul 6.00 pagi.

Gambar hiasan.

Permulaan hari baru buat Irine sebagai Ketua Editor di salah sebuah syarikat majalah terkemuka milik ayahnya.

Dia berusaha bersungguh-sungguh kerana ingin memegang jawatan tersebut, sememangnya bidang penulisan adalah minatnya sejak di bangku sekolah lagi.

Dia kerap kali memenangi anugerah penulisan terbaik di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

“Cik Irine! Udah bangun belum, Tuan besar mau sarapan sekali sebentar lagi,”
pekik pembantu rumah warga Indonesia itu dari arah luar bilik Irine.

“Ya udah bik! Lagian mau mandi ni,” balas Irine sambil tersenyum seorang diri di atas katil.

Apehal pulak aku ikut cakap bahasa Indon ni, adoyai! Irine mencapai tuala, dan terus berlalu ke bilik air.

Usai solat Subuh, Irine bersiap-siap mengenakan pakaian senamannya.

Setiap hari, Irine akan berjogging di taman yang berada di hadapan rumahnya.
Dia menyarungkan tudung di kepala sebelum melangkah ke luar bilik.

“Irine! Nak ke mana tu, sinilah sarapan dengan ayah dan ibu dulu,” panggil Datuk Azman sebelum Irine sempat melangkah keluar untuk menyarungkan kasut sukannya.

“Oh, okay ayah. Sekejap ye, nak letak kasut kat luar,” balas Irine.

“Cik Irine mau sarapan apa hari ini. Bibik masak spesial sekali buat Cik Irine yang cantik ini, kerna hari ini kan hari pertama Cik Irine mahu masuk ke kantor,” kata Bik Yasmin sambil menghulurkan pinggan kepada Irine.

“Hahaha, bibik ni buat lawaklah pagi-pagi. Takpe bik saya boleh ambil sendiri.
"Terima kasih bik Yasmin,” ucap Irine dengan penuh sopan.

Sikap Irine yang amat menghormati orang tua, disenangi oleh ahli keluarganya, lagi-lagi Irine ialah anak bongsu dalam keluarga itu. Dia jugalah yang paling dimanjakan oleh atuk dan neneknya.

“Hah, Irine nak bihun goreng. Favourato!” Irine menyuakan pinggannya kepada Datin Yusfizah. Ibunya menyendukkan bihun goreng ke dalam pinggan Irine.

“Ibu dah agak dah, mesti ini yang kamu nak makan. Bihun ni, ibu yang masak tau khas untuk anak ibu ni. Hari pertama masuk kerja ni, mesti ada tenaga lebih.

"Tunjukkan dekat pekerja-pekerja kita tu, bos yang berdedikasi dan sentiasa bersemangat,” panjang lebar nasihat dan dorongan Datin Yusfizah kepada anak bongsunya.

“Alhamdulilah, sedapnya ibu masak. Kalau macam ni bilalah nak diet. Baru nak pergi jogging.

"Okay, Irine makan sikit dulu. Nanti letak dalam Tupperware ye, Irine bawa bekal pergi pejabat. Irine pergi jogging dulu. Nak jadi bos pun kena sentiasa sihat dan cergas!” kata Irine dengan penuh bersemangat.

Irine menyarungkan kasut sukannya, dan terus menuju ke taman rekreaksi di hadapan rumahnya.

Jam di tangan dpandang sekilas, “Baru 7.10 pagi. Sempat ni dalam beberapa round,” Irine mengomel sendirian.

Memandangkan dia akan memulakan tugasnya di pejabat pada jam 9.00 pagi, Irine mengisi masanya di waktu pagi dengan melakukan senaman ringkas, walaupun hanya beberapa minit.

2008

“Kau tak kaya macam aku, tak setanding dengan aku!” kata-kata Suraya cukup menyakitkan hati Irine.

Saat itu, ingin sahaja Irine melepaskan satu tumbukan ke arah Suraya tetapi lekas Annisa menggengam tangan Irine yang sudah siap sedia dikepal.

Walaupun Irine berasal dari keluarga yang kaya, tetapi dia tidak pernah menunjukkan kekayaannya di sekolah.

Pakaiannya yang serba ringkas, membuatkan ramai pelajar tidak mengenali dirinya sebagai anak Datuk.

“Suraya binti Zamarul! Kau jangan nak cabar kesabaran aku. Buat apa kaya tetapi hakikatnya miskin,” balas Irine dengan nada selamba.

“What? Miskin! Kau cakap aku miskin??” tengking Suraya kepada Irine dan Annisa.

“Yes! Absolutely yes Miss Suraya. Nak tahu miskin apa? Miskin nak beli kain baju, miskin budi bahasa, miskin adab melayu,” terang Irine dengan nada yang serius.

“Arrghhhh! Kau belum tahu aku siapa,” Suraya menolak tubuh Irine hingga dia terjelepuk jatuh di bahu jalanraya.

Pertengkaran antara Irine dan Suraya di sebuah pondok menunggu bas disaksikan oleh beberapa orang pelajar lekai yang berada berdekatan dengan kawasan tersebut.

“Irine!!!” Annisa menjerit ke arah Irine, kelihatan sebuah kereta proton saga berwarna hitam membunyikan hon kereta dengan kuat sekali.

Irine terlampau takut, dia hanya memejamkan mata dan menutup mukannya dengan kedua-dua belah tapak tangan dengan harapan tiada apa yang bakal berlaku.

Tiba-tiba tangan Irine ditarik, seorang pelajar lelaki membantunya untuk bangun. Irine membersihkan bajunya yang terkena kesan kotoran jalan tar.

Annisa cepat-cepat menerpa mendapatkan Irine. Irine masih tercengang di hadapan pelajar lelaki itu.

“Awak okay ke? Ada cedera di mana-mana?” pelajar lelaki itu bertanya dengan cemas sekali.

“Okay, ta.. taaak cedera pun,” tergagap-gagap Irine membalas pertanyaan pelajar lelaki itu.

“Irine! Ya Allah, alhamdulilah kau tak apa-apa,” Annisa terus memeluk Irine dengan eratnya.

“Aduh!” Irine memegang tangan kirinya.

“Eh, kenapa ni Irine? Mashaa Allah! Tangan kau, berdarah,” wajah Annisa menunjukkan reaksi terkejut.

Suraya sudah tidak tentu arah, wajahnya kelihatan pucat setelah melihat kecederaan di tangan Irine.

“Saya bawa awak pergi hospital ya?” tanya pelajar lelaki itu. Kemudian dia memusingkan badannya ke arah Suraya.

“You better watch out Suraya! Kalau papa tahu nahas kau,” gertak Zafrel kepada Suraya.

“Abang! Tolonglah jangan beritahu papa. Tolonglah,” rayu Suraya sambil memaut lengan Zafrel.

“Siapa abang kau?! Aku dengan kau takde kena mengena langsung!” tengking pelajar lelaki itu kepada Suraya.

“Mari, saya bawa awak ke hospital,” Zafrel berjalan menuju ke tempat parking kereta tidak jauh dari tempat Irine terjatuh. Annisa membantu Irine membuka pintu kereta.

“Suraya! Kau ikut aku,” jerit Zafrel kepada Suraya yang masih tercegat di belakang kereta Zafrel.

Selesai sahaja pemeriksaan doktor, Irine dibenarkan pulang. Dia melabuhkan punggungnya di ruang menunggu di hadapan kaunter farmasi. Hanya pergelangan tangan kirinya sahaja luka dan perlu dijahit sedikit.

Sementara menunggu nama Irine dipanggil, Zafrel melabuhkan punggungnya di sebelah Irine.

“Doktor cakap apa?” tanya Zafrel.

“Hmm, okay. Syukur tak patah, Cuma kena jahit sedikit, sebab err.. tak payahlah cerita. Seram,” balas Irine lalu tersenyum malu di hadapan Zafrel.

“It’s okay. By the way Irine, nama saya Zafrel. Ummar Zafrel. Saya pelajar universiti tahun dua.

"Mesti awak tertanya-tanya dari mana datangnya saya, tiba-tiba aje ada dekat situ. Hehehe..” Zafrel memperkenalkan dirinya secara ringkas.

“Oh, saya rasa awak dah tahu nama saya,” balas Irine ringkas.

“Nama penuh?”

“Nur Fakhrin Maisara. Saya baru tingkatan 5,” Irine memberitahu nama penuhnya.

“Oh, yeke? Samalah dengan Suraya. Saya nak minta maaf bagi pihak Suraya,” terang Zafrel kepada Irine.

“Hmm, manusia kan macam-macam perangai. Takpelah saya maafkan untuk kali ini,” Irine hanya menundukkan mukanya.

Kalau ikutkan hati dia memang sakit hati dengan Suraya yang selalu menghinanya di sekolah. Tetapi atas sebab apa, mudah pula kali ini dia memberi kemaafan buat Suraya.

“Actually, Suraya tu memang bukan darah daging saya. Dia cuma menumpang dalam keluarga saya. Dia kurang kasih sayang dari family dia sendiri. Saya ditugaskan untuk menjaga dia. Saya tak tahu pula perangai dia seteruk ini. Saya betul-betul minta maaf dekat awak Irine,” jelas Zafrel.

“Hmm, it’s okay. Saya nak balik. Ubat pun saya dah dapat. Tak sedar pula Annisa dah tolong ambilkan ubat,” Irine ingin meminta diri untuk pulang.

“Eh, saya hantar awak balik.. Tanggungjawab saya belum selesai,” Zafrel melawa Irine dan Annisa untuk dihantar pulang ke rumah.

“Takpe, kami balik naik bas,” Irine cuba mengelak.

“Please..” rayu Zafrel.

“Okay,” Irine terpaksa mengalah.

Setibanya di pondok pengawal, kereta Zafrel ditahan untuk melakukan pemeriksaan. Irine membuka tingkap kereta.

“Uncle, Irine anak Datuk Azman. Ni kawan-kawan saya,” Irine sudah tidak dapat berselindung lagi. Dia terpaksa memberitahu pengenalan dirinya kepada pengawal yang berada di pondok itu.

“Oh, Miss Pretty Irine ka? Okay okay,” setelah mengecam anak Datuk Azman, lelaki yang berumur separuh abad itu pun membenarkan kereta Zafrel memasuki kawasan perumahan mewah itu.

“Boleh berhentikan saya di hujung jalan itu aje,” beritahu Irine kepada Zafrel.

Kereta Zafrel betul-betul berada di hadapan rumah Irine.

“Terima kasih errr… Zafrel,” ucap Irine.

“Terima kasih,” ucap Annisa.

“Eh, awak duduk satu rumah dengan Irine ke?” tanya Zafrel.

“Haah, ye. Saya sepupu Irine. Parents saya bekerja di luar negara, jadi saya prefer untuk tinggal di Malaysia,” terang Annisa kepada Zafrel yang kelihatan tertanya-tanya.

“Terima kasih ye, takde siapa dekat rumah jadi saya tak boleh benarkan awak masuk. Saya minta maaf,” beritahu Annisa.

Irine menekan butang kawalan jauh pagar elektrik. Dia melangkah masuk ke perkarangan rumah.

Kelihatan dari dalam kereta, Suraya hanya membatu di tempat duduk hadapan kereta. Tiada sedikit pun kedengaran suaranya sepanjang perjalanan pulang dari hospital, “Menyesal agaknya.”

***

Ranting kayu yang jatuh di atas kepala Irine mematikan lamunannya. Jam di tangan dipandang sekilas.

Mak!!! Dah lambat, habislah aku. Berangan sampai tak ingat dunia! Macam mana aku boleh berangan sejauh ini. Aduh!

“Assalamualaikum!” terkocoh-kocoh Irine membuka kasut sukannya. Dia terus berlari naik ke biliknya. Jam menunjukkan 8.00 pagi.

“Waalaikumusalam. Ya Allah, kenapa anak awak tu. Laju betul,” tegur Datuk Azman.

“Takut lambat lah tu, biasalah anak dara nak bersiap lama. Dia mana boleh lambat sikit, semua nak cepat. Ikut perangai abang la tu,” terang Datin Yusfizah, sambil mengubah sejambak bunga di atas meja.

Irine mengemaskan selendang bercorak floral di kepala. Dia mengenakan sedikit pemerah pipi dan gincu berwarna ‘light pink’ kegemarannya.

Bajunya serba ringkas, blouse labuh berwarna biru dan juga palazzo berwarna hitam.

“Hi I’m Irine. 25 years old. New Chief Editor for Absolute Magazine. Young and ambitious,” Irine mengomel sendirian di hadapan cermin sambil berlagak ala-ala model.

Walaupun semasa belajar dahulu dia sering bekerja sebagai model sambilan tanpa pengetahuan Datuk dan Datin. Dunia model juga sudah tidak asing lagi baginya. Wah, kelas kau Jah!

Irine membuka almari kecilnya, di situ tersimpan pelbagai koleksi jam kegemarannya. Guess, DKNY, swatch, Fossil dan macam-macam lagi yang menjadi koleksinya. Dia mencapai jam berjenama Fossil berwarna coklat gelap dan dipadankannya dengan baju. Match!

“Irine!” panggil Datin Yusfizah.

“Ya, ibu,” Irine menyaut panggilan ibunya sambil menuruni anak tangga satu persatu.

“Cantiknya anak ibu!” puji ibunya yang sedang menunggunya di hadapan pintu.

“Ayah mana?” tanya Irine.

“Ayah kata dia pergi pejabat dulu. Nanti jumpa dekat sana,” beritahu Datin Yusfizah.

Irine mengucup tangan ibunya sebelum dia ke pejabat. “Hati-hati sayang” pesan Datin Yusfizah.

“Cik Irine! Bekalnya jangan dilupa,” Bik Yasmin berlari-lari dari arah dapur memanggil Irine.

“Oh, ya. Terima kasih bik,” ucap Irine, dia menghulurkan tangan untuk bersalam kepada Bik Yasmin.

“Pergi dulu,” Irine melambai ke arah dua orang wanita tersebut.

Irine memandu kereta Mini Cooper berwarna merah hadiah sempena hari pertamanya bekerja pemberian ayahnya, Datuk Azman.

Tiba-tiba telefon Samsung Galaxy S7 edge Irine berdering minta diangkat. Irine menekan butang berwarna hijau di skrin telefonnya. Annisa!

“Assalamualaikum, bakal Ketua Editor Nur Fakhrin Maisara binti Datuk Azman!” ucap Annisa di hujung talian.

“Waalaikumusalam. Amboi! Panjangannya mukadimah kau Nisa. Bila ni nak balik Malaysia? Dah jatuh cinta dengan orang sana pulak ke? Hahahaha..” balas Irine dengan nada selamba.

“Kau ni asyik suruh aku balik aje. Dah rindu dekat aku lah tu,” usik Annisa.

“Kau kan PA aku yang setia dari dulu lagi. Mana boleh tak rindu.”

“Eh, kalau aku jadi PA kau sepenuh masa, siapa pulak nak jaga business aku ni,” sindir Annisa.

“Wah! Dia dah pandai business sekarang akak Nisa kita ni..”

“Mestilah, kau jugak yang ajar aku dulu kan. By the way, aku call ni nak ucap selamat bekerja. Semoga maju jaya, tercapai jugak cita-cita kau kan. Tak sia-sia berjela-jela aku baca artikel yang kau tulis dulu tu. Memang akulah yang tukang baca, tukang semak kau punya karangan kan,” panjang lebar ucapan Annisa kepada Irine.

“Kau buat aku touchinglah pagi-pagi ni. Thanks Nisa. Kau sentiasa support aku dari zaman sekolah lagi. Kau dah macam adik-beradik aku. I love you!” Irine hampir menitiskan air mata apabila Annisa memberi ucapan sebegitu kepada dirinya.

Mereka berdua memang rapat sejak kecil lagi. Ada yang mengelar mereka ‘kembar tak seiras’.

Irine tiba di perkarangan bangunan Wisma Datuk Azman. Dia memarkir keretanya di tempat parkir yang disediakan. Ada seorang lelaki muda dalam linkungan 20-an membantunya membuka pintu kereta.

“Takpe saya boleh buat sendiri. Err.. terima kasih,” belum sempat Irine menolak pertolongan tersebut, pemuda tersebut sudah pun membantunya hingga ke hadapan pintu wisma.

“Cik Irine?” tanya pemuda tersebut.

“Ya saya. Awak ni..?”

“Mulai hari ini saya pembantu Cik Irine. Saya Shafie. Boleh panggil saya Piee pun okay aje. Mari saya bawa Cik Irine naik ke pejabat,” Shafie sempat bergurau dengan Irine.

“Okay, nice to meet you,” balas Irine yang sedikit kekok dengan layanan yang diberikan.

Mereka berdua melangkah masuk ke dalam lif. Bahu Irine terlanggar seorang pemuda lelaki berkaca mata hitam. Tanpa melihat wajah pemuda lelaki tersebut Irine cepat-cepat meminta maaf.

“Encik, saya minta maaf. Saya tak perasan tadi..” kata-kata Irine terhenti di situ.

Lelaki itu hanya memberi isyarat tangan kepadanya. Pemuda lelaki itu kelihatan tergesa-gesa keluar dari pintu lif.

“Cik Irine. Kenapa?” tanya Shafie sambil menekan butang yang menunjukkan tingkat 22.

“Awak kenal tak lelaki tadi tu? Dia kerja dekat sini ke?” tanya Irine dengan bersungguh kepada Shafie.

“Saya rasa dia client Datuk tu Cik Irine. Tak pernah pulak nampak dia dekat bangunan ni,” balas Shafie ringkas.

“Mari Cik Irine. Dah sampai dah pun,” Shafie melihat bosnya yang hanya berdiam diri selepas terserempak dengan lelaki tadi.

“Hah, ya.”

Irine melangkah masuk ke ruang pejabat majalah. Pejabat yang berkonsepkan santai dengan warna dinding yang menarik, membuatkan Irine terkesima sebentar.

Dia mengalihkan pandangannya ke seluruh pelusuk pejabat. Cantiklah!

“Kenalkan ni Ketua Editor baru kita, Cik Nur Fakhrin Maisara,” sedari tadi pekerja-pekerja di pejabat itu sudah berkumpul di hadapan Irine.

Pekerja perempuan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Irine.

“Boleh panggil saya Cik Irine,” Irine memperkenalkan dirinya.

“Selamat berkenalan Cik Irine!” kata salah seorang pekerja senior yang berada di situ.

“Cik Irine, saya minta diri dulu. Saya ada tugasan luar yang perlu diselesaikan. Apa-apa Cik Irine boleh tanya dengan Puan Zahirah, dia dah lama bekerja di sini. Saya pergi dulu,” terkocoh-kocoh Shafie mengambil barang-barangnya di atas meja dan berlalu keluar.

Irine menuju ke bilik khas yang disediakan untuknya. Pejabat yang dilengkapi dengan sebuah komputer berjenama Macbook terletak di atas meja.

Dinding gelas yang membolehkan Irine memantau pekerja-pekerjanya dari dalam biliknya sendiri. Bunyi getaran di telefon bimbit Irine menandakan ada mesej masuk.

Lunch together at 12pm, dear.

Mesej ringkas dari Datuk Azman membuatkan Irine tersenyum ketika membacanya. Dia hanya balas mesej ayahnya secara ringkas.

Alright.

Irine meneliti fail-fail yang tersusun di atas mejanya. Dia mempelajari satu persatu isi kandungan fail tersebut. Haihhh…

“Shafie masuk. Now!” ada nada tegas apabila Irine memanggil Shafie untuk masuk ke biliknya.

“Ya Cik Irine ada apa yang boleh saya bantu?” ada nada gementar pada suara Shafie apabila melihat bosnya menunjukkan fail-fail di atas meja.

“Fail-fail ni banyak tak lengkap. Kan? Saya nak awak semak semula berita, artikel, rencana. Cari yang baru. Tu semua bahan beberapa tahun lepas. Saya nak yang baru. Then, meeting at 3 pm today,” Irine memberi arahan kepada Shafie dengan nada serius.

“Baik Cik Irine,” Shafie mengutip semua fail-fail yang berada di atas meja dan berlalu keluar.

Jam menunjukkan pukul 11.50 pagi. Irine melangkah menuju ke pejabat ayahnya.

Semua staf memandang ke arahnya. Seorang wanita berpakaian sut hitam menghampirinya. Berjalan seperti ingin mencari gaduh dengan Irine.

“Cik ada buat appointment ke dengan Datuk?” tanya wanita tersebut.

“Ada kot,” jawab Irine selamba.

“Sekejap ya, saya semak semula,” wanita itu menyemak setiap helaian bukunya.

“Datuk takde buat appointment dengan sesiapa hari ini. So, Cik boleh pergi dari sini saya rasa.”

“Okay, good then,” Irine melangkah menuju ke bilik ayahnya dengan selamba tanpa menghiraukan wanita tersebut.

“Cik ni tak faham bahasa ke? Cik tidak dibenarkan masuk ke bilik Datuk. Cik keluar sekarang,” wanita tersebut menarik lengan Irine dengan kasar sekali, membuatkan Irine hampir terjatuh.

“Saya rasa awak yang kena keluar sekarang,” Irine tersenyum sinis ke arah wanita tersebut.

Staf-staf yang lain terkejut apabila mendengar kata-kata Irine.

Tiba-tiba Datuk Azman keluar dari biliknya.

“Irine!”

“Ya,” Jawab Irine terkejut apabila melihat ayahnya sudah berada di hadapan pintu bilik.

“Jom pergi makan dekat bawah, sayang..” Datuk Azman merangkul pinggang anaknya itu, membuatkan semua pekerja terkesima dengan tindakan Datuk Azman.

“Okay, sayang,” Irine membalas pelawaan ayahnya itu. Dia kemudian berpaling ke arah wanita tersebut.

“I nak keluar dengan sayang I, you take care of this office okay,” Irine sahaja menyakat wanita tersebut.

Tulah lainkali jangan berlagak sangat dengan aku!

“Irine sudah-sudahlah tu. Kata nak dating,” Datuk Azman hanya tersenyum melihat gelagat anak bongsunya yang suka menyakat orang.

“Okay, Irine datang ni,” balas Irine menuju ke pintu lif.

Datuk Azman memberi peluang anaknya memilih tempat untuk makan tengahari bersama. Dia hanya memilih untuk makan di tempat yang berdekatan dengan pejabatnya memandangkan pada jam 3 petang ada mesyuarat yang perlu dia hadiri.

“Ayah, kita makan di sini sajalah,” ajak Irine.

“Kenapa ni? Selalunya Irine bawa ayah ke tempat yang istimewa. Hari ini kenapa anak ayah ni, baru masuk kerja dah moody semacam,” Datuk Azman cuba memujuk anak bongsunya itu yang kelihatan memuncungkan bibirnya saat keluar dati pejabat.

“Ada meeting kejap lagi ayah,” Ringkas sahaja Irine menjawab.

“Eh, hari pertama dah buat meeting? Lajunya bos ni,” usik Datuk Azman.

“Takdelah, tadi Irine semak fail-fail. Then, ada aje yang tak lengkap. So, Irine tak naklah benda ni lambat settle,” adu Irine kepada ayahnya.

“Sabarlah, nak jadi ketua yang berjaya memang macam gitu. Kita beri tunjuk ajar pada mereka, tetapi jangan sesekali buat mereka hilang hormat pada kita. Ingat tu,” pesan ayahnya.

“Okay, ayah.”

Bunyi deruan kereta di tempat parkir kereta rumah mengejutkan ibunya yang baru sahaja selesai menunaikan solat Maghrib bersama ayahnya. Ibunya segera membuka telekung, dan keluar dari ruang solat untuk membuka pintu.

“Assalamualaikum!” kedengaran suara Irine memberi salam dari luar rumah.

“Waalaikumusalam. Sekejap Irine!” ibunya menyaut salam.

“Ibu..” Irine terus memeluk ibunya sejurus sahaja pintu rumah dibuka.

“Kenapa ni sayang?”

“Rindu ibu,” luah Irine sambil tersenyum di hadapan pintu.

“Iya, dah cepat masuk pergi solat Maghrib,” tegur Datin Yusfizah.

“Dah, tadi dalam perjalanan singgah dekat surau plaza tol sekejap,” jawab Irine.

“Oh, alhamdulilah. Jom makan ya.”

Selesai sahaja makan malam bersama, Irine terus masuk ke biliknya.

Hari pertama yang sungguh mencabar. Nasib baik apabila tiba waktu mesyuarat tadi semuanya memberi kerjasama dengan cukup baik.

Mereka mengeluarkan idea masing-masing yang sememangnya bernas. Kalau tidak, sampai ke tengah malam Irine masih tidak pulang ke rumah semata-mata mahu menyiapkan kerjanya.

“Irine, boleh ayah masuk,” Datuk Azman menguak sedikit pintu bilik anak bongsunya.

“Masuklah,” pelawa Irine.

“Esok ayah nak bawa Irine jumpa seseorang. Mungkin nanti Irine boleh bekerjasama dengan dia,” terang Datuk Azman.

“Siapa ayah? Ayah ni ada-ada ajelah. Irine baru lagi, jadi berilah Irine masa nak uruskan pejabat dulu,” Irine memberitahu ayahnya.

Matanya masih tertancap di skrin computer menaip sesuatu. Selain menjadi Ketua Editor majalah, Irine juga gemar menulis cerpen dan menghantarkan karyanya di laman sosial.

Irine juga pernah menghasilkan sebuah novel ketika dia masih menuntut di universiti.

“Dia anak kawan ayah. Lelaki. Irine berkenalan lah dulu. Mana tahu boleh jadi rakan kongsi atau su..”

“Hah! Ayah jangan fikir benda lain ya,” belum sempat Datuk Azman menghabiskan ayatnya, Irine memotong kata-kata ayahnya itu.

“Eh, apa salahnya. Dah boleh kan? Anak ayah ni dah besar,” usik Datuk Azman sambil tersenyum melihat wajah anaknya yang sudah merona merah.

“Ayah ni pandai bergurau sekarang. Hahaha.”

***

Siapa lelaki yang langgar aku dua minggu lepas ye? Kenapa macam ada rasa sesuatu bila aku tengok dia.

Ya Allah! Irine kau dah angau ke? Tak mungkin hero aku yang dulu tu. Hero! Aku tunggu kau.

Fikiran Irine menerawang seketika mengingatkan kembali kejadian di hadapan pintu lif tempoh hari.

Tangannya bermain-main pen di atas meja yang kelihatan sudah berselerakan.

“Cik Irine, ini minit mesyuarat tadi. Saya rasa dah lengkap tu, bolehlah semak,” Shafie menghulurkan fail minit mesyuarat kepada Irine tetapi tidak disambutnya. Fikirannya masih menerawang jauh.

“Cik Iri..”

“Letak aje atas meja tu,” tiba-tiba Irine bersuara, membuatkan Shafie tersentak sedikit.

“Baik Cik Irine,” Shafie berlalu keluar tanpa menghiraukan perlakuan bosnya itu. Telefon bimbit Samsung Galaxy S7 edge berdering minta diangkat.

“Hello.”

“Irine, nanti pukul 12 tengahari teman ayah keluar lunch dengan client boleh?”

“Okay ayah.”

“Alright, jumpa nanti. Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam.”

“Wah, dah besar panjang anak kau sekarang Man! Cantik pulak tu. Dah berpunya ke belum? Hahaha…”

perbualan antara dua orang sahabat baik juga merangkap rakan kongsi disaksikan oleh Irine yang kelihatan tertanya-tanya siapakah lelaki bermisai tebal yang berada di hadapannya saat ini.

“Irine, ini ayah kenalkan Datuk Alias, kawan sekolah ayah dulu. Sekarang ni jadi rakan kongsilah kan,” Datuk Azman memperkenalkan Datuk Alias kepada Irine.

“Apa khabar Uncle? Sihat?” Irine cuba memulakan bicara.

“Alhamdulilah macam ni lah sekarang. Nasib baik ada anak Uncle yang boleh tengok-tengokkan syarikat. Nanti Irine bolehlah kenal-kenal dulu dengan dia."

“Okay,” Irine hanya balas sepatah.

Dia kelihatan sudah mula bosan. Air di atas meja dihirupnya bagi melegakan sedikit tekak yang kehausan.

Sedang Irine menghirup minumannya, seorang lelaki dengan pakaian sut hitam yang segak sekali berjalan ke arah meja makan mereka bertiga. Dari arah jauh kelihatan seperti, Zafrel! Hero aku!

“Sorry lambat. Siapkan kerja sekejap. Datuk sihat?” sapa Zafrel, tangan dihulurkan untuk bersalam dengan Datuk Azman.

Irine hanya membatu di sebelah ayahnya, terkesima melihat Ummar Zafrel, seperti tidak percaya apa yang dilihatnya saat ini.

Itulah lelaki yang menyelamatkannya dari dilanggar kereta, dia juga yang membawa Irine ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Irine, kenapa ni? Macam nampak hantu?” soal Datuk Azman apabila melihat anaknya yang hanya berdiam diri sedari tadi.

Zafrel mengambil tempat duduk di sebelah ayahnya, Datuk Alias juga berdepan dengan Irine.

“Zaf, nilah Irine yang abah cerita hari tu,” Datuk Alias memperkenalkan Irine kepada Zafrel yang sudah melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan Irine.

“Oh, ni ke?”

Zafrel hanya tersenyum sinis apabila melihat Irine yang tersipu-sipu malu.

Irine! Bertenang Irine! Muka kau dah merah padam ni. Apa aku nak buat ni, takkan nak sorok bawah meja kot. Steady Irine! Steady.

“Irine..” nama itu tiba-tiba terkeluar dari mulut Zafrel. Irine mendongakkan sedikit wajahnya ke arah Zafrel.

“Ya.”

“Dah berapa lama awak jadi secret novalist?” soalan itu tiba-tiba terpancul dari mulut Zafrel. Datuk Alias dan datuk Azman juga terkejut mendengar pertanyaan yang diajukan Zafrel kepada Irine.

“Novalist? Ayah tak tahu pun anak ayah ni menulis novel,” Datuk Azman menyindir Irine.

“Err, tu minat dulu-dulu waktu belajar ayah. Sekarang dah kurang sikit. Hehehe…” Irine cuba menahan malu.

“Eh, kalau Irine ni secret novalist. Macam mana Zafrel tahu yang novalist tu adalah Irine?” kini giliran Datuk Alias pula cuba mencungkil rahsia.

“Hmm.. penerbit buku beritahu. Tapi beritahu Zaf sorang ajelah abah. Sebab Zaf kan ‘regular customer’,” sahaja Zafrel tekankan perkataan regular customer itu.

Dia sendiri sudah hilang akal nak menjawab.

Hah! Dahlah langgar aku tempoh hari, boleh dia blah gitu je. Padan muka, nak kenakan aku sangat kan. Rasakan! Kau jawablah, pandai-pandai memutarbelit cerita.

Tapi kenapa dia tak beritahu perkara sebenar. Mungkin sebab mahu melindungi Suraya. Mana Suraya sekarang ya. Dah 8 tahun berlalu.

“Irine,” panggilan ayahnya membuatkan Irine tersedar dari lamunan.

“Ya, ayah.”

“Ayah ada meeting kejap lagi. Ayah naik dulu. Terima kasih Alias sebab sudi makan sama hari ini,” mereka berdua berjabat tangan sebelum berpisah.

“Zaf, nak ikut abah balik atau ada urusan lain?” tanya Datuk Alias kepada anaknya.

“Zaf, ada kerja luar nak buat. Abah baliklah dulu.”

“Okaylah kalau macam tu. Abah balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam,” ucap Zafrel.

Irine melangkah keluar dari restoran. Zafrel mendepakan kedua-dua belah tangannya bagi menghalang laluan Irine.

“Kejap! Kejap!”

“Kenapa?”

“Hmm… kalau awak sudi, boleh tak keluar makan malam dengan saya hari ini?” tanya Zafrel yang kelihatan bersungguh-sungguh mengajak Irine.

Irine hanya berdiam diri.

“Takpelah kalau awak tak sudi. Mungkin lain kali.”

“Pukul 8 malam tepat. Jangan lambat,” ringkas sahaja jawapan yang diberi oleh Irine.

***

“So, awak nak bawa saya ke mana ni?” tanya Irine, sejurus sahaja dia masuk ke perut kereta Zafrel.

“Ke hati awak…” selamba sahaja jawapan yang diberikan oleh Zafrel.

Irine terus memalingkan pandangannya ke luar tingkap. Terasa sedikit bahang di wajahnya saat ini.

“Cantik, bulan malam ni,” Irine cuba menutup rasa malunya terhadap Zafrel.

Kereta BMW 7 series meluncur laju di atas jalan raya pada malam itu. Jalan raya kelihatan sedikit lenggang jika dibandingkan pada hari minggu.

“Okay, jom. Kita dah sampai,” mereka berdua sampai ke sebuah restoran mewah di tengah ibu kota. Zafrel menghalang Irine untuk membuka pintu kereta.

“Takpe, saya boleh buka sendiri,” Irine menolak perlawaan Zafrel.

“It’s okay. Malam ni saya nak layan awak bagaikan puteri,” balas Zafrel dan kemudian tersenyum melihat Irine yang mengenakan dress bercorak bunga-bunga kecil berwarna ‘dusty pink’ dipadankan dengan selendang berwarna coklat terang.

Pemakaian Irine agak sederhana jika dibandingkan dengan anak orang kaya yang lain, ketara sangat kemewahan mereka.

Itu yang membuatkan Zafrel tertawan dengan Irine sejak dari mula mereka berjumpa dahulu.

Kesederhanaan dan sikap Irine membuatkan dia sedar bahawa kemewahan bukanlah segalanya, tidak perlu menunjuk-nunjuk kekayaan yang kita miliki.

“Zafrel…” panggil Irine apabila dia melihat Zafrel masih lagi tercegat di tepi keretanya.

“Hah, ya. Maaf maaf,” Zafrel kemudian berlari ke arah Irine yang sudah berada di hadapan pintu restoran.

“Kenapa saya rasa restoran ni macam tutup aje. Jomlah makan tempat lain,” ajak Irine yang terngendap-ngendap bahagian dalam restoran tersebut dari dinding cermin luar.

“Eh, bukalah. Restoran macam ni memang eksklusif sikit. Untuk orang yang tertentu sahaja,” Terang Zafrel yang mula gelisah.

“Okay,” Irine mengikuti langkah Zafrel masuk ke restoran.

Kelihatan ada juga beberapa orang pelanggan yang duduk di suatu sudut. Wajah mereka tidak dapat dilihat oleh Irine kerana terselindung di sebalik tembok.

Mereka berdua duduk di tempat yang disediakan oleh pelayan restoran itu.

Irine meneliti di setiap pelusuk restoran. Cantik! Tempat orang kaya memang begini.

Kerusi dan meja yang mewah, diiringi dengan alunan muzik instrumental di dalam restoran. Tenang sungguh rasanya untuk menikmati hidangan.

Selepas pelayan restoran itu mengambil pesanan makanan mereka berdua, mata Irine kembali meneroka di setiap sudut restoran. Dia betul-betul sudah tertarik dengan keunikan susun atur restoran tersebut.

“Irine,” Zafrel ingin memulakan perbualan. Sedari tadi mereka berdua hanya berdiam diri.

“Ya, saya. Err… maaflah. Saya tertarik sangat dengan restoran ni. Pandai awak pilih,” tergagap-gagap Irine membalas apabila melihat Zafrel sudah tepat memandang ke arahnya.

“Saya rasa, saya nak bina masjidlah.”

“Hah, kenapa? Awak dah penat nak bina bangunan ke? Projek baru ya?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Irine kerana terlalu gementar di hadapan Zafrel.

Irine menghirup sedikit air teh limau panas yang berada di atas meja.

“Hahaha. Awak ni pandai bergurau jugak ya Irine,” Zafrel tiba-tiba ketawa melihat Irine yang sudah tidak keruan di tempat duduknya.

“Hahaha..”

“Saya nak bina masjid untuk sambungkan hubungan di antara kita.”

“Hah?” Irine terkesima dengan jawapan yang diberikan oleh Zafrel. Dia faham benar apa yang Zafrel maksudkan.

“Sudi tak kalau awak nak tolong saya sama-sama bina masjid tu? Biar utuh,” kali ini wajah Zafrel sedikit serius berbanding tadi.

Irine memandang wajah Zafrel.

“Awak…”

“Irine sebenarnya saya dah suka, hmm I means dah ada rasa tu masa kita mula-mula jumpa lagi. Lama saya cari awak. Saya tanya Annisa, dia kata awak dah pindah ikut parents awak. Jadi, sampai sekarang saya... masih lagi berharap dekat awak,” Zafrel memberanikan diri untuk berterus-terang kepada Irine.

“Saya.. sudi..”

“Allahu! Alhamdulilah, berbesanlah kita tak lama lagi,” kedengaran suara seorang lelaki dari arah belakang Irine.

Kelihatan Datuk Alias dan Datuk Azman melambai-lambai ke arah Irine dan Zafrel apabila mereka berdua berpaling ke belakang.

Pelanggan yang berada di sebalik tembok itu, rupa-rupanya ibu bapa mereka berdua yang mengintai anak-anak mereka.

Semua ini sebenarnya adalah rancangan Zafrel sendiri. Dia ingin melamar Irine, tetapi dia risau jika Irine tidak selesa berdua sahaja dengannya.

Jadi Zafrel menjemput ibu bapanya dan juga ibu bapa Irine untuk turut sama menjayakan rancangannya.

“Ayah? Ibu?” wajah Irine sedikit terkejut. Dia kemudian berpaling ke Zafrel semula.

“Hmmm…” Zafrel hanya tersengih melihat gelagat Irine yang terkejut itu.

“Aaa..wak..”

“Oh ya. Saya ingat nak date berdua aje tapi tak manis pulak nanti sebab kita belum kahwin. Jadi, saya bawalah mereka sekali. Sweetkan?” selamba Zafrel memberi jawapan kepada Irine.

“Hhmm.. Awak ni pandai kan. Saya pun tunggu awak selama ni. Saya berharap saya dapat jumpa awak semula. Actually, I want to thank you in a more polite way.

"Just, masa tu ada Suraya. Saya tak nak dia salah faham atas kebaikan yang awak buat dekat saya. Saya percaya keadaan akan bertambah keruh jika saya berhubung dengan awak,” giliran Irine pula meluahkan perasaan yang dipendamnya selama ini.

“Oh…kira awak dah lama suka saya lah ni. Hahahaha..” Zafrel cuba mengusik Irine.

“Eh! Awak pun sama.”

“Jadi, bila boleh berlangsung ni?” tiba-tiba Datuk Alias menyergah ke tempat duduk mereka berdua.

“Abah, saya yang nak kahwin ke abah yang nak kahwin ni,” gurau Zafrel bersama ayahnya.

“Lagi cepat lagi bagus!” giliran Datin Zahara pula mencelah.

Tergambar keseronokan wajah kedua-dua orang tua mereka. Mereka bersyukur sangat Zafrel memilih Irine sebagai isteri.

“Bulan depan. InshaaAllah,” Zafrel memberi jawapan ringkas.

“Alhamdulilah!” serentak Datuk Azman dan Datuk Alias mengucap syukur.

“Assalamualaikum..” seorang wanita bertudung serta berjubah hitam melangkah masuk ke restoran bersama seorang lelaki berkemeja biru laut di sebelahnya.

“Waalaikumusalam. Anak abah Suraya! Sampai jugak pun dia dekat sini. Mari sini, join kami,” Datuk Alias mengajak Suraya ke meja makan. Suraya bersalaman dengan ayahnya.

“Maaf abah. Lambat sikit, flight delay tadi,” jelas Suraya. Dia kelihatan manis berpakaian begitu. Alhamdulilah sekiranya dia sudah insaf.

“Takpe, duduk. Saya kenalkan anak kedua saya, Suraya. Dia baru balik dari Mesir. Ini pula suaminya, Syed Mokhtar,” Datuk Alias memperkenalkan Suraya kepada semua orang.

“Irine… saya nak minta maaf. Bila abang saya beritahu yang dia dah jumpa awak.

"Saya terus bergegas balik Malaysia sebab nak jumpa awak. Saya minta maaf atas semua perbuatan saya terhadap awak,” Suraya meluahkan isi hatinya kepada Irine.

Baru Irine tahu, Suraya sebenarnya anak angkat kepada Datin Zahara dan Datuk Alias.

Ibu bapanya bercerai dan tidak mengendahkannya. Dia terlalu tertekan atas perbuatan kedua ibu bapanya menyebabkan dia hilang arah.

“Takpe, saya dah lama maafkan awak,” Irine mengenggam tangan Suraya dengan eratnya.

“Okay, jemput makan semua! Malam ni istimewa, kita ada pengantin baru dan bakal pengantin,” ucap Datuk Alias.

Irine dan Zafrel hanya tersenyum sesama sendiri apabila wajah mereka berdua bertemu di antara satu sama lain.

Hero, terima kasih buat selamanya. Cinta yang selama ini aku tunggu, kini kembali. Akan aku rakam setiap detik kita bersama.

~Tamat

BACA INI JUGA: Cerpen: Apabila Aku Jadi Bini

Sumber: Penulisan2u

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

SP rajinnya menulis..ada wajah artis terkenal ..pasti menarik ni

Penulis asal cerpen ni yang sangat rajin :)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon