Saturday, October 22, 2016

10 Lagi Produk Kosmetik Dikesan Ada Kandungan Racun 2016


Orang ramai dinasihati supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan 10 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.

Kosmetik beracun

Produk-produk kosmetik itu mengandungi asid azelaik, hidrokuinon atau tretinoin dan logam berat merkuri dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk-produk kosmetik itu adalah:
  1. Melan: Off Intensive Mask
  2. Melan: Off Cream
  3. Afrina Night Cream
  4. Afrina Daily Cream
  5. Krim Herba Kemboja
  6. Day Pinky Cream
  7. Night Glow Cream
  8. Debella Nadien Glow Night Cream
  9. Mekar Semilu Scrub Muka Mutiara Beautyv Collection
  10. Mekar Semilu Cream Mekarsutra

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi asid azelaik, hidrokuinon atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Kebiasaannya hidrokuinon digunakan bagi merawat kulit yang mengalami masalah hiperpigmentasi, manakala tretinoin dan asid azelaik pula digunakan untuk mengurangkan kesan inflamasi bagi merawat masalah jerawat.

"Penggunaan hidrokuinon, asid azelaik dan atau tretinoin tanpa mendapat nasihat kepakaran daripada profesional kesihatan dikhuatiri boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.

"Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan dan pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk kosmetik berkenaan diarah untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik kesemua stok fizikal produk kosmetik tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

Katanya sesiapa yang mempunyai stok produk kosmetik tersebut dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Beliau mengingatkan penjual bahawa pemilikan produk-produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Orang ramai diminta menghubungi Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78018496/78835537/78835532 jika mengalami kesan sampingan atau kesan buruk penggunaan produk kosmetik.

BACA INI JUGA:

Sumber: SH

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon