Wednesday, September 28, 2016

NGO Cina Islam Pertahan Mualaf, Susahnya Nak Dapat Zakat


Sindiket perguna mualaf untuk menipu wang zakat? Benar atau tidak, yang nyata, sesetengah persatuan yang berurusan langsung dengan asnaf ini menjelaskan mereka tidak tahu menahu.

Zakat

Bagaimanapun, yang pasti, kata mereka, bantuan itu sukar diperoleh dan tidak seberapa.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Cina Islam Malaysia Melaka Lim Jooi Soon berkata jika perkara itu benar-benar berlaku, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) perlu membuktikannya.

“Saya tak pernah jumpa kes macam ni. Biasanya mualaf minta bantuan baitulmal sudahlah susah. Lepas itu bila dah dapat, (berapa) dapat sangat.

“Tugas mereka, bila mualaf mohon, dia patut berikan kerana wang zakat itu memang untuk asnaf itu. Jadi apa yang mereka buat (dengan wang itu) adalah urusan dia dengan Allah.

“Ada tak orang minta bantuan dan akhirnya beri pada orang lain? Bila awak sendiri susah, awak willing tak beri pada orang lain ke?

“Kadang-kadang memang ada orang ajar dia (mualaf) cara mohon bantuan tapi (baitulmal) tuduh ada fakta? Dan kalau betul, tunjuk dan ambil tindakan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Pengurus Baitulmal Maiwp, Ahmad Tarmizi Yahya mendakwa wujud sindiket mempergunakan golongan mualaf di negara ini bagi mendapatkan bantuan kewangan.

Ahmad Tarmizi berkata perkara tersebut perlu didedahkan selepas banyak yang mempersoalkan kesukaran golongan itu mendapatkan bantuan daripada agensi di bawah majlis agama Islam.

Lim berkata baitulmal sebagai badan yang bertanggungjawab memberikan bantuan kepada mualaf dilihat sangat sukar berbuat demikian atas kekangan birokrasi.

Katanya, baitulmal seharusnya mencari mualaf yang baru masuk Islam dan bukan hanya menunggu permohonan dari mereka.

“Saya rasa birokrasi sangat tinggi, bukan tunggu orang (mualaf) minta tapi dia (baitulmal) kena cari. Kutip zakat bukan main laju, amil berlambak. Mereka kena cari orang yang memerlukan bantuan kerana wang itu khas untuk mereka.

“(Bila sudah pohon) ada enam bulan, ada setahun (untuk dapat bantuan) sebab kena tunggu beberapa kali mesyuarat untuk ditapis senarai itu.

“Selepas itu (untuk terima bantuan) mereka (mualaf kena) tunggu apa-apa perayaan, majlis barulah bantuan itu diberi depan menteri, depan wakil rakyat, atau tangguh-tangguh sampai hari raya. Ini semua makan masa,” kesalnya.

Tunjuk agihan

Sementara itu aktivis Islamic Outreach ABIM Center Normah Sulaiman pula turut berkata ini kali pertama beliau mendengar mengenai sindiket itu.

Katanya, di pihak NGO perkara tersebut tidak berlaku kerana kesukaran mendapatkan bantuan dari badan itu.

Bagaimanapun di pihak individu, beliau tidak mengetahui sekiranya ia benar-benar terjadi.

“Saya pertama kali dengar, kerana kita (NGO) minta pun tak dapat. Kerana dia ada kriteria dia, kita dalam NGO kita tak ambil kesempatan dari mualaf untuk dapatkan wang.

“Tapi kalau nak ikutkan, mualaf yang kita minta bantuan kerana mereka itu asnaf, kita ada hak untuk minta dan dia (baitulmal) pun kena beri pada kita,” katanya yang menambah baitulmal harus menunjukkan bagaimana wang itu diagihkan.

Normah berkata, bantuan yang diberikan kepada mualaf bukan sekadar wang sebaliknya apa yang lebih perlu ditekankan adalah ilmu mengenai agama Islam.

“Pada kita di NGO, lebih penting beri ilmu. Kita juga suka kalau bagi bantuan kalau mereka datang untuk berjinak-jinak dengan Islam, seperti beri duit pengangkutan,” katanya.

BACA INI JUGA: Kisah Inspirasi Seorang Mualaf Yang Perlu Dicontohi

Sumber: Mkini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon