Sep 22, 2016

Kanser Prostat Pembunuh Senyap Lelaki Kedua Tertinggi Di Malaysia!

Dia melalui hidupnya dengan ceria selama 63 tahun. Pada suatu hari, A. S. Dass, 77, mendapat sekeping kupon daripada salah seorang rakannya untuk membuat pemeriksaan kesihatan melalui ujian darah di hospital dengan tawaran separuh harga.

Kanser Prostat

Yakin dengan kesihatan diri yang baginya berada pada paras optimum, Dass tidak mengendahkan kupon tersebut. Namun, setelah diingatkan kawannya sekali lagi, Dass akhirnya mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan tersebut.

Sewaktu membuat pendaftaran di bahagian pesakit luar, jururawat bertugas mencadangkan Dass membuat pemeriksaan tambahan khas buat kaum lelaki iaitu antigen khusus prostat (PSA) memandangkan dirinya sudah mencecah usia warga emas.

PSA merupakan protein yang dihasilkan oleh sel kelenjar prostat ke dalam saluran darah. Sampel darah akan dihantar ke makmal untuk proses biopsi dan analisis. Peningkatan tahap antigen ini mungkin menunjukkan kehadiran kanser prostat.

“Selepas 10 hari, saya mendapat panggilan daripada pihak hospital memaklumkan hasil pemeriksaan sudah diketahui dan doktor ingin menemui saya,” ujarnya.

Namun, Dass tiba lewat pada tarikh yang dijanjikan dan tidak sempat untuk bertemu dengan doktor. Transkrip pemeriksaan kesihatan di tangannya menunjukkan bacaan PSA 77.5. Dia mengandaikan bacaan tersebut adalah biasa.

Pada suatu hari, besannya datang melawat ke rumah dan bertanyakan hasil pemeriksaan kesihatan Dass. Sejurus diberitahu bacaan PSA yang diterima, besannya terkejut sehingga terlucut gelas yang dipegang.

“Saya sangat terkejut dengan reaksi yang diterima. Dia memberitahu bacaan tersebut terlalu tinggi dan meminta saya membuat pemeriksaan lanjut di hospital,” ujarnya yang membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Bacaan normal PSA lelaki sihat ialah antara kosong hingga empat.

“Pemeriksaan lanjutan dilakukan oleh seorang doktor wanita. Sungguh, saya berasa sangat segan apabila mendapati pemeriksaan awal dilakukan menggunakan jari,” kongsinya.

Hasil pemeriksaan tersebut mendapati prostat Dass tidak membengkak namun, paras PSAnya masih tinggi.

Dia kemudiannya dirujuk kepada pakar HUKM dan Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan menghidap penyakit kanser prostat dengan bacaan Gleason 3.36. Seterusnya, Dass menjalani rawatan pemulihan di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya.

Penggredan

Sistem penggredan Gleason digunakan untuk mengukur tahap aktif sel kanser prostat yang diperoleh daripada sampel darah. Pada skala terendah iaitu enam hingga 10, menunjukkan sel kanser semakin aktif jika bacaannya tinggi.

Sebagai rekod, prostat merupakan kelenjar sebesar kacang walnut yang terletak di bawah pundi kencing lelaki.

Meskipun saiz kelenjar ini kecil, ia tetap memberi impak terhadap orgasma serta gaya hidup seks lelaki.

Saat lelaki mencapai klimaks ketika melakukan seks, prostat akan melepaskan cecair berbentuk air mani sementara otot pada bahagian kelenjar tersebut menyalurkan air mani terus ke bahagian uretra.

Jika kelenjar prostat membengkak, secara tidak langsung ia akan mengecutkan saluran uretra serta mengganggu dinding pundi kencing sehingga mengakibatkan permasalahan perkumuhan (kencing). Tanpa pencegahan awal, masalah tersebut akan menjadi punca utama kepada kemunculan kanser.

Pemeriksaan awal

Mengakui penyakit yang dilabel sebagai pembunuh senyap lelaki kedua tertinggi di Malaysia selepas penyakit jantung itu agak sukar dikesan pada peringkat awal, Konsultan Urologi Pusat Perubatan Universiti Malaya ((PPUM), Dr. K. Shanggar, memberitahu, pembiakan sel kansernya lebih lambat berbanding jenis kanser lain.

“Walaupun seseorang pesakit itu telah didiagnos dengan kanser prostat tahap empat, namun, sel kansernya tidak merebak dengan cepat seperti jenis kanser lain.

"Jangka hayat pesakit juga boleh dipanjangkan sehingga lebih tiga tahun walaupun telah disahkan menghidap kanser tahap empat,” katanya.

Malah, pesakit juga bebas dan digalakkan untuk hidup sihat dengan melakukan pelbagai aktiviti fizikal.

Menurutnya, kanser prostat juga tergolong dalam ‘penyakit tua’ kerana kebanyakan penghidapnya terdiri daripada lelaki berumur lebih 50 tahun.

“Sebaiknya setiap lelaki yang menginjak usia 45 hingga 50 tahun tampil ke hospital berdekatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan terutamanya PSA kerana penyakit ini misteri dan tidak memberikan simptom khusus.

“Bagi mereka yang mempunyai sejarah kanser prostat dalam keluarga boleh membuat pemeriksaan awal pada usia 40-an,” sarannya.

Menurut Shanggar, hampir separuh daripada pesakit yang didiagnos dengan kanser prostat gagal untuk membuat pemeriksaan awal. Kebanyakan mereka disahkan menghidap kanser prostat tahap dua dan ke atas tanpa mengalami sebarang simptom.

“Rawatan untuk penyakit kanser prostat adalah berbeza mengikut tahap aktif sel individu,” tambahnya.

Jelasnya lagi, pesakit yang didiagnos dengan kanser tahap satu akan disarankan untuk bertenang dan melakukan ujian darah secara berkala dalam tempoh tiga bulan sekali bagi memantau paras PSA.

Bagi pesakit tahap dua dan tiga, mereka perlu menjalani rawatan radioterapi bagi mematikan sel kanser aktif. Selain itu, terdapat juga pilihan untuk melakukan pembedahan membuang prostat bagi pesakit tahap satu, dua dan tiga.

Biarpun pilihan pembedahan menjanjikan lebih banyak peluang untuk sembuh, namun kehilangan prostat juga berpotensi melemahkan tenaga batin lelaki.

Survival

Berbeza halnya dengan pesakit tahap empat. Pembedahan sangat tidak digalakkan buat mereka kerana sel kanser yang ada telah merebak jauh menembusi kapsul prostat dan menjangkiti organ lain terutamanya tulang.

“Penghidap kanser prostat tahap empat disarankan untuk mengambil rawatan hormon pada setiap tiga bulan bagi menyeimbangkan kembali hormon mereka,” katanya.

Shanggar juga menasihati pesakit yang telah bebas daripada sel kanser dan mempunyai bacaan PSA normal untuk sentiasa membuat pemeriksaan darah berkala tiga bulan sekali bagi memastikan ia tidak kembali atau dapat dicegah awal.

Akuinya, pesakit kanser prostat mempunyai potensi besar untuk bebas daripada sel kanser berbahaya sekiranya mengikut kaedah rawatan yang betul.

Dass antara survival kanser prostat yang telah bebas selama 14 tahun. Dia juga merupakan antara pengasas Persatuan Kanser Prostat Malaysia dan kumpulan sokongan pesakit kanser prostat di negara ini.

Bagaimanapun, baru-baru ini sekumpulan pakar saintis dan ahli fisiologi dari Universiti Edith Cowan, Australia telah membuat kajian titik perubahan terhadap keberhasilan senaman untuk merawat pesakit kanser.

Dee Dee Mahmood yang merupakan Profesor Adjung di universiti itu antara yang terlibat dalam kajian berkenaan.

“Hasil kajian tersebut mendapati, senaman berintensiti tinggi mampu membantu menguatkan tulang pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi.

"Malah, kajian lampau juga telah membuktikan aktiviti bersenam dapat merembeskan hormon positif untuk dihantar kepada otak.

“Minda yang positif itu pula secara tidak langsung membantu mempercepatkan proses penyembuhan seseorang pesakit,” jelasnya yang juga pensyarah sambilan di Pusat Sukan Universiti Malaya.

BACA INI JUGA:

Sumber: Kosmo

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon