Friday, September 30, 2016

Bahaya Kepada Kanak-kanak, Apa itu Rotavirus?


Di negara membangun, Rotavirus gastroenteritis adalah penyebab utama kematian kanak-kanak dan mengakibatkan sebanyak setengah juta kematian setiap tahun di kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Rotavirus

Apa sebenarnya punca utama jangkitan Rotavirus terhadap kanak-kanak?

Rotavirus adalah sejenis virus berbahaya yang menjadi punca cirit-birit teruk terutama di kalangan kanak-kanak.

Ia bukan sahaja berjangkit di kalangan bayi, malah kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun juga berpotensi dijangkiti virus berbahaya ini.

Rotavirus amat bahaya kerana apabila menjangkiti, ia akan merosakkan sel-sel usus kecil yang mengakibatkan gastroenteritis. Ia adalah punca dan penyebab utama cirit-birit dehidrasi yang teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak.

Rotavirus tidak memilih mangsa dan tempat untuk dijangkiti walaupun berada di tempat dengan air bersih dan sanitasi yang baik.

Hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti rotavirus menjelang usia lima tahun.

Kajian terkini menunjukkan bahawa 86.1 peratus daripada punca kes gastroenteritis rotavirus berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga 35 bulan.

Mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi sahaja adalah tidak mencukupi untuk mencegah jangkitan dan bahaya rotavirus.

Namun demikian, vaksin rotavirus telah didapati paling berkesan dan selamat dalam pencegahan jangkitan rotavirus di kalangan kanak-kanak.

Ibubapa di Malaysia perlu membuat pertimbangan untuk memvaksinkan bayi mereka terutama bayi yang berumur kurang dari enam bulan dengan vaksin rotavirus untuk melindungi mereka daripada sebarang bahaya rotavirus dan mengelakkan jangkitan.

Tanda-tanda, Bahaya Dan Simptom Jangkitan Rotavirus

Adalah sukar untuk membezakan cirit-birit yang disebabkan oleh rotavirus dengan yang disebabkan oleh jangkitan lain.

Perbezaan ini sukar dikenalpasti kerana simptomnya mungkin sama. Walau bagaimanapun, simptom jangkitan rotavirus selalunya lebih bahaya dan serius daripada cirit-birit akibat jangkitan lain.

Antara simptom jangkitan yang boleh dikenalpasti adalah muntah yang berlanjutan sehingga lapan hari, cirit-birit yang teruk melebihi sepuluh hari, sakit pada bahagian abdomen dan demam yang berlarutan.

Cirit-birit yang berlanjutan sehingga tiga minggu dan muntah secara kerap boleh menyebabkan dehidrasi iaitu kehilangan cecair dalam badan.

Jika keadaan ini tidak dirawat, dehidrasi yang teruk boleh membahayakan kerana akan mengakibatkan kerosakan organ, kejutan malah kematian di kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak boleh menyebarkan rotavirus sebelum dan selepas mereka jatuh sakit. Demikian pencegahan dan perlindungan dari ibu bapa dapat mengelak bahaya virus rotavirus ini menjangkiti mereka.

Langkah-langkah Pencegahan Rotavirus

Pembasmian kuman pada alat permainan dengan kerap dan mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik iaitu mencuci tangan sebelum mengendalikan makanan, selepas menggunakan tandas dan selepas menyentuh permukaan yang tercemar.

Ibu bapa juga dinasihatkan mengambil pelalian rotavirus kerana kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus mengumuh 100 billion partikel virus setiap gram najis dan hanya 10 partikel rotavirus yang berbahaya dan berjangkit sudah cukup menyebabkan berlaku jangkitan.

Walaupun amalan kebersihan diri yang baik merupakan langkah pencegahan yang lazim, kesannya adalah terhad untuk mencegah penyebaran rotavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pelalian rotavirus sebagai sebahagian daripada program imunisasi bayi kerana ia merupakan strategi pencegahan terbaik terhadap bahaya jangkitan rotavirus.

BACA INI JUGA: 14 Suntikan Pelalian Yang Wajib Untuk Anak Anda

Sumber: Utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon