Friday, August 26, 2016

Penyokong Celtic Kumpul Duit Derma Untuk Palestin, Dihukum UEFA Kibar Bendera!


Peminat bola sepak sering memperjuangkan idea bahawa politik tak sepatutnya dicampur-adukkan dengan bola sepak. Politik dan bola sepak ibarat air dan minyak. Ia tak boleh bercampur.

Celtic-Palestine-flags

Tetapi ada kalanya bola sepak menjadi platform terbaik untuk menyampaikan mesej politik.

Contoh terbaik adalah seperti apa yang berlaku ketika perlawanan play-off Champions League antara kelab gergasi Scotland, Celtic dengan kelab Israel, Hapoel Beer Sheva di Celtic Park pada 17 Ogos 2016 yang lepas.

Solidariti penyokong Celtic kepada Palestin

Dalam perlawanan yang menyaksikan Celtic menang 5-2 itu, ribuan penyokong Celtic yang diketuai oleh ultras The Green Brigade mengibarkan beribu-ribu bendera Palestin.

Pengibaran bendera Palestin ini merupakan aksi solidariti dan protes penyokong Celtic terhadap pencerobohan wilayah yang dilakukan oleh kerajaan Israel kepada Palestin.

Dan seperti yang sudah dijangka, aksi solidariti penyokong Celtic ini tidak terlepas daripada hukuman UEFA. Menurut UEFA dalam kenyataan rasminya di UEFA.com menjelaskan:

“Hukuman bakal dikenakan kepada Celtic atas kesalahan mempamerkan kain rentang atau bendera yang tak dibenarkan.”

“UEFA melarang sebarang ekspresi mesej politik terutama sekali yang mengundang rasa ofensif kepada pasukan lawan.”

Kesalahan yang dilakukan oleh penyokong, seperti mengibarkan bendera terlarang dan membakar suar, boleh menyebabkan kelab didenda melebihi £100,000 oleh UEFA.

‘Kesalahan’ mengibarkan bendera Palestin ini bukanlah aksi solidariti pertama dari penyokong Celtic kepada penderitaan rakyat Palestin.

Pada 2014, mereka pernah mengibarkan bendera Palestin ketika aksi menentang KR Reykjavik pada Julai 2014.

Akibatnya, Celtic didenda £16,000 oleh UEFA.

Bakal derma kepada Palestin jumlah sama dengan jumlah denda UEFA

Menyedari kelab mereka hampir pasti bakal didenda oleh UEFA kerana mengibarkan bendera Palestin pada 17 Ogos 2016 lepas, penyokong Celtic tampil bersedia.

Kali ini penyokong Celtic merancang untuk mengumpul derma sama banyak dengan amaun denda yang bakal UEFA kenakan kepada kelab mereka sebelum mendermakannya kepada 2 badan kebajikan Palestin.

Mereka merancang untuk mengumpul derma sebanyak £15,000 dahulu sebelum dibahagi-bahagikan 50/50 kepada:
  • Medical Aid Palestine (MAP) – sebuah badan kebajikan yang membekalkan servis kesihatan dan penjagaan perubatan kepada mangsa konflik dan pencerobohan wilayah di Palestin.
  • Lajee Centre – sebuah pusat bertanggungjawab menawarkan harapan dan medium ekspresi kepada kanak-kanak pelarian Palestin di kem pelarian Aida, Bethlehem melalui program-program kebudayaan dan sukan.

Mengapa £15,000 dahulu? Ini kerana £15,000 merupakan jumlah denda yang perlu dibayar oleh Celtic pada 2014 selepas penyokongnya mengibarkan bendera Palestin.

Jika UEFA mengambil keputusan untuk mendenda Celtic lebih daripada £15,000, penyokong Celtic akan terus mengumpul derma sehingga mencapai amaun sama dengan denda UEFA tersebut.

Sehingga waktu ketika artikel ini ditulis, jumlah kutipan derma mereka di laman web Go Fund Me sudah mencapai jumlah £140,531!

Mengapa penyokong Celtic beria-ia bantu Palestin?

Jika kita lihat dari mata kasar, sosiologi dan teologi, tiada satu aspek persamaan pun antara penyokong Celtic dengan orang Palestin.

Berbeza dengan orang Palestin, penyokong Celtic rata-ratanya merupakan rakyat Scotland berketurunan pendatang bangsa Irish yang beragama Kristian mazhab Roman Katolik.

Untuk menjawab soalan ini dengan tepat, kami ingin berkongsi bait-bait perenggan dari artikel Al-Jazeera ini:

“Ia (motif penyokong Celtic bantu orang Palestin) ada kena-mengena dengan fakta bahawa orang Irish bermazhab Katolik sendiri pernah ditindas selama beberapa generasi di Scotland.”

“Orang Irish yang berfahaman nasionalis sentiasa menyokong gerakan kemerdekaan yang didukung oleh keadilan fakta sejarah.”

“Situasi di Palestin ini adalah contoh klasik kes rampasan tanah daripada penduduk asal. Ia mempunyai banyak persamaan dengan sejarah bangsa Irish.”

UEFA berat sebelah?

Tahniah dan sekalung rasa penghormatan kami berikan kepada penyokong Celtic yang mengibarkan bendera Palestin, menyumbang duit dan mengatur gerakan kebajikan sosial ini.

Kepada UEFA, mereka perlu jelaskan amalan ‘talam dua muka’ atau double standard yang berlaku dalam organisasi anda.

Apabila penyokong Ajax Amsterdam, sebuah kelab yang berasal dari kawasan kejiranan Yahudi di Amsterdam, mengibarkan bendera Israel semegah-megahnya, mengapa tiada denda dikenakan kepada Ajax Amsterdam?

Celtic-Palestine-flags [2]

Mengapa apabila penyokong kelab Celtic mengibarkan bendera Palestin, mereka ‘bersusah-payah’ mahu mendenda Celtic?

Mereka mendenda pengibaran bendera Palestin kerana membawa motif politik. Sedangkan keputusan mereka untuk memasukkan Israel dalam UEFA sendiri merupakan motif politik!

Celtic-Palestine-flags [3]

Maka tak hairanlah ini jawapan yang diberi oleh penyokong Celtic kepada soalan-soalan di atas..

BACA INI JUGA: Pemuda Palestin Yang 'Takut' Mati Kerana Berhutang RM1.30!

Sumber: Semuanyabola

1 comment

  1. Israel mmg licik dlm melaksanakan agendanya... semua dah hampir dikuasinya...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon