Thursday, July 14, 2016

Juan Pablo Culasso, Lelaki Luarbiasa Yang Mampu Bezakan 3,000 Suara Burung!


Dilahirkan dalam keadaan sepenuhnya buta mata membuatkan warga Uruguay, Juan Pablo Culasso belum pernah melihat kewujudan alam waima seekor burung.

Juan Pablo Culasso

Namun, kehilangan indera penglihatan menjadikan deria pendengaran lelaki berusia 29 tahun itu sangat tajam. Dengan telinganya, dia mampu mengenali 3.000 suara burung daripada 720 spesies berbeza.

Juan sudah menyedari kelebihannya itu sejak masih kanak-kanak. Saat melempar batu ke sungai, dia dapat menyatakan dengan tepat nada yang terdengar setiap kali batu itu menyentuh permukaan air.

Kemampuan mendengarkan nada seperti ini merupakan bakat sangat nadir dan hanya dimiliki satu daripada 10,000 orang. Salah satu yang memiliki bakat ini adalah pemuzik tersohor Wolfgang Amadeus Mozart.

Juan kemudian mengenang bagaimana ayahnya pernah tekun membacakan sebuah ensiklopedia padat mengenai burung yang dilengkapi dengan kaset rakaman berisi pelbagai suara unik unggas tersebut.

“Itulah momen ketika saya mula menyedari bahawa saya mampu mengingati ribuan jenis burung hanya menerusi suaranya sahaja,” ujar Juan yang benar-benar memahami bakatnya itu pada 2003 lalu.

Ketika tahun itu, dia mengikut serta dalam kunjungan lapangan para pengamat burung dan beberapa pakar unggas memberinya rakaman pelbagai suara burung yang langsung membuatkannya jatuh cinta.

“Saat itu, saya berasa seperti sudah melakukan perkara sukar ini seumur hidup tanpa saya sedari. Saya langsung jatuh cinta dengan kegiatan ini,” kata Juan lagi kepada agensi berita Associated Press.

Juan Pablo Culasso [2]

Kini dia bekerja untuk merakam dan mempelajari kepelbagaian suara yang dihasilkan alam. Sebelum itu Juan pernah menyelesaikan satu pengembaraan di seluruh Antartika selama dua bulan.

Di sana, dia dikatakan berjaya merakamkan pelbagai suara aneh di benua terasing kutub selatan yang paling dingin, paling liar dan paling misteri seumpamanya di seluruh bumi.

“Saya terus menambahkan aneka suara baharu ke dalam koleksi peribadi saya. Di Antartika, saya merakam suara singa laut, anjing laut, dan suara gunung ais yang saljinya meleleh,” luah Juan.

Meskipun Juan masih mampu melihat cahaya sehingga dapat membezakan siang dan malam hari, namun dia tidak boleh menyaksikan bentuk atau warna burung-burung yang suaranya didengarkan.

Telinga satu-satunya sarana semula jadi Juan berhubungan lebih baik dengan dunia. Kemampuan membezakan suara memberinya pekerjaan untuk menghasilkan soundtrack atau bunyi runut banyak filem dokumentari.

Pada 2014, kemampuan unik ini membuat Juan berjaya memenangi hadiah utama sebesar AS$45,000 menerusi sebuah pertandingan yang dianjurkan stesen terkenal National Geography Channel.

Dalam babak akhir, Juan diminta mengenal pasti sejumlah 15 suara burung yang diambil secara rawak daripada 250 spesies, dan uniknya dia berhasil mengenali kesemua suara burung tersebut.

Juan Pablo Culasso [3]

Juan kemudian melaburkan kembali sebahagian besar daripada wangnya tersebut untuk membeli pelbagai peralatan audio moden untuk menunjang pekerjaannya selepas itu.

Alicia Munyo, Ketua Jabatan Fonologi Universiti Republica Uruguay menyatakan, kemampuan unik Juan itu sebenarnya lebih terkait dengan penggunaan optimum otak berbanding telinga.

“Dia sebenarnya dengar suara yang sama didengar orang lain. Otaknyalah yang memiliki kapasiti luar biasa untuk menerjemahkan pelbagai suara itu lebih daripada orang biasa,” ujarnya.

BACA INI JUGA: Sungguh Luarbiasa Orang Buta Pandu Motosikal!

Sumber: Agensi/Mynewshub/HAA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon