Sunday, July 17, 2016

Al-Biruni, Pakar Perbandingan Agama Pertama Di Dunia!


Siapakah pakar perbandingan agama pertama di dunia? Khilafah Abbasiyah adalah kuasa global nombor satu di dunia ketika pakar ini diahirkan.

Al-Biruni.jpg
Gambar hiasan.

Sebut sahaja “Ana Muslim”, ia memberi makna prestij sebagai ahli umat terbaik, tergagah dan yang paling bertamadun. Ekonomi China pun dimonopoli oleh umat Islam ketika itu!

Pada masa inilah, seorang ulama melahirkan tidak puas hati dengan wacana perbandingan agama pada zamannya kerana ia tidak adil, hanya bergantung pada rujukan sekunder yang tidak diedit, bukan pada rujukan utama yang asli.

Contohnya, seorang penyelidik ingin menulis tentang agama Hindu. Apa yang berlaku ialah penyelidik ini tidak menuntut ilmu tentang agama Hindu dari ilmuwan Hindu yang beragama Hindu sendiri.

Dia berpuas hati mengambil maklumat daripada mereka yang mungkin memusuhi agama Hindu. Penyelidik ini pula tidak berusaha untuk belajar bahasa Sanskrit iaitu bahasa asal Hinduisme.

Bahkan, jika seorang penyelidik adalah Muslim, dia mungkin mengambil maklumat daripada Muslim lain yang mempunyai prejudis terhadap agama Hindu.

Maka, maklumat yang diberikan adalah bersifat polemik iaitu hanya untuk membuktikan agama Hindu itu sesat dan agama Islam itu benar, bukan benar-benar untuk memahami ajaran Hindu yang sebenar. Bagaimana penyelidik ini boleh digelar “pakar”?

Bagi Abu Raihan Muhammad bin Ahmad al-Biruni, atau singkatannya “al-Biruni”, penyelidik-penyelidik yang mempunyai ciri-ciri di atas tidak boleh digelar “Pakar” perbandingan agama dalam erti kata yang sebenar.

Maka, al-Biruni pun belajar bahasa Sanskrit sehingga beliau mampu terjemahkan daripada Sanskrit ke bahasa Arab dan daripada bahasa Arab ke Sanskrit! Dua hala.

Beliau terjemahkan kitab-kitab Sanskrit agama Hindu seperti Yogasutra Patanjali dan Samkhya.

Al-Biruni berkata, “Saya tidak teragak-agak untuk mendapatkan kitab-kitab Sanskrit walau susah macam mana pun atau membelinya dengan harga apa pun dari tempat yang dekat atau yang jauh dan dari ilmuwan Hindu yang memahami kitab-kitab ini dan boleh mengajar saya.” (Kitab al-Hind)

Pada tahun 1017, al-Biruni bermusafir ke benua India demi untuk belajar kitab-kitab Hindu dari ilmuwan Hindu sendiri dan menulis sebuah masterpiece yang bakal membuktikan ketamadunan umat Islam yang tinggi dalam menghasilkan wacana perbandingan agama iaitu “Kitab al-Hind” (tajuk singkatan). Kitab ini diterjemahkan oleh Dr Edward Sachau.

Prof Annemerie Schimmel menulis dalam bukunya yang bertajuk Islam: An Introduction bahawa Kitab al-Hind adalah kitab pertama di dunia yang membincangkan sejarah sebuah agama secara objektif. Kitab ini mendapat pengiktirafan daripada tokoh-tokoh agama Hindu sendiri.

Apakah tujuan al-Biruni menulis masterpiece ini? Beliau berkata bahawa Kitab al-Hind bertujuan “untuk membantu mereka yang ingin berdialog agama dengan penganut Hindu dan sebagai gedung maklumat”. Matlamat dakwah al-Biruni jelas dalam tujuan yang dinyatakan.

Dakwah bukan menghina agama lain atau mencari kesalahan kitab agama lain untuk menangkan Islam. Dialog antara penganut agama tidak akan berjaya dengan cara bermusuhan.

Dalam Kitab al-Hind, al-Biruni menulis bahawa Brahmin Hindu selalu rasa bangga dengan kasta mereka tetapi al-Biruni juga menulis bahawa beliau sedar umat Islam adalah lebih hebat lagi daripada umat lain dan Islam adalah satu-satunya agama yang benar.

Bagi al-Biruni, kehebatan umat Islam terbukti bukan dengan penyelidikan ilmiah yang bersifat bias terhadap agama lain.

Ketamadunan umat Islam terbukti dan dihormati oleh semua bila kesarjanaan kajian oleh umat Islam bersifat objektif dan mempunyai nilai ilmiah yang tinggi.

Al-Biruni berkata, “Saya tidak akan mengemukakan hujah-hujah lawan (penganut-penganut Hindu) demi untuk mematahkan hujah-hujah mereka dan membuktikan kepalsuannya seperti yang saya beriktikad. Kitab saya hanyalah sebuah rekod fakta sejarah yang mengemukakan teori-teori agama Hindu sebagaimana yang ada.”

Al-Biruni menyebut bahawa umat hendaklah menggambarkan akhlak “menegakkan kebenaran walaupun ia bertentangan dengan diri sendiri” seperti yang dinyatakan dalam surah 4:135.

Akhlak ini hendaklah di aplikasikan dalam penyelidikan ilmiah dan dialog antara penganut agama. Barulah umat kita dihormati sebagai umat yang paling bertamadun.

BACA INI JUGA: 5 Ciptaan Terhebat Umat Islam Yang Mengubah Dunia!

Sumber: SH

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon