Tuesday, June 07, 2016

Muhammad Ali vs Presiden AS!


“Kalau seluruh kekayaan Amerika dan persahabatan mereka yang sokong perang Amerika (terhadap Vietnam) diberi kepada saya, saya tidak akan rasa tenang selagi saya tidak patuhi kehendak ALLAH!”

Muhammad Ali.jpg

Inilah kenyataan tegas daripada Muhammad Ali semasa beliau menang Juara Dunia Tinju Kelas Heavyweight di mana beliau menolak khidmat wajib sebagai askar Amerika pada 1966.

Ketika itu, Amerika sedang melancarkan serangan ke atas Vietnam yang akhirnya terbukti merupakan peperangan yang sengaja dicipta AS, dalam Konspirasi Teluk Tonkin, Pembohongan Keji Pencetus Perang Vietnam.

“Hati saya tidak membenarkan saya menembak saudara saya yang miskin dan lapar di Vietnam demi Amerika yang berkuasa besar.

"Mereka tidak pernah hina saya yang berkulit hitam. Mereka tidak bunuh keluarga saya. Untuk apa saya menembak mereka? Masukkan saja saya ke penjara!” Ali mencabar Presiden untuk beri sebab yang kukuh tentang perang di Vietnam.

Muhammad Ali adalah petinju yang berprinsip agama dan tegas dengan prinsip agamanya walaupun ketegasannya mengancam nyawanya.

Bila seorang juara dunia tinju yang popular seperti Ali membuat kenyataan, sudah tentu ini mencabar kerajaan Amerika secara terbuka.

Bahkan Ali mencabar kerajaan semasa masih memegang status juara tinju dunia, bukan selepas menjadi mantan.

Bila-bila masa, dia akan ditembak sebagaimana Presiden JFK, Malcolm X, Martin Luther King dan Robert Kennedy ditembak mati. Tahun 60an, kejadian menembak tokoh politik dan agama adalah lumrah. Ali berdepan dengan risiko ini.

Di TV Amerika, Michael Parkinson menemu ramah Ali, “Kamu adalah public figure tetapi kamu selalu turun padang bergaul dengan orang awam, adakah kamu tidak risau ditembak?”

Ali jawab, “Kalau saya ditembak, sudah tentu orang yang tembak saya marah dengan perjuangan saya. Saya rela mati demi memperjuangkan kebenaran. Al-Qur'an sebut bahawa tiada roh yang datang dan pergi tanpa izin ALLAH.”

Michael Parkison kemudian tanya lagi, “Kamu ada berapa bodyguard?” Ali terus mengira dengan jari-jarinya dengan lucu. Ceramah Ali sentiasa diceriakan dengan sindirannya yang pedas.

“Sebenarnya saya hanya ada satu bodyguard. Dia melihat tanpa mata. Dia mendengar tanpa telinga. Apabila dia hendak mencipta, dia hanya kata jadi, maka jadilah. Dia dengar segala rahsia dalam pemikiran kita. Siapa dia? Dialah Tuhan. Dialah ALLAH. Dia adalah bodyguard saya dan kamu!”

Inilah stail ceramah Ali depan rakyat yang majoritinya bukan Muslim. Beliau akan sampaikan dakwah dengan cara yang terus terang tetapi dengan hikmah yang sesuai dengan budaya Amerika.

Soalan yang ditanya ialah tentang bodyguard. Tetapi beliau mampu kaitkan topik bodyguard dengan keyakinan kepada Tuhan.

Pada satu ceramah di TV Amerika, sekali lagi beliau ditanya soalan yang biasa tentang apa yang beliau akan buat selepas bersara daripada tinju satu hari nanti.

Beliau mulakan respons dengan membuat bunyi berdengkur, pejam mata dan jatuhkan kepala ke tepi pura-pura tidur!

Para hadirin gelak melihat telatah lucu Ali. Lalu beliau berkata, “Saya ingin bercakap sesuatu yang buat kamu berfikir tentang kehidupan.”

Kemudian beliau terus bercakap tentang pendeknya waktu untuk berseronok di dunia dan kematian. Beliau akhiri dengan menekankan betapa pentingnya bersedia untuk jumpa Tuhan. Bila dia bersara, dia akan sediakan dirinya untuk jumpa Tuhan. Inilah stail dakwah Ali.

Ali memeluk Islam selepas menang juara tinju dunia pada 60an dan berhijrah ke Mazhab Sunni pada 70an.

Anaknya, Hana, memberitahu bahawa ayahnya berusaha bersungguh-sungguh menjaga lima waktu solat dan membantu kerja-kerja kemanusiaan walaupun pada akhir hayatnya beliau mengidap Parkinson.

Beliau pernah memujuk seorang lelaki untuk tidak membunuh diri, memperjuangkan hak kulit hitam, berunding dengan beberapa ahli politik dunia tentang pembebasan tahanan politik dan bergiat membersihkan nama Islam sebagai agama keamanan, bukan terorisme.

3 Jun 2016, Muhammad Ali kembali ke rahmatullah. Bendera Amerika direndahkan. BBC beri 24 jam penghormatan.

Bekas juara tinju dunia, Mike Tyson, yang sudah memeluk Islam dan banyak diinspirasikan oleh Muhammad Ali berkata, “Tuhan telah menjemput jaguh-Nya.

"Selamat tinggal, wahai yang terhebat!”

BACA INI JUGA: 5 Tajuk Berita Akhbar Paling Menggemparkan Dunia

Sumber: SH

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon