Wednesday, April 13, 2016

Ular Sawa Malaysia Cipta Rekod Baru Terpanjang Di Dunia!


Seekor ular sawa bersaiz raksasa berjaya dijumpai di bawah sebatang pokok yang tumbang pada minggu lalu dipercayai memecah rekod sebagai paling panjang di dunia, menurut laporan media ternama Britain.

Ular Sawa Malaysia Terpanjang Di Dunia

Ular tersebut ditangkap di Pulau Pinang pada 7 April lalu, dan akhbar The Star melaporkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tempatan sebagai menyatakan reptilia itu mula ditemui oleh sekumpulan pekerja binaan.

Ketika itu, mereka secara kebetulan sedang sibuk menyiapkan projek pembinaan sebuah jejambat di kawasan Paya Terubong sebelum segera menghubungi pasukan JPAM daerah Barat Daya di pejabat Sungai Ara.

Pegawai JPAM dilaporkan terpaksa mengambil masa sekitar 30 minit untuk menangkap reptilia tersebut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ular Sawa Malaysia Terpanjang Di Dunia [2]

Ukuran awal pihak berkuasa menunjukkan bahawa ular sawa itu adalah sepanjang lapan meter dan beratnya pula sekitar 250 kilogram, menurut laporan stesen antarabangsa BBC dan akhbar The Guardian dari London.

Malangnya ular betina tersebut didapati mati secara mengejut setelah haiwan liar itu mengeluarkan telurnya pada 10 April lalu, Ketua Operasi JPAM negeri berkenaan, Herme Herisyam ketika memberitahu pihak BBC.

Sebelum ini, rekod dunia bagi ular paling panjang yang berjaya ditangkap ialah ular sawa diberi nama Medusa, sepanjang 7.67 meter yang dimiliki oleh Full Moon Productions di Kansas City, Amerika Syarikat pada 2011.

Medusa

Ular itu yang masih lagi memegang rekod dunia Guinness hanya seberat 159 kilogram serta mengatasi catatan dipegang oleh ular sebelumnya, Fluffy yang sepanjang 7.3 meter dan maut pada 2010 dalam usia 18 tahun.

Ular lazim cuma sepanjang tiga hingga enam meter. Setakat ini rekod ular terpanjang di dunia pernah direkodkan ialah 10 meter yang ditemui setelah ditembak mati di Indonesia pada 1912. -Agensi/Mynewshub/HAA

BACA INI JUGA: 68 Fakta Tentang Kucing Yang Anda Tidak Tahu



Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon