Tuesday, March 01, 2016

22 Sebab Tun Mahathir Keluar UMNO Kali Kedua!


Semalam, Tun Mahathir mengumumkan meninggalkan parti Umno buat kali kedua. Tun Mahathir pernah meninggalkan parti keramat itu pada Mei 2008‎, bagaimanapun menyertai semula Umno pada tahun 2009.

Tun Mahathir keluar umno

Difahamkan, tindakannya meninggalkan parti pada waktu itu dibuat kerana kekecewaannya terhadap pucuk pimpinan parti tersebut.

Berdasarkan kepada surat kenyataan akhbar, difahamkan 22 sebab dibawah adalah alasan Tun Mahathir meninggalkan UMNO pimpinan Najib kali ini.

1. Dengan ini saya ingin maklum bahawa saya serta isteri saya tidak lagi menjadi ahli UMNO atau Perkembar (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu).

2. Sebabnya ialah oleh kerana UMNO sebagai parti politik sudah tidak wujud lagi. Pertubuhan ini sudah dihijack oleh Dato Sri Najib dan menjadinya Parti Najib.

3. Matlamat dan perjuangan parti yang dihijack ini hanyalah untuk Dato Sri Najib, pengekalannya sebagai pemimpin dan mempertahan dirinya dari sebarang tindakan undang-undang keatasnya.

4. Saya tidak rela menjadi ahli pertubuhan yang dipimpin oleh seorang yang terlibat dengan berbagai skandal yang memalukan. Khususnya pemimpin ini sebagai Perdana Menteri Malaysia memegang kepada kepercayaan, "Wang itu raja" atau "Cash is King" yang bermakna menjadikan rasuah (sogokan wang) sebagai cara utama untuk mendapat sesuatu. Kepercayaan ini sudah merebak keseluruhan pertubuhan sehingga ia dipandang hina oleh masyarakat.

5. Najib sendiri mengaku memiliki wang sebanyak dua ribu enam ratus juta Ringgit (2,600,000,000) dalam akaun peribadinya yang dirahsiakan sehinggalah didedah oleh akhbar asing.

6. Seorang Perdana Menteri tidak boleh ada wang sebanyak ini walau dari apa punca sekalipun. "Derma" sebanyak ini oleh sesiapapun perlu ditolak bulat-bulat oleh seorang Perdana Menteri samada secara rahsia atau terbuka.

7. Walaupun didakwa wang ini tidak digunakan oleh dirinya, tetapi cara hidup mewah yang bukan-bukan tidak mungkin dibiayai dari gaji dan elaun Perdana Menteri. Ia tentu datang dari wang sebanyak 2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadinya dan lain-lain punca yang dikhuatir tidak halal.

8. Pengakuan bahawa wang ini diberi oleh Arab tidak masuk akal. Lagi pun tidak ada bukti-bukti dalam akaun atau dokumen bank "penderma" yang dikemukakan bahawa wang yang sebegitu banyak dipindah kedalam akaun peribadi Najib dalam AmBank Malaysia.

9. Tuduhan bahawa wang ini datang dari 1MDB tidak dapat ditangkis oleh Najib.

10. Untuk menutup siasatan oleh agensi-agensi Kerajaan, Najib menyingkir Abdul Gani sebagai Pendakwa Raya, melantik Pendakwa Raya baru secara tidak sah, yang kemudian menolak laporan Bank Negara dengan alasan yang tersembunyi, mengancam orang ramai dan pegawai MACC (Pencegah Rasuah) dan memindah mereka. A.G. baru ini sekali lagi menolak laporan MACC. Najib melumpuhkan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam) dan melantik pengerusi baru yang dipercayai memihak kepadanya.

11. Selain itu, Najib menubuh syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB yang meminjam 42 bilion Ringgit (RM42,000,000,000) dari pasaran dengan faedah dan komisyen yang amat tinggi. Ini meningkatkan beban hutang kerajaan dengan banyaknya sehingga tidak mampu membayar faedah pun.

12. Sebahagian dari hutang ini dilupuskan dengan menjual balik stesyen jana kuasa yang telah dibeli dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran. Penjualan balik ini merugikan 1MDB sebanyak lebih satu bilion Ringgit.

13. Tanah Kerajaan ditengah bandar yang bernilai hampir RM7,000 satu kaki persegi dibeli oleh 1MDB dengan harga RM60/skp. Harga murah ini sudah tentu dipengaruhi oleh Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

14. Selain dari pembelian stesyen janakuasa, baki wang dari 42 bilion yang dipinjam telah dilabur dalam berbagai syarikat, perniagaan usahasama yang tidak memberi apa-apa keuntungan. Dimana semua duit-duit ini berada sekarang tidak diketahui.

15. Akhbar asing telah melapor bagaimana Najib memiliki 2.6 bilion Ringgit (2,600,000,000) dalam akaun peribadinya dan penglibatan Jho Low dalam pengurusan wang 1MDB, memindah wang 1MDB dari bank ke bank, di Singapura, Malaysia dan Hong Kong. Laporan-laporan ini tidak dinafikan oleh Najib dan ianya tidak membuat saman malu terhadap akhbar. Malaysia juga sekarang dilapor sebagai satu daripada 10 buah negara yang tertinggi amalan rasuahnya.

16. Dan banyaklah lagi perbuatan Najib yang memalukan bangsa dan negara.

17. Pemerintahannya pula mencerminkan pemerintahan kuku besi. Laporan polis berkenaan kehilangan wang 1MDB tidak disiasat oleh polis. Sebaliknya polis menyiasat orang yang membuat laporan, memasukkannya dalam tahanan, menuduhnya mensabotaj kewangan dan demokrasi dalam negara. Tuduhan ini dibuat dibawah undang-undang anti-pengganas walaupun tidak ada bukti yang dituduh melakukan apa-apa yang boleh ditafsir sebagai keganasan.

18. Yang lebih anehnya ialah peguamnya juga dsoal siasat, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan undang-undang yang sama, walaupun tidak ada perbuatan ganas oleh peguam ini. Ia hanya memberi nasihat undang-undang kepada pelanggannya.

19. Pertubuhan milik Najib ini yang berasal dari UMNO menghapuskan sebarang laporan terhadap 1MDB dan wang dalam akaun peribadi Najib. Pemimpin dan ahli pertubuhan Najib ini disingkir darinya jika mereka cuba tegur akan kesalahan perlakuan yang dibuat oleh Najib sebagai darinya. Yang tinggal dalam parti ini hanyalah mereka yang sokong Najib secara buta tuli.

20. Saya berasa amat malu kerana peralihan parti UMNO yang begitu berjasa kepada bangsa dan negara menjadi parti Najib yang penuh dengan skandal.

21. Pertubuhan yang dipimpin oleh Najib bukan lagi UMNO yang ditubuh pada 11 Mei 1946. Pertubuhan ini hanya alat untuk Najib melindungi perbuatannya yang salah termasuk pemilikan wang berbilion-bilion secara tersembunyi dan rahsia dalam akaunnya.

22. Oleh itu saya dan isteri pisahkan diri dari pertubuhan milik Najib ini. Ia bukan UMNO. Ia tidak boleh kembali menjadi UMNO dengan perjuangan-perjuangannya yang asal selagi Najib mengepalainya.

29 Februari
Dr Mahathir bin Mohamad
Dr Siti Hasmah binti Hj Mohd Ali

BACA INI JUGA: PANAS! Kenyataan Arab Saudi Bukti Najib Menipu Lagi!?

Kenyataan akhbar Tun Mahathir keluar umno
Kenyataan akhbar Tun Mahathir keluar umno [2]

3 comments

  1. Lepas ni Tun keluar dah tak masuk2 balik dah tu... tengoklah pru akan dtg nanti mcm mana nasib umno... wallahualam..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon