Sunday, February 28, 2016

Penyakit Alahan Tiada Penawar!


Di Malaysia, dianggarkan empat dalam setiap lima kanak-kanak berisiko menghidap alahan apabila kedua-dua ibu bapa mereka didapati menghidap penyakit itu. Alahan kini semakin berleluasa hingga ke tahap epidemik kerana tiada penawar.

Alahan alergik
Gambar hiasan.

Bagi menangani kebimbangan umum tentang isu alahan yang semakin meningkat, Persatuan Alergi & Imunologi Malaysia (MSAI) telah memulakan inisiatif Negara Bebas Alahan (Allergy Free Nation) pada peringkat kebangsaan.

Inisiatif ini bertujuan mengubah landskap alahan di Malaysia di samping menumpukan perhatian kepada bagaimana alahan dikenal pasti serta didiagnosis.

Ketua Penyiasat Kaji Selidik, Prof Dr Intan Hakimah Ismail, berkata kaji selidik berkenaan menyasarkan 10,000 responden berusia 22 hingga 40 tahun termasuk lelaki dan wanita untuk menilai hubung kait mereka dengan alahan di peringkat individu.

“Kaji selidik ini dijalankan di lebih 250 klinik pediatrik dan pakar sakit puan seluruh negara, 40 pusat perkembangan dan kanak-kanak di sekitar Lembah Klang.

“Soal selidik boleh disertai secara dalam talian di laman sesawang MSAI, Allergy-FreeNation.com,” katanya pada Pelancaran Inisiatif Penting Ke Arah Negara Bebas Alahan.

Menurutnya, data yang dikumpul akan dianalisis oleh pasukan pengkaji di Universiti Putra Malaysia (UPM) bawah bimbingan Dr Intan Halimah dan hasil kaji selidik dijangka akan diumumkan oleh MSAI pada Minggu Alahan Sedunia yang berlangsung pada 4 hingga 10 April 2016.

Katanya, kajian itu juga bermatlamat mengetahui tahap kesedaran orang ramai terutama ibu bapa mengenai penyakit alahan kerana mereka memainkan peranan penting untuk mencegah penyakit berkenaan.

Di seluruh dunia pula lebih 300 juta menghidap sekurang-kurangnya satu jenis alahan dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), asma merupakan alahan kronik kanak-kanak yang paling tinggi di Asia.

Asma adalah alahan kronik kanak-kanak paling lazim ditemui dengan tujuh juta dalam kalangan mereka terjejas akibat penyakit itu.

Di benua Asia sahaja, peningkatan penyakit berpunca daripada alahan adalah sangat signifikan sejak 10 tahun lalu dengan pening­katan kes asma daripada 0.8 peratus kepada 29.1 peratus manakala kes alahan resdung meningkat daripada lima peratus kepada 45 peratus dalam tempoh sama.

Angka ini dijangka terus meningkat, namun faktor penyebab peningkatan ini masih belum ditemui.

Presiden MSAI, Datuk Amir Hamzah Abdul Latiff pula menjelaskan, walaupun penyakit yang berpunca daripada alahan semakin menular, potensi penemuan hasil penyelidikan dihalang oleh kekurangan data untuk memastikan tahap kesedaran masyarakat mengenai isu ini.

Dilema ini kemudian mengakibatkan orang ramai tidak mengetahui mengenai alahan sehingga seseorang yang dekat dengan mereka seperti anak atau ahli keluarga menderita disebabkan penyakit ini.

“Kes alahan semakin meningkat menandakan semua orang mempunyai risiko menghidapinya. Negara Bebas Alahan adalah ikrar berani tetapi kami di MSAI percaya ia boleh dicapai apabila kami lebih memahami rakyat negara ini dan hubung kait dengan situasi alahan. Untuk menjadikannya suatu realiti, kita harus bermula dari sekarang.

“Betapa ironinya apabila sesuatu yang pada mulanya adalah mekanisma pertahanan sistem imun diri kini adalah salah satu daripada penyakit kanak-kanak yang semakin lazim.

“Bukan itu saja, ia turut menjejaskan kualiti hidup seseorang. Kesimpulannya alahan adalah kecelaruan pengaturcaraan sistem imun yang boleh mendatangkan kesan buruk,” katanya.

BACA INI JUGA: Bahaya Alahan Kepada Tubuh Manusia

Sumber: Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon