Dec 9, 2015

Khalwat Tetap Dosa, Tak Timbul Soal Dosa Peribadi

Persatuan Peribumi Perkasa (Perkasa) menasihatkan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin agar merujuk kepada mereka yang arif dalam soal agama jika ingin menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat yang dilakukan di rumah persendirian.

Dr Amini Amir Abdullah

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islamnya, Dr Amini Amir Abdullah berkata, ini kerana dalam isu ini tidak timbul soal ia adalah hak dan privasi setiap individu kerana suatu jenayah perlu diambil tindakan dengan tujuan untuk menegakkan undang-undang dan mendapatkan keredaan ALLAH S.W.T.

"Perbuatan khalwat di tempat peribadi dan tempat awam yang menimbulkan fitnah tetap merupakan suatu dosa.

"Tidak timbul soal dosa peribadi antara pelakunya dengan ALLAH. Ia juga adalah persepsi yang memalukan dalam kalangan manusia," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Amini berkata, Perkasa juga menolak cadangan G25 mengenai perlunya penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan perihal itu, kerana undang-undang sedia ada sudah mantap dan jelas.

"Cadangan untuk dimansuhkan hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang adalah bertentangan dengan falsafah perundangan yang bersifat mencegah.

"Oleh yang demikian, kesalahan khalwat tidaklah boleh didiamkan dalam konteks hak privasi dan individu kerana kesalahan yang berkaitan dengan jenayah Syariah tetap merupakan satu kesalahan," katanya.

Tambahnya lagi, Perkasa menyokong penuh pelaksanaan undang-undang khalwat di Malaysia walaupun ia tidak diamalkan di negara lain.

"Perkasa berpandangan pelaksanaan undang-undang syariah tidak menjadi sebarang masalah. Justeru, dosa peribadi seseorang berkaitan khalwat tetap menjadi satu kesalahan jenayah syariah di Malaysia.

"Kedangkalan pemikiran puak G25 amat terserlah dalam hal ini. Mereka perlu memfokuskan perjuangan mereka untuk mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan bukan melihat kepada perkara yang remeh temeh dan mencari populariti serta publisiti murahan," katanya.

Sebelum ini, jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah termasuk khalwat.

Katanya, hukuman terhadap pesalah khalwat adalah dosa peribadi antara pelaku dengan ALLAH kecuali jika dilakukan di kawasan awam.

Mufti tanya mana G25 dapat hadis

Harussani Zakaria

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, mana-mana orang Islam yang melanggar atau menidakkan hukum ALLAH itu boleh dianggap sebagai murtad.

“Sebab itu manusia di dunia ini digelar khalifah. Saya nak tanya mereka, apa tugas khalifah di muka bumi ini?

"Saya nak tanya juga, mereka (G25) ini pakai logik akal semata-mata atau nas dan hadis mana sehingga tindakan kepada pesalah khalwat tidak boleh diambil walaupun di rumah sendiri?

“Kalau dia kata ia langgar hak privasi individu, bunuh orang dalam rumah sendiri tidak perlu dikenakan hukuman kalau macam itu.

"Mengapa perlu dipersoalkan tentang hukum syariah yang selama ini bersifat mendidik,” soalnya kepada G25.

“Apa yang saya boleh kata, mereka (G25) ini hanya bijak dalam ilmu duniawi tetapi sangat daif dalam agama. Kalau nak bercakap tentang agama pastikan kamu belajar agama terlebih dahulu.

Harussani berkata, sebagai manusia lebih-lebih lagi orang Islam, mereka perlu tahu apa tujuan diciptakan di atas dunia.

“Manusia diciptakan ALLAH untuk beribadah dan patuh kepada suruhanNYA dan meninggalkan larangan. Tidaklah manusia itu diciptakan tanpa tujuan melainkan untuk beribadah kepadaNYA.

“Hukum berkhalwat itu sendiri adalah haram, jadi mereka (G25) cuba mansuh hukuman kepada pesalah khalwat dengan menyatakan itu adalah dosa orang itu dengan ALLAH.

"Nampaknya mereka ini sengaja menggalakkan orang ramai untuk berkhalwat,” jelasnya lagi.

BACA INI JUGA: Dosa Besar Lalu Di Hadapan Orang Bersolat

Sumber: Sinarharian.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

3 comments

Hukum Allah itu dah cukup sempurna.
Kenapalah ada manusia seperti G25?

Undang2 tu buatan manusia berdasarkan hukum dan diteriam oleh masyarakat.Boleh berubah akibat ketidak puasan manusia. Tetapi hukum Allah kekal..mudah. Cintohnya umpat keji orang tu berdosa.tetap berdosa sebab hal tu Allah larang keras. Jatuh hukum dosa..hebat SP banyak tul ilmu..terbaik

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon