Friday, October 16, 2015

Kisah Orang Miskin, Orang Kaya


Wanita warga emas itu menangis di bank. Tetapi, air mata yang membasahi seribu kedut di wajahnya, tidak dapat membantu. Sudah berkali-kali dia bertanya, petugas di kaunter memberitahu bulan ini tidak ada wang untuknya.

Tindas+Rakyat+Miskin

Luluh hatinya, berkecai harapannya, dia melangkah longlai. Bumi bagaikan bergegar, langit bagaikan hendak menghempapnya. Tanpa satu sen pun di tangan, dia tidak tahu kepada siapa hendak mengadu. Dan, tidak pasti ke mana arah hendak dituju...

Perhatian: Ini bukan adegan dalam drama TV, tidak juga lakonan di layar perak. Detik-detik pilu ini dilalui sendiri oleh seorang nenek tua, Normah Nordin, 86, di Taman Desa Rhu, Seremban, Negeri Sembilan.

Sudah lima tahun, sekali setiap bulan dia ke bank untuk mengeluarkan wang bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Februari lalu bantuan sara hidup RM300 sebulan itu tiba-tiba dihentikan.

Bagi menyambung hidup wanita warga emas itu terpaksa terketar-ketar menaiki bas setiap hari untuk bekerja di sebuah kedai kasut. Upahnya tidak seberapa, tetapi dia tiada pilihan yang lebih baik.

Pada usia lanjut dan keadaan yang serba lemah, dia sepatutnya berehat di rumah sambil mendalami hal-hal agama.

Tetapi siapa yang akan menanggung hidupnya? Maka mahu tidak mahu dia terpaksa mencari seringgit dua untuk kelangsungan sisa-sisa nafasnya.

Memang amat mengharukan apabila nenek terpaksa bekerja. Tetapi bagi JKM negeri, warga emas itu melakukannya atas kerelaan sendiri.

Kata jurucakap agensi tersebut, seperti yang disiarkan di Sinar Harian, “Dia bekerja atas dasar minat serta tidak mahu bergantung dengan keluarga.”

Minat? Agaknya jurucakap tersebut tidak memahami erti kehidupan, dan tidak peka perasaan warga emas. Tidak logik langsung orang tua seperti itu bekerja kerana minat. Bukan sahaja tidak masuk akal, malah menghina orang tua. Dia tidak sesuai bertugas di JKM, patut ditukarkan ke JPM!

Andaian bahawa nenek itu tidak mahu bergantung dengan keluarga pun ternyata tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Dia tinggal bersama seorang cucu dan anak angkat yang bekerja dengan pendapatan lebih kurang RM900.

Menurut pertimbangan jabatan berkenaan dengan pendapatan bulanan isi rumah sebanyak itu tidak melayakkan nenek tersebut menerima bantuan. Itulah punca saraan RM300 itu dihentikan.

Pada hemat saya ini bukan soal nenek berkenaan tidak mahu bergantung dengan keluarga, tetapi pendapatan keluarga RM900 sebulan itu tidak cukup untuk menampung cucu dan anak angkatnya.

Dengan keperluan dan kos kehidupan yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi dengan GST dan penurunan nilai ringgit sekarang, RM900 itu sebenarnya boleh dikira di bawah paras kemiskinan.

Menghairankan apabila jurucakap tersebut memberitahu, seperti yang disiarkan media: Setelah kaji selidik dilakukan pihaknya mendapati warga emas terbabit tidak mempunyai masalah kewangan ketara.

Tidak pasti apa yang dikaji, dan apa yang diselidik. Apa yang pasti wanita warga emas yang serba-serbi lemah dan kekurangan itu kini melalui kehidupan getir pada usia senja, dan tidak mendapat simpati sesiapa.

Sebenarnya Normah Nordin bukan kes terpencil. Ada ramai lagi di luar sana – di seluruh negara – yang turun naik pejabat kebajikan, merintih dan merayu untuk mendapat sedikit bantuan.

Ada beribu-ribu berharap bantuan jabatan. Peraturan memohon tidak mudah. Perlu bukti itu dan ini, kena siasat luar dan dalam rumah.

Sesudah mengisi borang, menunggu jawapan pun kena sabar. Mungkin terpaksa menunggu sebulan dua, boleh jadi juga tiada jawapan langsung.

Beberapa kali turun naik pejabat – habis tambang bas, habis masa, habis tenaga – akhirnya diberitahu permohonan tidak diluluskan sebab tidak menepati syarat.

Lebih menyedihkan lagi sekiranya bantuan yang telah dinikmati, tiba-tiba dihentikan.

Orang miskin, tanpa kuasa tanpa kudrat, tidak boleh mengadu pada bank. Kalau mengadu pun bank tidak ambil peduli.

Maka satu-satunya tempat mengadu ialah agensi-agensi kerajaan, termasuk JPM. Bukan main susah, hanya untuk mendapat RM300.

Berbeza dengan orang kaya, ada kuasa, ada semua, bila-bila sesak boleh merujuk pada mana-mana institusi kewangan. Mudah sahaja mendapat pinjaman, bukan RM300, tetapi RM300,000, malah RM300 juta.

Ada yang meminjam memang dengan niat untuk tidak membayar balik. Busuk hati, pengkhianat bangsa!

Seperti telah dibuktikan sejarah, ada bank yang muflis gara-gara gagal memungut hutang RM juta-juta-juta yang dipinjamkan kepada orang kaya.

Apa boleh buat...

BACA INI JUGA: 'Rakyat Tak Marah Bayar Cukai Tinggi Jika Kebajikan Terjaga'

Sumber: Sinarharian

6 comments

  1. siannye nenek ni....kalau semua org memainkan peranan perkara ini mgkin xberlaku....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ramai sebenarnya mengalami keadaan begini, tapi pemimpin tidak mainkan amanah yang diberikan..kesian

      Delete
  2. lumrah kehidupan sekarang.. yang miskin semakin miskin.. padahal orang kaya harus membantu mereka yang miskin ini.. kasihan nenek itu..

    ReplyDelete
  3. Sebetulnya...penilaian tu dibuat atas APA kualitinya? Macamana cara penilaian? Dah berapa tahun punya prosuder penilaian diguna pakai? Sedangkan zaman berubah dah..

    ReplyDelete
  4. so apa nasib nenek tu sekarang?tak de apa apa tindakan ke

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dilaporkan sudah dibantu oleh pihak berkaitan..

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon