Oct 21, 2015

Derita Hidap Sindrom Bunuh Diri

Setiap kali wajahnya disentuh, Mark Steadman pasti akan menjerit kesakitan. Aktiviti harian se­perti menggosok gigi, membasuh muka dan bercukur tidak dapat dilakukan seperti orang lain gara-gara kesakitan yang dirasai.

Mark Steadman

Bukan itu sahaja, hembusan angin serta ciuman daripada isteri dan anak-anaknya juga diibaratkan seperti bisa kepada lelaki berusia 40 tahun itu.

Disebabkan tidak tahan menanggung kesakitan, Steadman sentiasa menjarakkan diri daripada objek dan individu di sekelilingnya, malah dia terpaksa berkurung hampir setiap hari kerana tidak mahu berasa sakit.

Menurut Steadman, masalah itu bermula sekitar tahun 2009 apabila dia se­ring mengalami sakit gigi.

“Doktor gigi yang merawat memberi­tahu, kesakitan itu mungkin berpunca daripada tabiat melaga gigi ketika tidur, namun isteri saya menafikannya.

“Saya kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital dan turut diberitahu masalah itu mungkin berpunca daripada tabiat berkenaan.

“Saya hampir putus asa. Saya syak pasti ada sesuatu yang tidak kena tetapi tiada siapa yang tahu mengenai masalah ini,” ceritanya yang diserang rasa sakit lebih daripada 250 kali sehari.

Bunuh diri

Bertutur lanjut, Steadman yang ber­asal dari bandar Kidderminster di Worcestershire, England berkata, keadaan penyakit ganjil itu bertambah serius apabila wajahnya tidak boleh bersentuhan dengan apa-apa objek kerana ia akan mengundang rasa perit yang amat sangat.

“Pernah suatu ketika saya merasakan gigi pada bahagian sebelah kanan muka seperti dibakar.

“Rasa sakit yang dialami ­seperti terkena panahan petir. Saya terpaksa mengambil sehingga 50 biji ubat tahan sakit setiap hari dan ia membuatkan saya kelihatan seperti mayat hidup,” ujarnya.

Steadman sebenarnya didapati menghidap trigeminal neuralgia (TN) sejenis penyakit ganjil yang menyerang 12 daripada 10,000 orang di Britain setiap tahun.

Pesakit biasanya mengalami rasa sakit pada bahagian muka dan ia disifatkan sebagai kesakitan melampau kerana hampir satu perempat daripada penghidapnya membunuh diri akibat tidak tahan.

Penyakit pelik itu disebabkan oleh tekanan pada saraf trigeminal iaitu salah satu saraf utama dan terbesar yang berhubung ke bahagian otak.

Pada bulan September 2013, Steadman menjalani pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Birmingham untuk membuang sebahagian kecil daripada tengkoraknya bagi membolehkan saraf tersebut diakses dan dibalut dengan sejenis pad khas yang dipanggil Teflon.

Rawatan yang memakan masa enam jam itu membolehkan bapa kepada tiga orang anak tersebut menjalani kehidupan harian tanpa rasa sakit untuk tempoh 10 tahun sebelum perlu menjalani pembedahan lain.

Renjatan elektrik

Kini, buat kali pertama sejak empat tahun lalu, Steadman dapat menerima ­ciuman daripada isteri dan anak-anaknya.

“Dahulu ketika masih sakit, saya terpaksa tidur berasingan dengan isteri. Saya juga tidak dapat menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak. Sekarang semuanya rasa lebih baik,” ujarnya.

Pakar bedah saraf di Hospital Spire, Bristol, Prof. Dr. Hugh Coakham berkata, kesakitan yang dirasai penghidap TN berpunca daripada saluran darah yang menekan saraf trigeminal.

Mark Steadman [2]
Mark menjalani pembedahan agar tekanan terhadap saraf trigeminal yang menjadi punca kesakitannya dapat dirawat.

Katanya, tekanan itu mengakibatkan pelindung luar di sekeliling saraf (myelin sheath) mengalami kerosakan.

“Pesakit akan mengalami rasa sakit seperti terkena renjatan elektrik yang kebiasaannya berlaku pada sebelah bahagian kanan muka.

“Setiap serangan boleh berlaku selama beberapa minit dan berlarutan sehingga berjam-jam lamanya. Ia juga boleh berpanjangan sehingga beberapa berhari-hari jika tidak dirawat,” katanya.

Coakham memberitahu, kebanyakan pesakit TN tergolong dalam kategori umur antara 60 hingga 70 tahun.

“Bagaimanapun, terdapat juga kes-kes terpencil yang mana penghidap TN ber­umur 40 tahun ke bawah.

“Buat masa ini masih tiada rawatan khusus untuk mengubati penyakit ini.

"Pesakit selalunya diberi ubat tahan sakit atau diminta menjalani pembedahan bagi meredakan tekanan kepada saraf trigeminal,” jelasnya.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Penyakit Paru-paru Berair?

Sumber: kosmo.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

5 comments

ngeri..sakit nampak..apa lagi yang penderita ini..Semoga kita terhindar ..

bahaya betul penyakit ini.. 12 daripada 10000 orang agak sukar nak dapat..

Kasihannya... Bersyukur sangat bila diberikan kesempurnaan tubuh badan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon