Friday, October 23, 2015

Aplikasi AndroidLost, Mampu Mengesan Smartphone Dicuri


Selepas tertinggal telefon bimbitnya secara tidak sengaja di dalam sebuah troli membeli-belah, Sivagurunathan Chinniah menghubungi telefon bimbitnya itu beberapa kali tetapi tidak berjawab.

AndroidLost apps

“Saya kemudiannya menyedari bahawa sesiapa sahaja yang mengambil telefon bimbit itu tiada niat untuk mengembalikannya,” kata anak jati Perak itu.

Sivagurunathan kini menetap di Iowa, Amerika Syarikat bersama dengan isteri dan dua anaknya.

Beliau melakukan beberapa carian di Internet mengenai cara untuk mengesan telefon bimbit Samsung Galaxy Light Android miliknya itu.

“Pada mulanya, saya mengesan telefon bimbit saya menggunakan Android Device Manager,” kata Sivagurunathan, 53, yang kehilangan telefon bimbitnya pada 4 Oktober lalu.

Namun, ia hanya menunjukkan anggaran lokasi telefon bimbit itu berada.

Oleh itu, Sivagurunathan yang mempunyai Ijazah dalam jurusan Matematik dan Sains Komputer dari Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya, memasang perisian yang dipanggil AndroidLost.

“Ia begitu mudah. Dan terdapat banyak cara anda boleh jejaki telefon bimbit anda,” katanya yang juga Naib Presiden Pembangunan Aplikasi, Newcom Technologies Inc.

Dengan perisian tersebut, Sivagurunathan dapat mendengar dan melihat individu yang mengambil telefon bimbitnya.

Dalam tempoh 12 jam aplikasi itu dipasang, beliau berjaya mengesan telefon bimbitnya di sebuah rumah di Ottumwa, kira-kira 160km dari tempat tinggalnya.

“Saya berjaya mengawal telefon bimbit itu menggunakan Internet dan boleh mengambil gambar sekeliling,” katanya.

Sivagurunathan berkata beliau juga dapat merekodkan bunyi di dalam rumah tersebut selain memprogramkan pop-up palsu yang akan mengambil gambar individu yang memiliki telefon bimbit itu.

“Malangnya gambar tersebut tidak begitu jelas,” kata Sivagurunathan.

Dua pegawai polis dihantar ke lokasi dan sebaik sahaja mereka tiba, Sivagurunathan memasang penggera di dalam telefon bimbitnya, membolehkan pegawai polis mengesan rumah tersebut. –mStar

Aplikasi AndroidLost boleh dimuat turun di Google Play atau dilaman web Android Lost.

BACA INI JUGA: 10 Aplikasi Paling Popular 'Kegilaan' Remaja 2015

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon