Sunday, March 29, 2015

Lelaki Buta Yang Melihat Dengan Bunyi!


Siapa sangka manusia boleh melihat tanpa menggunakan mata, sebaliknya bunyi yang dihasilkan melalui lidah menjadi penunjuk arah kepada setiap pergerakan.

Daniel Kish

Lebih hebat dan luar biasa, kemampuan itu tidak dimiliki individu normal. Persoalannya, bagaimana dia melakukannya?

Individu luar biasa ini bernama Daniel Kish. Jika kebiasaannya pergerakan bagi seorang buta sangat terbatas, berbeza bagi dirinya.

Dia mampu melakukan aktiviti seperti berjalan dan menaiki basikal secara bebas. Malah, tahap kecekapannya sama seperti insan biasa sehinggakan ramai menyangka dia tidak buta.

Menurut Daniel, ketika berusia 13 bulan, doktor mengesahkan dia menghadapi retinoblastoma, sejenis penyakit kanser pada bahagian mata.

Untuk menyelamatkan nyawa, doktor terpaksa mengeluarkan kedua-dua matanya. Sejak peristiwa itu, dia membesar dengan cara memahami persekitaran menggunakan bunyi yang dihasilkan daripada tanah.

Kebolehan itu diperolehinya sejak dari kecil. Daniel sangat beruntung kerana dibesarkan seperti kanak-kanak normal lain.

Keunikan dirinya mendapat sokongan daripada keluarga. Dengan cara itu, dia mula bergerak sendiri tanpa bantuan orang lain.

Daniel Kish - Bycycle

Pernah suatu ketika selepas rakan-rakan Daniel bercadang untuk bersiar-siar dengan basikal, dia terpaksa mencabar diri berlatih menunggang basikal dalam keadaan dirinya yang buta.

Mungkin bagi kebanyakan orang, ia adalah perkara yang mustahil tetapi Daniel berjaya mengayuh basikal sampai ke kawasan sekolahnya!

Bagaimana dia tahu arah sekolahnya? Tidakkah dia bimbang dilanggar kereta disepanjang perjalanan?

Bukan saja para pembaca yang merasa pelik tapi semua orang di kejiranan Daniel juga merasa hairan dan pelik sehinggalah dia menceritakan kaedah yang digunakan.

Percaya atau tidak, dia menggunakan telinga sebagai pemandu arah. Caranya amat luar biasa iaitu dengan mengeluarkan gelombang bunyi ultrasonik daripada lidah kemudian dipantulkan pada permukaan sesuatu objek.

Menurut Daniel, setiap objek disekeliling menghasilkan bunyi yang berbeza. Sebagai contoh, batang pokok menghasilkan gema yang berlainan dengan daun.

Latihan membezakan bunyi melalui pantulan ultrasonik membuatkan dia mampu membezakan sesuatu permukaan dan lama-kelamaan ia menjadi panduan arah. Kaedah yang sama dengan tongkat orang buta.

Jadi, walaupun dalam keadaan buta, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk bergerak. Jarak, kedudukan serta jenis objek disekeliling dapat ditentukan dengan mudah.

Penghasilan bunyi secara tidak langsung memberi gambaran imej 3D didalam fikiran. Bukan hanya itu, semua ciri-ciri objek juga dapat diketahui oleh Daniel.

Daniel Kish - On Road

Jika diteliti, keupayaan ini turut digunakan oleh haiwan seperti kelawar dan ikan lumba-lumba.

Haiwan seperti ini menganggarkan jarak dan kedudukan sesuatu untuk bergerak. Lebih-lebih lagi kelawar yang hidup dalam kegelapan malam.

Satu ujian telah dilakukan untuk menentukan siapa yang boleh mengetahui kedudukan bola ditengah padang yang luas.

Daniel dan seorang wanita normal telah diuji. Mata wanita itu ditutup supaya berada dalam keadaan yang sama dengan Daniel. Dan hasil keputusan amat mengejutkan kerana Daniel mampu mengenal pasti kedudukan bola itu, sedangkan saingannya itu pula tidak dapat mencari sehingga ke akhir ujian.

Daniel juga tidak mengalami sebarang kesukaran walaupun berada dalam suasana bising. Menurut Daniel, jika berada ditempat seperti konsert, dia tidak akan berasa bimbang.

Apa yang dilakukan ialah meningkatkan kekuatan bunyi lidah supaya dapat mendengar dengan lebih jelas. Kelakuan itu merupakan kebiasaan bagi Daniel dan dia tidak merasa kekok apabila berada dikhalayak ramai.

Daniel juga mampu mengetuai pasukan pendaki orang buta. Kebolehan yang dimilikinya memudahkan dia berjalan dikawasan berbukit.

Daniel Kish - Hikers

Bagi individu normal, berada dicenuram sudah berasa ngeri, apatah lagi jika tidak dapat melihat jalan. Namun, perkara itu tidak mengundang sebarang rasa takut kerana sudah mempunyai 'mata' sendiri.

Kemampuan Daniel bukan setakat itu. Dia berjaya menyambung pengajian sehingga ke peringkat sarjana dalam dua bidang iaitu, Development Psychology dan Special Education.

Sebuah organisasi yang dinamakan sebagai World Access for The Blind turut diasaskan dan diketuai sendiri oleh Daniel.

Lebih menarik dan luar biasa, dia kini mengajar individu buta lain menggunakan teknik yang sama.

Baginya, kecacatan penglihatan bukan penghalang untuk seseorang bergerak bebas.

BACA INI JUGA: James Harisson Manusia Pemilik Darah Paling Istimewa

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

  1. SubhaNAllah... Maha Suci Allah di atas kurniaan nik'mat yang tdk terhingga kepada kita semua... baca cerita begini butakan kita semua lebih bersyukur

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon