Friday, December 19, 2014

Petrol Tidak Mengenyangkan, Subsidilah Barang Makanan


5.6%. Ini bukanlah angka pertumbuhan KDNK negara. Sebaliknya ini adalah pertumbuhan deposit individu di dalam bank.

Rakyat kelaparan

Untuk pengetahuan, ini adalah pertumbuhan yang paling rendah dicatatkan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Ini bermakna orang ramai semakin kurang menyimpan duit kerana semakin banyak duit yang diperlukan bagi kegunaan seharian. Ini termasuklah berbelanja bagi barang dapur, bil utiliti, petrol, rumah dan sebagainya.

Acapkali kita mendengar rungutan orang ramai berkenaan dengan kos sara hidup yang saban hari semakin meningkat.

Bolehkah jika kita bertanya kepada mereka kos apakah yang dimaksudkan di dalam rungutan tersebut? Dan apakah yang diharapkan kepada kerajaan bagi menangani perkara ini?

Adakah dengan meneruskan subsidi pukal atau memberikan lebih banyak wang tunai? Atau mengurangkan perbelanjaan kerajaan? Kita perlukan analisa yang terperinci supaya masalah ini dapat ditangani bersama.

Pertama, kerajaan perlu mengambil kira realiti bahawa 74% isi rumah di Malaysia memiliki kurang RM6,000 sebulan. Mengetahui statisitik ini adalah penting supaya setiap polisi yang direncana dapat memberi manfaat kepada golongan yang sewajarnya.

Kedua, kerajaan wajib mengetahui hakikat bahawa semakin rendah pendapatan isi rumah, semakin tinggi peratusan yang dibelanjakan untuk makanan dan rumah. Dalam laporan ‘The State of Households’ yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute, isi rumah yang mempunyai RM3,000 ke bawah berbelanja 65% untuk makanan dan rumah manakala isi rumah RM10,000 ke atas hanya menggunakan 30% untuk tujuan yang sama.

Oleh itu, sebarang kenaikan harga barang makanan dan rumah akan memberi kesan yang paling teruk kepada golongan ini.

Sebagaimana pendapatan dan kekayaan, perbelanjaan isi rumah juga ada kesenjangan (unequal). Golongan berpendapatan rendah sememangnya berbelanja lebih untuk makanan tetapi ini tidak bermakna mereka mendapat makanan yang lebih berkhasiat berbanding dengan golongan berpendapatan tinggi. Bahkan mereka mendapat kurang khasiat.

Rakyat kelaparan [2]

Mereka ini kebiasaannya akan membeli barangan asas seperti nasi, roti, sayur-sayuran, ayam, telur, ikan terlebih dahulu dan jika ada lebihan wang ringgit barulah digunakan untuk membeli protein seperti daging (baca: khasiat).

Di dalam laporan yang sama, secara puratanya, isi rumah yang berpendapatan RM1,000 ke RM2,000 sebulan hanya berbelanja RM55 sebulan untuk membeli daging.

Jika dinisbahkan, ini adalah harga sepinggan Australian steak untuk sekali makan di restoran 'hipster' di Bangsar.

Oleh hal yang demikian adalah satu kemestian bagi kerajaan untuk mengawal harga barang makanan.

Memastikan harga barang makanan sentiasa rendah bukan sahaja membantu pendapatan boleh guna 'disposable income' majoriti rakyat Malaysia, bahkan dapat memberikan lebih khasiat kepada mereka.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk tujuan tersebut. Antaranya adalah dengan meningkatkan bekalan makanan negara. Barang keperluan asas makanan seperti beras, sayur-sayuran dan buah-buahan sewajarnya tidak perlu diimport dari luar negara.

Untuk itu sektor pertanian perlu dipertingkatkan. Tetapi ini bukanlah dengan cara pertanian haram sebagaimana berleluasa di Cameron Highlands. Sebenarnya kita mempunya lebih banyak tanah terbiar yang sesuai untuk dijadikan sebagai tempat pertanian.

Baru-baru ini ketua pengarah Jabatan Pertanian berkata terdapat lebih 119,000 hektar tanah yang boleh digunakan untuk tujuan bercucuk-tanam.

Kerajaan boleh mengarahkan kerajaan negeri untuk memberi kelonggaran dan kemudahan supaya tanah-tanah ini dapat dimajukan kepada mereka yang berminat khususnya penduduk di luar bandar.

Agak menghairankan juga negara kita masih lagi mengimport beras, ikan dan daging daripada negara luar. Lebih-lebih lagi mengambil kira Malaysia bukanlah negara empat musim yang menyukarkan kerja-kerja pertanian dan penternakan.

Sekadar melahirkan lebih ramai petani tidak akan menyelesaikan masalah jika petani masih lagi tergolong di dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Adalah penting untuk memastikan petani memperoleh pendapatan yang setimpal dengan kudrat mereka.

Oleh itu, amalan orang tengah yang masih lagi berleluasa perlu dibanteras. Ini adalah agenda bagi setiap menteri pertanian yang baru tetapi menteri sudah bertukar beberapa kali, masalah yang sama masih tidak selesai.

Tidak bolehkah diwujudkan satu portal atau apps bagi golongan petani ini memasarkan sendiri barangan atau produk mereka?

Selain itu, monopoli di dalam sesetengah barangan makanan juga tidak membantu menjadikan bekalan makanan murah. Negara perlukan lebih ramai pemain di dalam sesetengah sektor barangan makanan.

Apapun kesemua hal ini hanya akan dapat dilaksanakan jika terdapat iltizam politik yang tinggi daripada semua pihak. Soalnya di manakah kedudukan pertanian di dalam obsesi kerajaan yang mahukan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi lagi enam tahun?

Adakah agenda pertanian semakin ke tengah atau ‘ke laut’?

Sememangnya pertanian tidak menjadikan kita berpendapatan tinggi. Tetapi kita boleh menjadi maju jika kita mempelajari teknologi baru yang diguna pakai di dalam pertanian sebagaimana amalan pertanian di negara-negara maju.

Apa yang penting ialah - jika kita ingin membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, kita perlu memastikan harga barang makanan sentiasa murah.

Sebagaimana dijelaskan tadi, ini berikutan sebahagian besar pendapatan isi rumah digunakan untuk membeli barang makanan.

Rakyat kelaparan [3]

Kebelakangan ini kerajaan sering melaungkan prinsip ‘subsidi tertumpu’ dalam menjustifikasikan penghapusan subsidi pukal. Menjadikan harga barang makanan rendah sebenarnya selari dengan prinsip tersebut.

Kita diberitahu bahawa hasil daripada sistem apungan harga petrol akan memberikan penjimatan RM10 bilion kepada kerajaan di samping harga petrol yang lebih murah kepada pengguna.

Penjimatan ini akan digunakan bagi meningkatkan taraf pengangkutan awam negara. Selain daripada membina lebih banyak stesen LRT dan lingkaran MRT, kerajaan wajar menyalurkan penjimatan ini kepada agenda makanan negara.

Harga petrol murah tidak akan mengenyangkan 74% isi rumah di Malaysia. Hanya 3 juta penduduk Lembah Klang yang akan menerima manfaat daripada jajaran LRT dan MRT. Selebihnya yang tinggal di luar kawasan tidak akan menikmati kemudahan akses sedemikian.

Tetapi barang makanan dibeli dan digunapakai oleh kesemua rakyat Malaysia - baik yang berpendapatan tinggi dan rendah.

Kerajaan wajib mempertimbangkan perkara ini. Habuannya mungkin tidak lumayan tetapi ia jauh lebih 'mengenyangkan' perut rakyat jelata. -mStar

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Kaitan Antara Harga Minyak Dan Keselamatan Negara?

6 comments

  1. tajuk ini kalau bercakap tentu sakit hati...kerajaan akan ulang dan ulang " kita akan mengawal harga barangan dari naik dan akan menguatkan pengautkuasaan." tapi harga tetap naik.

    Susah bila mana pemimpin tidak pernah hidup susah dan tidak menajdikan rasullullah sebagai contoh dalam memimpin

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pemimpin politik kita di Malaysia terlalu mewah. Bila orang susah nak minta bantuan pasti disuruh merujuk kepada Jabatan Kebajikan atau Baitulmal..

      Delete
  2. Bila baca artikel macam ni...mesti rasa geram...
    Oh Malaysia Ku....!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. SP sebenarnya tidak terikat dengan mana-mana parti, tak pernah mengundi pun, cuma sepatutnya itulah tanggungjawab mana-mana pemimpin dari pihak manapun, menjaga kebajikan rakyat..

      Delete
  3. Malaysia terlalu nak membuktikan kpd dunia yg negaranya berjaya.. sedangkan ia hanya negara kerdil yg masih mempunyai rakyat tg tertekan dlm mengharungi kehidupan. Kita terlalu ikutkan norma budaya pemerintahan barat... terlalu mengejar popularisme utk terserlah dimata dunia sedangkan ekonomi secara praktikal menunjukkan sebaliknya.. Ekonomi malaysia tidak mesra rakyat!

    ReplyDelete
  4. Yang kaya terus kaya
    yang miskin dan sederhana akan terus miskin

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon