Wednesday, November 05, 2014

Unik! Bangunan 'Menyanyi' Apabila Hujan


Di bandar Dresden, sebuah bandar yang merupakan ibu negeri Saxony, Jerman, terdapat sebuah bangunan pelik yang mempunyai keistimewaan mengeluarkan bunyi muzik.

Neustadt Kunsthofpassage

Bangunan yang dikenali sebagai Neustadt Kunsthofpassage ini akan memainkan alunan muzik setiap kali hujan turun.

Dresden merupakan salah satu kota warisan yang terdapat di timur Jerman dan pada suatu ketika dulu, hampir 60 peratus daripada keseluruhan bangunan disini musnah akibat perang dunia kedua.

Namun, penstrukturan semula telah dilakukan oleh kerajaan Jerman bagi meningkatkan kembali ekonomi di wilayah ini sebaik sahaja perjanjian damai dimeteri.

Hampir keseluruhan bangunan-bangunan yang berdiri megah di kota ini terdiri daripada struktur seni bina lama kerana kerajaan tempatan mahu mengekalkan binaan-binaan ini sesuai dengan statusnya sebagai sebuah bandar warisan.

Disebabkan itu, bandar ini juga telah menjadi salah satu prospek pelancongan negara Jerman kerana nilai sejarahnya yang tinggi.

Selain dikenali sebagai kota warisan sejarah, Dresden juga turut terkenal sebagai sebuah bandar muzik.

Disinilah lokasi dimana ahli-ahli muzik disekitar Jerman berkumpul untuk membuat persembahan. Malah, pembelajaran tentang muzik turut ditekankan kepada setiap pelajar dibandar ini.

Ekspresi itu dapat dilihat sendiri dengan terbinanya sebuah bangunan yang dikenali sebagai Neustadt Kunsthofpassage. Bangunan ini dibina khusus untuk mengeluarkan alunan muzik setiap kali hujan turun, menjadikannya salah satu mercu tanda bandar Dresden.

Neustadt Kunsthofpassage merupakan pangsapuri lama yang telah diubahsuai menjadi sebuah bangunan yang dipenuhi corong-corong yang berbentuk instrumen muzik. Jika dilihat sekali imbas, corong-corong ini kelihatan persis alat muzik saksofon.

Pada mulanya, corong ini merupakan saluran air yang menyalurkan air hujan ke longkang. Namun, ia telah diubahsuai menjadi corong berbentuk seperti instrumen muzik yang boleh mengeluarkan bunyi.

Jika alat muzik seperti saksofon menggunakan kuasa angin untuk dibunyikan, corong-corong ini pula menggunakan kuasa hidro, iaitu kuasa air setiap kali ia turun.

Dan setiap kali hujan turun, penghuni dipangsapuri ini akan menikmati sebuah alunan muzik semulajadi.

Konsep bangunan ini telah direka oleh tiga orang anak muda iaitu Christopher Rossner, Annette Paul dan Andre Tempel pada tahun 1999 yang juga merupakan penghuni pangsapuri ini. Mereka juga merupakan penuntut Universiti Dresden yang mengambil jurusan muzik orkestra.

Konsep asal bangunan ini diilhamkan daripada sebuah gereja muzik yang terdapat di England.

Neustadt Kunsthofpassage

Menurut ketiga-tiga anak muda ini, apabila hujan turun, muzik yang dikeluarkan adalah sekata. Bagaimanapun, tempo muziknya akan berubah-ubah, bergantung kepada tahap kelebatan hujan yang turun.

Menurut mereka lagi, muzik yang dimainkan oleh bangunan ini tidak seperti muzik yang selalu kita dengar, tetapi ia lebih kepada muzik eksotik atau kolektif yang boleh menenangkan jiwa pendengarnya.

Disebabkan terdapat banyak corong-corong air yang dipasangkan dibangunan ini, alunan yang dikeluarkan persis sebuah orkestra.

Bagi orang kebanyakan, mungkin mereka tidak dapat memahami alunan muzik yang dikuasakan oleh hujan ini.

Selain mempunyai corong muzik, bangunan ini juga telah diwarnakan dengan cat berwarna-warni untuk menambahkan nilai estetika seninya. Dengan warna yang cantik serta dipenuhi dengan corong-corong instrumen muzik, bangunan ini kelihatan begitu menarik.

Untuk mendengar alunan muzik semula jadi ini, anda boleh melayarinya sendiri dilaman YouTube.

Mungkin muziknya tidak sama seperti alunan muzik kumpulan Hujan, tetapi sekurang-kurangnya ia masih menarik untuk menjadi halwa telinga.

BACA INI JUGA: Sains Membuktikan Ayat Al-Qur'an Bahawa Hujan Mampu Menggegarkan Bumi

-SENTIASAPANAS.COM

4 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon