Nov 8, 2014

Kemalangan Dan Kematian Misteri Yang Membingungkan!

Malang tidak berbau. Kemalangan sukar dijangka. Namun, bagaimana jika kemalangan itu disulami dengan persoalan misteri yang tiada jawapan? Cuba anda baca empat kisah dibawah ini.

Kisah 1 - Willie McRae

Willie McRae

Lelaki ini bukanlah calang-calang orangnya. Dia merupakan seorang peguam dan aktivis anti-nuklear, amat dihormati dalam Parti Kebangsaan Scotland. Mempunyai karakter yang tegas, Willie McRae dikatakan mampu menghisap 80 batang rokok sehari dan minum minuman keras tanpa berasa mabuk.

Segala-galanya bermula pada 4 April 1986, sewaktu apartmen Willie musnah dijilat api dalam satu kebakaran.

Bomba mendapat panggilan daripada jiran Willie dan kebakaran berjaya dipadamkan. Willie ditemui pengsan akibat terhidu asap tebal.

Setelah sedar, dia memberitahu bomba punca kebakaran kerana rokoknya yang lupa dipadamkan sebelum tidur. Malah, Willie menolak sebarang bantuan perubatan.

Keesokan harinya, Willie memberitahu jiran bahawa dia akan pergi ke rumah kecilnya di Kintail, Scotland sementara menunggu apartmennya yang terbakar siap dibaiki.

Jam 10 pagi keesokannya, dua pelancong Australia menemui mayat Willie dalam keretanya yang tersadai di tepi jalan, tidak jauh dari sebatang sungai kecil.

Mayat Willie ditemui dalam keadaan tangannya terletak rapi diatas paha dan juga sedikit luka dibahagian kiri kepalanya.

Luka Willie konsisten dengan trauma akibat kemalangan. Pihak polis kemudiannya membersihkan tempat kejadian.

Namun, enam jam kemudian, hasil x-ray mendapati Willie mati akibat tembakan yang tembus ke otaknya. Kematian itu disifatkan sebagai bunuh diri.

Polis kemudian memulakan proses pencarian dikawasan kemalangan. Mereka menemui sepucuk pistol yang dipercayai digunakan Willie untuk membunuh diri.

Peliknya, pistol itu ditemui agak jauh dari kawasan kemalangan. Tiada sebarang kesan cap jari ditemui dan tiada bukti kukuh mengatakan pistol itu milik Willie.

Persoalan demi persoalan mula timbul. Jika benar Willie membunuh diri, bagaimana dia boleh membuang pistol itu dan meletakkan tangannya rapi diatas paha setelah menembak kepalanya?

Ada kenalannya memberitahu bahawa Willie sedang menulis sebuah buku mengenai industri nuklear. Jadi, tidak masuk akal jika Willie menamatkan riwayatnya sendiri.

Persoalannya, adakah Willie benar-benar membunuh diri atau dibunuh oleh seseorang?

Kisah 2 - Patricia Meehan

Patricia Meehan

Pada 20 April 1989, Patricia Meehan yang berusia 37 tahun terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Circle, Montana.

Saksi memberitahu, Patricia keluar daripada kereta dalam keadaan terpinga-pinga sebelum berjalan pergi dari kawasan kemalangan ke arah sebuah padang dan hilang daripada pandangan.

Selepas kemalangan itu, Patricia didakwa tidak pernah menghubungi keluarga mahupun rakan-rakannya.

Ibu bapa Patricia percaya anak mereka mungkin hilang ingatan akibat hentakan kuat sewaktu kemalangan dan mungkin menahan kenderaan lain dan menumpang mereka.

Sejak kejadian tersebut, lebih kurang 60 kelibat yang kelihatan seperti Patricia telah dirakamkan. Namun, keluarga Patricia hanya percaya lima daripada kelibat gambar tersebut ialah Patricia.

Suatu hari, seorang gelandangan wanita di Seattle, Amerika Syarikat, telah ditahan kerana membuang sampah merata-rata.

Pihak polis mendakwa wajah gelandangan itu sama seperti Patricia tetapi wanita itu memberitahu polis bahawa namanya ialah Morning Star. Polis juga tidak menemui sebarang pengenalan dirinya.

Bagaimanapun, ibu bapa Morning Star bukanlah anak mereka setelah mereka berbual melalui telefon.

Sehingga kini selepas 25 tahun menghilangkan diri, kehilangan Patricia terus menjadi tanda tanya.

Kisah 3 - Christene Skubish

Christene Skubish

Christene Skubish memandu bersama dengan anak lelakinya, Nick, yang baru berusia tiga tahun di lebuh raya Sacramento, Amerika Syarikat.

Namun, pada tarikh 24 Jun 1990, kereta dipandu Christene hilang kawalan. Ia meredah ke laluan sebelah dan jatuh ke dalam jurang sedalam 40 kaki sebelum menghentam sebatang pokok.

Kemalangan tragik itu mengakibatkan bumbung kereta Christene tercabut. Tiada siapa tahu tragedi itu. Kereta Christene terbiar di kawasan tersebut selama lima hari.

Sementara itu, kehilangan Christene dan anaknya menjadi tanda tanya keluarga dan rakan-rakannya.

Kemalangan itu hanya disedari selepas sepasang suami isteri mendakwa terlihat seorang wanita yang terbaring dalam keadaan bogel berhampiran tempat kejadian.

Apabila polis tiba, mereka menemui kereta tersebut dengan Nick masih lagi duduk ditempat duduk penumpang. Anak kecil itu masih lagi hidup walaupun tubuhnya kekurangan air dan mengalami hipotermia.

Christene bagaimanapun dipercayai mati serta-merta apabila pokok yang tumbang menghempapnya.

Persoalannya, bagaimana suami isteri itu boleh melihat Christene dalam keadaan bogel tidak jauh dari situ, sedangkan hakikatnya wanita itu sudah mati dan mayatnya ada di dalam kereta yang terjunam ke dalam jurang.

Ada yang percaya kononnya apa yang dilihat pasangan suami isteri itu ialah jelmaan roh Christene yang cuba meminta bantuan bagi menyelamatkan anak lelakinya.

Kisah 4 - Kyle Peterson

Kyle Peterson

24 Februari 2014, Kyle Peterson, 29, memandu kenderaan jenis SUV di Troutdale, Oregon, Amerika Syarikat. Setibanya di sebuah jalan, kereta Kyle terbabas lalu melanggar pembahagi jalan. Kerana kemalangan, Kyle menelefon polis dan menunggu ketibaan mereka.

Menurut anggota polis yang bertugas, pada mulanya Kyle memberikan kerjasama yang baik kepada di lokasi kejadian. Tapi tidak lama kemudian, dia mula berkelakuan pelik.

Kyle tiba-tiba meluru masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin seperti ingin melarikan diri. Namun, dia berhenti dan keluar semula dari kereta sebelum bertindak melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran. Itulah kali terakhir kelibat Kyle dilihat polis.

Selepas kejadian tersebut, lebih seratus orang dalam pasukan mencari dan menyelamat termasuk satu pasukan penyelam melakukan misi mencari Kyle di kawasan hutan tersebut, tetapi tiada satu petanda pun mereka temui.

Pencarian diteruskan sehingga 18 Julai 2014 apabila sekumpulan pendaki menemui satu objek terapung di permukaan Sungai Sandy. Ia adalah Kyle Peterson!

Dia ditemui lebih kurang empat batu dari kawasan kemalangan setelah lebih lima bulan hilang!

Sehingga kini tiada siapa tahu mengapa Kyle tiba-tiba bertindak lari ke dalam hutan tersebut dan apakah punca sebenar kematiannya.

BACA INI JUGA: Misteri Roh Pelajar Yang Tidak Tenteram

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

5 comments

Misteri betul kematia diorg ni. Mcm ada 'seseorang' yang buat diorg jadi macam tu. Admin, tulis cerita macam ni bnyk2 tau. Saya suka baca cerita macam ni.

Malang kalau rakan atau keluarga kita sendiri yang terlibat. Moga dijauhkan..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon