Tuesday, September 09, 2014

Tragedi Love Canal Yang Menggemparkan


Pelupusan sisa-sisa buangan kimia adalah amat penting bagi memastikan ia tidak mendatangkan bahaya kepada alam sekitar dan juga manusia.

Love Canal Tragedy

Jika dilupuskan dengan cara yang salah, ia pasti akan mengundang tragedi seperti yang berlaku di Love Canal, Niagara Falls, Amerika Syarikat sekitar tahun 1978 dahulu.

Tragedi Love Canal adalah salah satu tragedi alam sekitar paling mengejutkan dalam sejarah Amerika Syarikat. Disitu, penduduknya menderita kesan sampingan akibat sisa toksik yang dilupuskan dibawah rumeh mereka.

Penduduk dewasa dan kanak-kanak mengalami pelbagai masalah kesihatan yang serius dan kronik seperti barah, keguguran, kecacatan semasa kelahiran dan macam-macam lagi.

Love Canal adalah sebuah kawasan di pinggir timur Niagara Falls, New York yang telah dibuka oleh seorang usahawan bernama William T. Love sekitar tahun 1890an. Love bercadang mahu membangunkan kawasan itu menjadi sebuah kawasan penempatan dan industri yang unggul.

Beliau telah mengorek tanah dan membuat sebuah terusan antara atas dan bawah sungai Niagara untuk menjana kuasa elektrik yang murah ke bandar impiannya. Namun, impiannya untuk membangunkan bandar tersebut tidak terlaksana kerana masalah ekonomi.

Pada tahun 1910, projek itu dibatalkan dan apa yang tinggal hanyalah sebuah terusan yang terbengkalai. Selepas itu, kawasan tersebut telah dilelong dan terusan terbengkalai itu telah dijadikan sebagai kawasan pelupusan bandar Niagara Falls.

Pada tahun 1942, tanah berkenaan diambil alih oleh Syarikat Hooker Chemical and Plastics Corporation yang meneruskan penggunaan kawasan itu sebagai kawasan pelupusan sisa kimia dan telah melupuskan sebanyak 21,800 tan sisa kimia.

Pada tahun 1953, tapak pelupusan itu telah ditimbus dengan tanah dan syarikat itu kemudian telah menjual tanah tersebut kepada Lembaga Pendidikan Niagara Falls dengan harga satu dolar!

Love Canal Tragedy [2]

Pada masa itu, penduduk Niagara Falls telah berkembang secara drastik dan mereka memerlukan tanah untuk membina sekolah baru.

Tanpa berfikir panjang mereka membeli tanah tersebut kerana terdesak walaupun tahu kawasan tersebut telah digunakan untuk melupuskan sisa toksik.

Pada tahun 1955, kira-kira 100 buah rumah telah dibina dikawasan tersebut. Kebanyakan penduduk yang tinggal di situ tidak tahu kawasan tersebut dahulunya adalah tempat pelupusan sisa toksik.

Semuanya kelihatan normal dan tiada masalah sehinggalah selepas musim sejuk luar biasa melanda pada tahun 1976. Salji yang cair telah meresap ke dalam tanah telah memaksa sisa kimia yang tertanam keluar ke permukaan dan penduduk telah terdedah kepada sisa kimia tersebut.

Tahun-tahun berikutnya, penduduk mula mengalami pelbagai masalah kesihatan. Kadar keguguran, bayi yang mati selepas lahir dan juga bayi yang lahir dengan kecacatan turut meningkat dengan luar biasa.

Satu kajian oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) menunjukkan bahawa daripada tiga puluh enam orang yang diuji, sebelas mempunyai kerosakan kromosom. Daripada 15 orang bayi di Love Canal, hanya dua orang disahkan sihat.

Akhirnya, pada musim bunga tahun 1978, Pesuruhjaya Kesihatan Negeri, Dr. Robert P. Whalen mengisytiharkan kawasan disekitar Love Canal berbahaya dan tidak selamat untuk didiami. Lebih daripada 1,000 keluaraga terpaksa berpindah keluar dari kawasan Love Canal.

Kawasan berbahaya itu mendapat perhatian negara dan pada 7 Ogos 1978, Presiden Jimmy Carter mengarahkan Agensi Bantuan Bencana Persekutuan membantu mangsa.

Agensi diperingkat negeri dan persekutuan telah menghabiskan beratus-ratus juta dolar cuba untuk membersihkan pencemaran di Love Canal. Daripada jumlah itu, Hooker Chemical telah diarahkan untuk menyumbang sebanyak USD$130 juta dolar.

Ekoran tragedi itu, satu akta baru iaitu Akta Tindakan Komprehensif Alam Sekitar, Pampasan dan Liabiliti telah diwujudkan bagi tujuan mengutip cukai terhadap syarikat-syarikat industri bahan kimia dan gas.

Tujuannya adalah untuk mengumpul dana bagi membersihkan dan membaik pulih kawasan yang terjejas oleh bahan buangan berbahaya seperti yang berlaku di Love Canal pada masa hadapan.

Love Canal Tragedy [3]

Bagaimanapun, pada awal tahun 1990an, sebahagian kawasan itu diisytiharkan sudah bersih daripada pencemaran sisa toksik dan selamat untuk diduduki oleh EPA.

Lebih 200 rumah yang ditinggalkan dikawasan bahagian utara Love Canal telah dibaiki dan dijual semula dan kawasan itu kini dikenali sebagai Black Creek Village. Bahagian lain Love Canal telah dipagar dan kekal menjadi kawasan larangan.

Kejadian ini menjadi salah satu contoh kepada dunia bahawa bahaya sesuatu sisa yang tidak dilupuskan dengan cara yang betul.

Ia boleh berlaku lagi dimana-mana bahagian dunia kecuali kita bersama-sama mencegahnya.

Rujukan; Wikipedia

-Sentiasapanas.com

2 comments

  1. Huh.. sungguh merbahaya.. tak pasal2 je teraniaya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kesian rakyat yang teraniaya kerana syarikat terlalu mengejar keuntungan..

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon