Friday, August 15, 2014

Pegawai Bank CURI Wang Penumpang MH370


Seorang pegawai bank dan suaminya yang dipercayai terbabit dalam kes memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun milik penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ditahan semalam.

Pegawai Bank ROMPAK Wang Penumpang MH370

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Izany Abd Ghani berkata pegawai bank itu yang bekerja di bank berkenaan sejak 10 tahun lalu ditahan di rumahnya di Ampang kira-kira 4 petang.

“Suaminya yang berusia 33 tahun turut ditahan di bengkel kereta di Ampang ketika membaiki keretanya. Polis percaya suaminya mungkin turut terlibat.

“Polis masih belum mendapat rakaman kamera litar tertutup (cctv) daripada pihak bank. Ia akan mengambil masa sedikit,” katanya kepada Bernama dan menambah kedua-dua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Izany menasihati keluarga penumpang MH370 yang pesawat itu masih belum ditemui supaya meneliti kenyataan akaun bank penumpang.

“Keluarga mereka boleh periksa kenyataan bank penumpang. Kita minta mereka berwaspada,” katanya.

Rabu lepas media melaporkan sebanyak RM110,643 milik empat penumpang pesawat MH370 lesap daripada akaun bank dipercayai dipindahkan oleh kakitangan bank tanpa kebenaran.

Siasatan mendapati wang dari akaun milik penumpang dipindahkan ke akaun penumpang lain melalui perbankan Internet melibatkan jumlah keseluruhan RM110,643.

Akaun berkenaan masing-masing milik dua penumpang warga China, seorang penumpang warga Malaysia dan akaun seorang pramugara.

Kejadian disedari pada 18 Julai lepas oleh seorang petugas bank yang mengesan beberapa transaksi pengeluaran dan pemindahan secara mencurigakan dari empat akaun berkenaan.–BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon