Aug 14, 2014

MH17: 22 Ogos Diisytihar Hari Berkabung Negara

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 22 Ogos (Jumaat) sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine.

MH17

Beliau berkata satu istiadat penghormatan jenazah tragedi itu akan diadakan pada hari tersebut di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan ketibaan 16 jenazah tragedi itu termasuk seorang bukan warga negara Malaysia.

Katanya jenazah itu akan dibawa melalui sebuah pesawat khas dari Amsterdam yang dijangka tiba di KLIA pada 10 pagi.

“Upacara penghormatan untuk jenazah dibuat secara tertib, sesuai dengan penghormatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi pesawat MH17.

Muhyiddin berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dijangka berangkat ke istiadat tersebut, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri serta keluarga mangsa.

Muhyiddin berkata tiada cuti umum sempena hari berkabung negara tersebut.

Pada upacara itu, setiap jenazah akan diusung pegawai istiadat dari Angkatan Tentera Malaysia dan dibawa menaiki 16 kereta jenazah dan diberi penghormatan mengikut agama masing-masing serta bertafakur.

Katanya sembilan daripada 15 jenazah warga Malaysia itu bukan beragama Islam. Identiti jenazah hanya akan diumumkan pada upacara tersebut.

Muhyiddin berkata beberapa jenazah akan dibawa ke kampung halaman dan akan diiringi waris.

Setakat ini, beliau berkata pesawat Nuri akan menerbangkan tiga jenazah ke beberapa negeri di Semenanjung manakala sebuah pesawat Charlie akan menerbangkan satu jenazah ke Sarawak.

Katanya, terdapat permintaan bagi dua daripada jenazah mangsa menjalani proses pembakaran di Belanda sebelum diterbangkan ke tanah air.

Beliau berkata jenazah seorang warganegara Belanda juga akan dibawa ke Malaysia untuk disemadikan kerana terdapat permintaan dan menurutnya mangsa dipercayai asalnya warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga Belanda.

Muhyiddin berkata setakat ini, 24 jenazah warga negara Malaysia mangsa tragedi MH17 telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa di Amsterdam, iaitu 14 penumpang dan 10 anak kapal.

Beliau berkata jenazah selebihnya yang sudah dikenal pasti itu belum melalui proses lengkap dan akan dihantar pulang secara berperingkat.

“Bukan kita tidak boleh bawa sekali (semua sekali) tetapi pihak di sana (Belanda) beri kata putus bila masa sesuai boleh dibawa pulang.

“Bagi jenazah yang berbaki, kita masih menunggu isyarat daripada Belanda dan sedang dipantau oleh Kementerian Pengangkutan dan MAS. Selepas 22 Ogos ini, kemungkinan selang beberapa hari ada penerbangan supaya waris tidak tunggu lama,” kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan mengadakan upacara penghormatan jenazah bagi mangsa lain yang tiba kemudiannya tetapi upacara itu akan diadakan secara lebih ringkas.

Beliau berkata tiada tempoh tertentu ditetapkan untuk pencarian semua mangsa rakyat Malaysia kerana usaha masih diteruskan bagi memasuki lokasi nahas di Ukraine yang merupakan kawasan pertempuran.

“Kita belum selesai lagi. Pihak-pihak di sana (Belanda) masih menjalankan proses forensik dan DNA. Biarlah tunggu sehingga semuanya selesai,” katanya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.–BERNAMA

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon