Saturday, August 23, 2014

Kawah Gergasi Muncul Di Hujung Dunia


Sebaik sahaja beberapa gambar dan video disiarkan kepada umum tentang lubang besar di Siberia, pelbagai teori dan penjelasan telah diberikan berhubung kejadian itu.

Mysterious giant Hole in Siberia

Kawah besar tersebut pertama kali dikesan oleh juruterbang helikopter ketika melintasi Semenanjung Yamal, yang boleh dikatakan terletak di penghujung dunia baru-baru ini.

Ramai pakar dan ahli teori dunia dengan segera cuba untuk mengaitkan kewujudan kawah yang dinamakan sebagai Kawah Gergasi Muncul di Hujung Dunia itu dengan pelbagai kemungkinan yang menyebabkan kejadian itu.

Pembentukan geologi misteri itu didakwa berpunca daripada meteorit yang menyebabkan letupan sub-permukaan di bahagian utara Rusia. Paling mengejutkan, ia turut dikaitkan dengan Sarlacc, lubang besar yang ingin membaham Luke Skywalker dalam filem Star Wars: Return of the Jedi.

Perubahan suhu

Sebaliknya, saintis Rusia percaya bahawa kawah yang mempunyai lebar sehingga 66 meter itu terhasil ekoran perubahan suhu di rantau tersebut.

Menurut sumber daripada Kementerian Kecemasan Siberia cawangan Yamal, lubang tersebut diyakini bukan berpunca daripada meteorit.

Kementerian tersebut juga telah mengesahkan bahawa satu pasukan pakar geologi dihantar ke sana telah menyiasat fenomena misteri itu.

Pada masa yang sama, pakar-pakar dunia kebanyakannya berpendapat bahawa hampir pasti kawah gergasi itu sebenarnya berpunca daripada pingo besar yang luar biasa.

Pingo terbentuk apabila jisim ais yang terdapat di dasar bumi mula menolak untuk keluar ke permukaan dengan peningkatan air bawah tanah.

Secara umumnya, paras air yang semakin meningkat ini disebabkan oleh pemanasan suhu, terutamanya di kawasan Artik yang mana permafros dalam tanah mula mencair.

Apabila jisim ais tersebut sampai ke permukaan, ia dengan ganasnya boleh menyebabkan terbentuknya cincin tanah yang menyerupai kawah. Setelah jisim tersebut cair, lama-kelamaan yang tinggal adalah lubang lembap yang sangat dalam.

Teori ini telah disahkan oleh pakar-pakar setelah mereka membuat penyiasatan sendiri.

Penyelidik Kanan Pusat Saintifik Penyelidikan Artik Negeri, Andrei Plekhanov menegaskan bahawa suhu kedua-dua musim panas sebelum ini adalah terlalu tinggi untuk Yamal menyebabkan peningkatan peleburan permafros.

Katanya, terdapat ais di dalam kawah yang secara beransur-ansur mencair di bawah pancaran matahari.

"Ada juga ais yang telah cair dan mengalir di sisi lubang, anda dapat lihat kesan air pada gambar yang dirakamkan. Sebanyak 80 peratus kawasan kawah ini dipenuhi ais," jelas penyelidik tersebut.

Tasik

Siasatan juga menemui sebuah tasik yang mengandungi campuran ais di bahagian bawah lubang besar itu yang kedalamannya dianggarkan sehingga 70 meter.

Ujar Plekhanov lagi, sehingga kini pihaknya pasti bahawa permafros yang berlaku disebabkan pengaruh proses dalaman bumi.

"Saya ingin menegaskan bahawa ia bukan letupan, tetapi penolakan yang tidak melibatkan proses pembebasan haba berlaku," tegasnya.

Kemungkinan letupan di bawah permukaan yang menyebabkan pembentukan kawah tersebut telah menimbulkan kebimbangan kerana terletak berhampiran kawasan gas asli.

Namun, Kementerian Kecemasan Siberia memberi jaminan bahawa para pekerja galian gas akan dimaklumkan sekiranya kemungkinan letupan berlaku.

Para penyiasat juga berpendapat bahawa fenomena luar biasa ini mungkin sama dengan proses pembentukan tasik Yamal yang dikatakan berlaku kira-kira 8,000 tahun lalu.

Penyelidik ini menjelaskan, jika teori tersebut disahkan, masyarakat hari ini telah menyaksikan satu proses semula jadi yang unik. Proses tersebut membentuk landskap luar biasa di Semenanjung Yamal.

Plekhanov juga menegaskan pembentukan kawah gergasi itu tiada kaitan dengan perkara ghaib atau misteri.

"Tiada apa yang misteri mengenainya. Tidak ada perasaan pelik atau yang tidak dapat dijelaskan di sana, kami pergi dan kembali dengan selamat," terangnya. - Agensi.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon