Thursday, August 28, 2014

Israel Akhirnya Tunduk Tuntutan Hamas


Walaupun Israel dan Hamas masing-masing mendakwa mereka menang dalam peperangan 50 hari rejim Zionis itu di Gaza yang meragut lebih 2,100 nyawa warga Palestin, kebanyakannya orang awam, penganalisis mengambil pendekatan lebih realistik, malah akhbar Israel, Maariv menganggapnya ‘seri’.

Israel-Kalah
Warga Palestin berhimpun di Gaza meraikan kejayaan Hamas.

Berikut terma dipersetujui yang antara lain melihat kedua-dua pihak bersedia membincangkan isu lebih kompleks termasuk pembebasan tawanan Palestin dan tuntutan Gaza untuk mendapat pelabuhan yang bakal dibincangkan bulan depan.

Langkah segera:

• Hamas dan kumpulan pejuang lain bersetuju menghentikan semua serangan terhadap Israel manakala Israel menghentikan semua keganasan udara dan darat.

• Israel bersetuju membuka sempadan laluan dengan Gaza bagi memudahkan kemasukan barangan termasuk bantuan kemanusiaan dan barangan diperlukan untuk kerja pembaikpulihan.

• Dalam perjanjian dua hala berasingan, Mesir bersetuju membuka sempadannya seluas 14 kilometer di Rafah.

• Pihak Berkuasa Palestin (PA) diketuai Presiden Mahmoud Abbas mengambil alih pentadbiran sempadan Gaza daripada Hamas. Israel dan Mesir berharap ia memastikan senjata dan barangan ‘dwi-kegunaan’ dihalang memasuki Gaza selain pemantauan ketat pengimportan bahan binaan supaya hanya digunakan untuk membaik pulih atau membina kediaman, bukannya terowong.

• PA menyelaraskan pembaikpulihan di Gaza dengan penderma antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU), Qatar, Turki dan Norway.

• Israel mengecilkan zon penampan keselamatan, kawasan yang dilarang untuk orang Palestin di dalam sempadan Gaza iaitu daripada 300 meter (m) menjadi 100m bagi memberi lebih akses ke kawasan pertanian di sempadan.

• Israel meluaskan had penangkapan ikan di pesisiran pantai Gaza kepada 10 kilometer (km) daripada 5km dan tidak menolak kemungkinan diperluaskan lagi kelak.

Israel-Kalah [2]
Pejuang Palestin dijulang oleh penduduk Gaza.

Isu jangka panjang:

• Hamas menuntut pembebasan ratusan tahanan Palestin yang ditahan dalam siasatan penculikan dan pembunuhan tiga pelajar Yahudi Jun lalu - kejadian yang mencetus peperangan itu.

• Fatah menuntut pembebasan tahanan lama dari Palestin yang dijanjikan sebelum rundingan damai PA-Israel gagal sebelum ini.

• Israel menuntut Hamas dan kumpulan pejuang lain menyerahkan semua anggota dan barangan milik askar Israel yang terbunuh.

• Hamas mahukan pelabuhan dibina di Gaza.

• Hamas menuntut diberi dana yang dibekukan PA untuk membolehkan gaji tertunggak sejak tahun lalu dibayar kepada 40,000 anggota polis, pekerja kerajaan dan pentadbiran.

• Israel mahukan Gaza bebas daripada sebarang kegiatan ketenteraan, cadangan yang disokong Amerika Syarikat dan EU.

• Palestin mahukan pembinaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Yasser Arafat yang dibuka pada 1998 tetapi ditutup pada 2000 selepas dibom tentera Israel.

Di Gaza, 1.8 juta penduduknya meraikan gencatan senjata itu dengan menganggapnya kemenangan Hamas.

Sumber: Reuters/AFP

-SENTIASAPANAS.COM


2 comments

  1. Doakan yang terbaik untuk mereka...Moga genjatan ini berkekalan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kasihan rakyat Palestin, kerosakan yg sengaja dilakukan oleh pengganas yahudi terlalu teruk.

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon