Jul 11, 2014

Siapa Penjaga Gol Terbaik Piala Dunia 2014?

Dalam Piala Dunia pada kali ini beberapa penjaga gol dikenal pasti sebagai antara yang terbaik dalam mengawasi gawang mereka dengan pelbagai percubaan-percubaan berbahaya daripada pasukan lawan.

Antara penjaga gol yang dianggap terbaik kerana ketangkasan mereka mengawal gawang dari dibolosi dan membuka mata pasukan-pasukan ternama untuk mengambil mereka termasuklah:

Thibaut Courtois

Thibaut Courtois

Penjaga gawang Chelsea yang dipinjamkan ke kelab Sepanyol Atletico Madrid selama dua musim ini begitu matang dalam kawalan pintu golnya meskipun umurnya baru menginjak 22 tahun.

Aksi cemerlangnya itu berjaya mengenepikan seorang lagi penjaga gol Belgium yang beraksi untuk Liverpool iaitu Simon Mignolet yang kini hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang kejohanan Piala Dunia ini.

Courtois begitu kental mengawal gawang Belgium ketika perlawanan peringkat kumpulan dan hanya melepaskan satu gol sahaja ketika menentang Algeria dan aksi menyelamat terbaik ketika menidakkan peluang pemain Amerika Syarikat, Clint Dempsey pada minit-minit akhir berjaya membawa Belgium ke peringkat suku akhir bertemu Argentina.

Namun kecemerlangannya itu berakhir apabila penyerang Argentina, Gonzalo Higuain berjaya membolosi gawangnya pada awal perlawanan.

Vincent Enyeama

Vincent Enyeama

Penjaga gol Nigeria, Vincent Enyeama beraksi cemerlang dengan menyelamatkan gawang daripada dibolosi terutamanya ketika perlawanan peringkat kumpulan menentang Iran dan Bosnia-Herzegovina.

Enyeama melepaskan tiga gol ketika peringkat kumpulan dan gol yang bolos itu datangnya ketika menentang Argentina dan meski tewas perlawanan itu dengan keutusan tipis 2-3, Enyeama berjaya membawa Nigeria ke peringkat kalah mati.

Berdepan bekas Juara Piala Dunia 1998, Perancis, Enyeama begitu cemerlang dalam menggagalkan usaha pemain ‘Les Bleus’ seperti Karim Benzema, Paul Pogba dan Mathieu Valbuena dan lain-lain lagi.

Perancis dikerah untuk berhempas pulas sehingga menuju babak-babak akhir perlawanan dan kesilapan Enyeama menampan bola secara tidak kemas menyebabkan bola menuju ke Paul Pogba yang mudah menanduk untuk gol Perancis

Cabaran Nigeria terus berakhir apabila pertahanan Nigeria, Joseph Yobo tertampan gol ke gawang sendiri menewaskan Enyeama.

Manuel Neuer

Manuel Neuer

Tidak dapat dinafikan penjaga gawang Jerman, Manuel Neuer juga merupakan salah satu penjaga gol terbaik sepanjang Piala Dunia 2014 menerusi usaha menyelamat gawang gol yang dilakukan semasa bertemu Perancis.

Selepas aksi cemerlangnya dalam dua musim lalu membantu Bayern Munich merangkul Liga Juara-Juara Eropah menewaskan musuh tradisi, Borussia Dortmund, Neuer sekali lagi muncul sebagai Pemain Jerman Nombor 1 yang akan mengawasi pintu gol negara Bavaria itu.

Tiga aksi tanpa bolos berjaya dicatatkan oleh beliau ketika bertemu Portugal, Amerika Syarikat dan terakhir Perancis berjaya menobatkan beliau sebagai antara penjaga gol terbaik sepanjang Piala Dunia ini.

Dek ketangkasannya itu juga berjaya meloloskan Jerman ke peringkat separuh akhir dan bertemu dengan lawan yang sukar iaitu tuan rumah, Brazil dan Neuer dijangka sekali lagi akan menampilkan aksi menyelamat hebatnya dalam usaha untuk membawa Jerman ke final.

Rais M'Bolhi

Rais M'Bolhi

Penjaga gol Algeria, Rais M'Bolhi tidak pernah diletakkan sebarang harapan untuk menyinar namun prestasi memberangsangkannya berjaya mengheret Jerman untuk bermain dalam masa tambahan sebelum tewas.

Penjaga gawang kelab CSKA Sofia di Bulgaria ini dianugerahkan sebagai ‘Man of The Match’ ketika menentang Jerman kerana penyelamatan gol daripada cubaan berbahaya dari pelbagai sudut oleh pemain Jerman berjaya mengheret perlawanan tersebut hingga ke masa tambahan.

Pemain kelahiran Paris, Perancis yang nama sebenarnya adalah Adi Rais Cobos Adrien M’Bolhi ini tidak menggunakan alasan berpuasa sebagai untuk tidak menyerlah ketika menentang Jerman malah keupayaannya menyelamatkan banyak percubaan agak menakjubkan.

Guillermo Ochoa

Guillermo Ochoa

Penjaga gol ini antara penjaga gol yang mendapat perhatian kelab-kelab terkemuka dunia selepas aksi cemerlangnya ketika bertemu Brazil dengan menyelamatkan pelbagai cubaan berbahaya daripada pemain Neymar, Oscar, Fred dan pemain Brazil yang lain sehingga membuatkan pemain Brazil yang lain ‘pening’ untuk menembusi gawang Mexico.

Penjaga gawang Mexico, Guillermo Ochoa dinobatkan sabagai 'Man of The Match' sebanyak dua kali ketika bertemu Brazil dan Belanda kerana ketangkasan beliau menyelamatkan pintu gol daripada bolos.

Keylor Navas

Keylor Navas

Penjaga gol Costa Rica yang bermain untuk kelab Levante di Liga Sepanyol ini begitu tangkas dalam mengawal gawangnya daripada dibolosi oleh pemain-pemain Belanda yang bertubi-tubi melancarkan serangan berbahaya dalam perlawanan peringkat suku akhir.

Ketangkasannya itu juga memaksa Belanda terpaksa membuat perhitungan dengan Costa Rica melalui penentuan sepakan penalti dan nasib Costa Rica agak tidak baik apabila dua daripada sepakan pemain mereka berjaya disekat oleh penjaga gol gantian Belanda, Tim Krul.

Walaupun tewas, Navas turut dianugerahkan sebagai ‘Man of The Match’ dalam perlawanan itu. Malah, beliau hanya melepaskan dua gol daripada lima perlawanan yang dilalui oleh Costa Rica termasuklah bertemu dengan pasukan gergasi seperti Uruguay, Itali, England dan Greece.

Tim Krul

Tim Krul

Percaturan Louis van Gaal membawa masuk Tim Krul untuk menjaga gawang Belanda ketika sepakan penalti melawan Costa Rica nyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti.

Tim Howard

Tim Howard

Ketika bertemu Belgium, penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard mencatatkan rekod menyelamat gawang sebanyak 16 kali dan rekod tersebut tidak pernah dicapai oleh sebarang penjaga gol di Piala Dunia.

David Ospina

David Ospina

Penjaga gol Colombia, David Ospina melakukan aksi menyelamat gawang ketika bertemu Brazil dan persembahan luar biasanya berjaya membawa Colombia ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Brazil.

Ospina hanya melepaskan dua gol pada peringkat kumpulan ketika bertemu Ivory Coast dan Jepun sebelum disusuli dengan bolosnya dua gol ketika bertemu Colombia di peringkat suku akhir yang mengakhiri cabaran beliau.

Namun begitu, aksi yang ditampilkan ketika berhadapan Uruguay pada peringkat kalah mati nyata membuka mata peminat bola sepak dimana Uruguay bermati-matian mencari gol untuk menyekat penguasaan Colombia namun ketangkasan Ospina yang kelihatan berada di setiap penjuru dan ruang pintu gol menyukarkan Uruguay untuk memperoleh gol.

Sumber: Astroawani.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

Sergio Romero Argentina mungkin salah satu dari yang terbaik....

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon