Jun 20, 2014

Maksiat Akan Menghapuskan Nikmat

Info Agama. Pada tahun 28 Hijrah, Muawiyah bin Abi Sufyan meminta izin daripada Khalifah Usman bin Affan untuk membawa pasukan tenteranya ke Cyprus.

Perang Tentera Islam Melawan Tentera Cyprus

Negeri ini pada masa sekarang termasuk dalam kawasan Turki. Untuk tiba ke negeri itu, mereka harus menyeberangi lautan dengan menaiki bahtera.

Pada masa Khalifah Umar, permintaan seperti ini pernah ditolak. Beliau tidak ingin membahayakan nyawa kaum Muslimin di lautan.

Pada mulanya khalifah Usman juga menolak permintaan tersebut. Namun setelah diyakinkan oleh Muawiyah, beliau akhirnya mengizinkan.

Jadilah Muawiyah memimpin sebuah armada jihad dari Tanah Arab ke Cyprus. Ramai tokoh-tokoh sahabat Nabi SAW yang turut serta dalam pasukan ini, antaranya Ubadah bin al-Samit, Ummu Haram binti Milhan dan Abu Darda.

Armada Laut Tentera Islam Zaman Khalifah

Setibanya mereka di Cyprus, pasukan musuh yang sangat ramai menyambut mereka. Terjadilah sebuah peperangan yang sangat dahsyat. Namun dengan pertolongan Allah SWT, pasukan Islam akhirnya berjaya mengalahkan pasukan kafir.

Di akhir pertempuran, mereka memperoleh rampasan perang yang berlimpah dan tawanan yang sangat ramai.

Namun peliknya, apabila Abu Darda melihat rampasan perang dan tawanan ini, beliau bukan bergembira malah menangis. Seseorang bertanya kepadanya: “"Mengapa tuan menangis pada hari kemenangan Islam ini?"

Sahabat Nabi SAW itu menjawab: “"Bangsa yang kita kalahkan ini sebelumnya ialah sebuah bangsa yang sangat kuat. Mereka memiliki kekuasaan yang luas. Namun apabila mereka mengabaikan perintah Allah, lihatlah apa yang berlaku pada diri mereka."

Abu Darda melanjutkan: "“Sungguh hina seorang hamba di mata Allah apabila ia mula meninggalkan perintah-Nya."

Ucapan Abu Darda ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Nuaim dalam kitab Hilyat al-Aulia.

Kekuasaan, kekayaan, kepandaian, kecantikan, keturunan, kemasyhuran dan kelebihan-kelebihan duniawi lainnya ialah nikmat daripada Allah SWT.

Maksiat di Kelab Malam

Semua ini diberikan kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Bukan setakat untuk dinikmati, akan tetapi juga untuk melihat apa yang akan mereka lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut.

Siapa yang pandai bersyukur, maka nikmat itu akan dikekalkan untuknya. Bahkan Allah SWT berjanji akan menambahkannya dengan pelbagai nikmat-nikmat yang baharu.

Namun jika ia tidak bersyukur, maka nikmat itu akan dicabut, bahkan ia akan mendapat seksaan yang pedih.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu. Dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras". (Ibrahim: 7)

Mensyukuri nikmat bermakna ialah mengakui Allah SWT sebagai pemberi nikmat tersebut. Lalu berterima kasih kepada-Nya dengan melaksanakan seluruh perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya.

Siapa yang semakin bertambah nikmat tetapi semakin berani bermaksiat, maka ia bukanlah hamba yang bersyukur.

Taubat

Jika tidak segera bertaubat dan menginsafi ketelanjuran dirinya, maka orang seperti ini akan dilucutkan daripada nikmat-nikmat yang telah Allah SWT titipkan pada dirinya.

Kesengsaraan akan segera menimpa dirinya di dunia sebelum azab di akhirat.

Justeru, maksiat ialah penghapus nikmat. Jauhilah maksiat, maka dengan izin Allah SWT nikmat yang kita miliki akan terus kekal, bahkan berkembang penuh berkat.

BACA INI JUGA: 25 Janji Allah Kepada Manusia Yang Sentiasa Beristighfar

[Sumber]

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

Salam jumaat bro...terima kasih atas peringatan ini..semoga kita akan sentiasa diberkati olehNya...

Regards,
-Strider-

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon