Tuesday, April 08, 2014

Peratap Kematian Dan Keranda Kitar Semula!


Penduduk China kini boleh mengupah 'pelakon' untuk meratapi kematian seseorang jika mereka terlalu sibuk untuk pergi menziarahi keluarga atau waris si mati.

Peratap Kematian

Dengan bayaran kira-kira RM1,630 tujuh peratap profesional akan menangisi kematian itu dengan sewajarnya seperti lazim dilakukan penziarah biasa dalam ritual tradisional Cina.

Keadaan itu juga membolehkan orang lain tidak malu atau teragak-agak untuk sama meratap.

Menurut kepercayaan, kematian yang tidak ditangisi menandaka si mati tidak disayangi atau mungkin menyebabkan aib kepada keluarganya.

Tanpa tangisan orang ramai menganggap seseorang yang meninggal dunia tidak disayangi keluarga atau pernah mengaibkan mereka.

Ketua peratap di Feishan di wilayah Fujian, Chen Shuqiang, 35, berkata bisnesnya kini berkembang maju.

"Kebanyakan permintaan adalah untuk peratap di kalangan wanita," katanya.

Chen berkata, keluarga yang kematian saudara suka jika orang ramai melihat ia diratapi dengan sepenuh hati dan waris begitu bersedih.

Kata Chen, selain diupah oleh keluarga si mati, mereka juga sering dibayar oleh individu yang terlalu sibuk untuk hadir menziarah mayat berkenaan.

"Biasanya kami dibayar untuk harga tujuh peratap profesional," katanya.

Kebanyakan peratap itu, kata Chen, adalah pelakon.

Chen sendiri pernah menjadi penyanyi kumpulan opera di sebuah kawasan luar bandar namun pendapatan diperoleh tidak memuaskan.

Keadaan berubah apabila dia menukar kerjaya sebagai peratap profesional dan pengalamannya sebagai penyanyi banyak memberi kelebihan.

Keranda kitar semula

Sementara itu di Hong Kong, aktivis tegar alam sekitar kini boleh terus beramal dengan keyakinan mereka walaupun selepas kaku tidak bernyawa apabila “keranda kitar semula” diperkenalkan, lapor media.

Menurut aktivis, jika keranda mesra alam itu digunakan sekurang-kurangnya sekali sehari, ia dapat menyelamatkan sehingga 48 meter padu kayu setahun.

Keranda itu dicipta membabitkan dua bahagian -lapisan luar diperbuat daripada kayu keras, manakala bahagian dalam diperbuat menggunakan kayu berongga yang tahan menampung berat badan si mati.

Ketua Eksekutif Green Life Passage yang menghasilkan keranda itu, Lam Ka-hei berkata, lapisan luar kerana boleh digunakan semula selepas mayat serta bahagian dalam keranda berkenaan dibakar.

Katanya, antara kelebihan produk itu ialah, keranda berkenaan terbakar lebih cepat 26 minit berbanding keranda biasa.

"Kami sedar ada pengguna khuatir menggunakan semula keranda lama kerana faktor kepercayaan, namun kami beranggapan ia tidak banyak beza dengan penggunaan katil hospital.

"Ramai orang meninggal dunia di katil hospital tetapi masih ada orang lain menggunakannya," katanya.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon