Jumaat, April 04, 2014

Duncan Edwards, Pemain Bola Sepak Paling 'Sempurna' Di Britain


Loading...

Bekas pemilik Manchester United, Matt Busby menyi­fatkan Duncan Edwards sebagai pemain bola sepak paling lengkap di Britain mungkin juga di dunia dan pemergiannya pada usia 21 tahun selepas terbabit insiden nahas pesawat di Munich menutup terus potensi sebenar pemain itu.

Duncan Edwards

Beraksi dengan stamina yang tidak ada had selain hantaran kemas dan rembatan padu, Edwards mampu mengubah perlawanan. Kemampuannya mula disedari sejak berusia 11 tahun dan bermain mewakili skuad sekolah Dudley dan dia sangat diinginkan beberapa kelab seperti Wolverhampton Wanderers, Aston Villa, West Bromwich Albion dan Birmingham City.

Keadaan itu membuatkan pengetua sekolahnya berkata: “Saya baru melihat seorang budak berusia 11 tahun yang satu hari nanti bakal mewakili England.”

Di sebalik pelbagai usaha untuk memboleh­kannya bermain bersama kelab Midlands Wolves adalah pasukan yang paling mengharapkan khidmatnya Edwards memilih untuk bermain bersama skuad amatur United selepas menerima kunjungan Busby pada 31 Mei 1952.

Walaupun ketika itu Busby agak terdesak untuk menjual kelab berkenaan, Edwards berkata: “Manchester United adalah pasukan terhebat dunia. Saya sedia melakukan apa saja untuk bermain di kelab anda.”

Duncan Edwards Manchester United

Bentuk fizikalnya yang agak luar biasa berbanding rakan sebaya membuatkan Edwards digelar ‘manboy’ dan nama itulah yang disebut-sebut ketika beraksi di Liga Bola Sepak.

Dia mula muncul bersama skuad senior United pada usia 16 tahun 185 hari iaitu pada 4 April 1953. Ketika itu, United dijadual menentang Cardiff City.

Edwards mengikat kontrak selaku pemain profesional lapan bulan kemudian, pada sambutan hari lahir ke-17 sekali gus sah bergelar pemain United untuk musim 1953/54.

Walaupun diletakkan sebagai pemain pertahanan kiri pasukan, dia sebenarnya boleh dikerah untuk bermain di mana-mana posisi.

Sepanjang bergelar pemain, Edwards tidak pernah memberikan komitmen kurang daripada 100 peratus. Sikap positif yang dipamerkan di padang selaras dengan keinginannya untuk berjaya dalam hidup.

Ketika bercakap mengenai bola sepak, dia berkata: “Memang seronok apabila dipuji tetapi anda tidak boleh mengharapkan pujian sepanjang hidup anda. Peminat mudah melupakan kita dan saya tidak mahu menjadi seperti beberapa bekas pemain yang kini terpaksa hidup meminta-minta dan berharap ada orang yang masih mengingati anda.”

Itulah sebabnya dia muncul pemain pertama menggunakan sepenuhnya pengaruh yang ada pada dirinya. Dia sering menaja minuman dan barangan lain kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan.

Tackle Soccer This Way

Dia juga pernah menulis buku yang berjaya disiap­kan tidak lama sebelum kematiannya - ‘Tackle Soccer This Way.’

Di padang bola, kejayaannya cukup hebat. Pada usia 21 tahun, dia sudah memenangi tiga gelaran Piala Remaja, dua kejuaraan liga selain muncul di pentas final Piala FA.

Ketika dia bermain di pentas antarabangsa, Edwards muncul pemain termuda pernah dipilih England sepanjang abad ke-20 iaitu pada usia 18 tahun 183 hari.

Rekod itu kekal lebih 40 tahun hinggalah penyerang Liverpool Michael Owen menyarung jersi Three Lions pada Februari 1998.

Michael Owen youngest england player in world cup

Edwards meninggal dunia pada 21 Februari 1958 akibat kecederaan parah dialaminya berikutan nahas pesawat Munich walaupun dia berjuang mempertahankan sisa-sisa umurnya selama 14 hari.

Selepas kematiannya, pengurus England Walter Winterbottom berkata: “Semangat dan karakter Duncan Edwards melambangkan perjuangan bola sepak British sebenar.”

Ketika mayatnya dibawa pulang, lebih 5,000 peminat berbaris di sepanjang jalan di Dudley untuk menghormatinya. Mayatnya dikebumikan di kawasan perkuburan Queens Cross, Dudley, Midlands Barat.

Nama Duncan Edwards terus mekar di ingatan peminat bola sepak England dan sesiapa yang pernah melihatnya beraksi boleh dianggap bertuah.

Di pentas bola sepak ketika ini, satu-satunya pemain yang dianggap bayangan kepada Edwards ialah Wayne Rooney!

[Sumber]

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon