Tuesday, January 21, 2014

Selebriti-selebriti Terkenal Yang Meninggal Sebelum Tamat Penggambaran


Pada 30 November lalu, dunia dikejutkan dengan kematian bintang "Fast and Furious", Paul Walker, 40, selepas kereta yang dipandu temannya, Roger Rodas mengalami kemalangan dan terbakar dalam perjalanan pulang dari acara kebajikan yang dihadiri mereka di Valencia, California.

Paul Walker

Tragedi itu juga berlaku di saat Walker masih bercuti buat seketika dari sesi penggambaran filem ketujuh francais "Fast & Furious" yang sudah pun menyelesaikan separuh daripada penggambaran, menyebabkan produksi filem tersebut yang diarahkan oleh James Wan ("Insidious", "The Conjuring") terpaksa dihentikan buat seketika sebagai menghormati pemergian Walker, sekaligus mencari jalan penyelesaiannya.

Tapi ini bukan kali pertama sesebuah produksi terhenti seketika disebabkan pemergian bintangnya. Antara yang lainnya termasuk:

"The Imaginarium of Dr. Parnassus" (2009)

Heath Ledger - The Imaginarium of Dr. Parnassus

Ketika Heath Ledger menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 22 Januari 2008 akibat overdos pil preskripsi, dia sudah pun menamatkan penggambaran filem "The Dark Knight" tapi masih dalam penggambaran untuk filem "The Imaginarium of Doctor Parnassus" arahan Terry Gilliam.

Untuk menyelamatkan produksi, beberapa rakan pelakon Ledger, Johnny Depp, Jude Law dan Colin Farrell bersetuju untuk menghabiskannya untuk Ledger. Mujur filem itu merupakan sebuah filem fantasi, dan kehadiran ketiga-tiga pelakon itu dipersembahkan sebagai transformasi wataknya, Tony setiap kali dia mengembara ke alam mimpi.

"Shrek" (1998)

Mike Myers - Shrek

Sebelum Mike Myers diberikan tanggungjawab membuat lakon suara sebagai karakter titular animasi Shrek, peranan tersebut dipegang oleh bintang komedi "Saturday Night Live", Chris Farley. Malah dia sudah pun merakam dialog untuk sebahagian besar animasi berkenaan.

Namun begitu, Farley, 33, meninggal dunia selepas overdos dadah pada Disember 1997, dan rakannya Mike Meyers mengambil alih tugas tersebut.

"Dark Blood" (2012)

River Phoenix - Dark Blood

Abang kepada pelakon Joaquin Phoenix dan bintang kegilaan ramai wanita, River Phoenix, meninggal dunia akibat kegagalan jantung yang disebabkan oleh penyalahgunaan dadah pada tahun 1993. Kejadian tersebut berlaku di luar kelab milik Johnny Depp, Viper Room di Los Angeles.

Phoenix juga sebenarnya berada di LA untuk menamatkan penggambaran lokasi dalam filemnya, "Dark Blood" yang diarahkan oleh George Sluizer. Disebabkan kematiannya, filem tersebut tergantung begitu sahaja selama 19 tahun, sehinggalah Sluizer membuat keputusan untuk menayangkannya buat kali pertama pada tahun 2012 di Festival Filem Netherlands.

"The Crow" (1994)

Brandon Lee - The Crow

Brandon Lee mengalami nasib yang sama seperti bapanya, Bruce Lee apabila dia meninggal dunia sebelum waktunya.

Pada 31 Mac 1993, bintang berusia 28 tahun itu meninggal dunia di set penggambaran filem "The Crow" apabila sepucuk pistol rekaan kru prop yang sepatutnya tidak menyebabkan kecederaan benar-benar berfungsi dan mengenai abdomen Lee. Dia meninggal di tempat kejadian.

Selepas kematiannya, pihak produksi menggunakan beberapa pelakon lagak ngeri dan efek khas bagi menyelesaikan babak-babak Lee yang masih berbaki. Kematian itu pula diputuskan sebagai 'kemalangan tidak sengaja'.

"Giant" (1956)

James Dean - Giant

Berbeza dengan kematian para pelakon lain, James Dean sudah pun menamatkan penggambaran untuk filem "Giant" sebelum kemalangan yang meragut nyawanya pada tahun 1995 berlaku. Hanya proses suntingan suara sahaja yang masih belum diselesaikan.

Namun begitu, pelakon Nick Adams telah diupah untuk menjadi suara latar bagi watak Dean, disebabkan ada babak yang memerlukan wataknya Jett Rink bercakap dalam keadaan mabuk. Dikatakan Dean minum dengan banyak agar benar-benar mabuk untuk melakonkan babak itu, dan akhirnya menyebabkan buah butir ucapan itu tidak dapat didengari!

"Brainstorm" (1982)

Natalie Wood - Brainstorm

Kematian pelakon jelita Natalie Wood merupakan satu misteri apabila mayatnya ditemui di dalam air tidak lama selepas dia dilaporkan menghilangkan diri dari bot yang dinaikinya bersama suaminya, Robert Wagner, bintang gandingannya Christopher Walken dan kapten bot, Denis Davem.

Ketika kejadian tersebut berlaku pada 29 November 1981, Wood sebenarnya sedang bercuti seketika dari penggambaran filemnya, "Brainstorm" di mana dia melakonkan watak seorang saintis.

Pengarah filem tersebut, Douglas Trumball terpaksa menggunakan bantuan pelakon ganti untuk babak-babak yang tidak sempat Wood habiskan.

"Gladiator" (2000)

Oliver Reed - Gladiator

Ketika dia bercuti seketika dari penggambaran filem "Gladiator" arahan Ridley Scott, pelakon veteran Oliver Reed, 61, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Untuk menyelesaikan beberapa babak Reed sebagai si bekas hamba abdi bernama Proximus yang menjadi pelatih kepada watak Maximus (lakonan Russell Crowe), Scott telah menggunakan efek CGI.

"Twilight Zone: The Movie" (1983)

Vic Morrow - Twilight Zone The Movie

Seperti Brandon Lee, pelakon "Combat!", Vic Morrow juga meninggal dunia akibat kemalangan di lokasi penggambaran.

Pada Julai 1982, dia dan dua pelakon kanak-kanak, Myca Dinh Le dan Renee Shin yang berada dalam pelukannya meninggal dunia ketika sedang melakonkan babak yang membabitkan helikopter. Menurut laporan media, kemalangan tersebut berlaku apabila berlakunya letupan piroteknik yang menyebabkan helikopter tersebut jatuh terhempas ke arah mereka.

Babak tersebut terpaksa dikeluarkan dari filem.

BACA INI JUGA: Top 10 Peperangan Yang Bermula Dengan Pembohongan Amerika Syarikat

Sumber: Tupai.com.my

1 comment

  1. Assalammualaikum...sentiasa panas,

    bagus entry nie.. baru tahu brandon lee anak bruce lee..

    mselim3

    pls: brandon lee pun mati kat set pengambaran gak...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon