Friday, November 01, 2013

Kedutaan Australia Pusat Pengintipan Di Asia


Kedutaan Australia adalah sebahagian daripada rangkaian perisikan global diketuai Amerika Syarikat dan bergiat secara sulit memintas panggilan dan data di seluruh Asia termasuk misinya di Kuala Lumpur.

Australia

Kegiatan itu dilakukan oleh Direktorat Isyarat Pertahanan di kedutaan berkenaan tanpa pengetahuan kebanyakan diplomatnya, lapor Fairfax Media.

“Tindakan seperti itu bukan hanya melanggar keselamatan tetapi juga norma dan etika diplomatik serta bercanggah dengan semangat hubungan baik di antara negara” Marty Natalegawa, Menteri Luar Indonesia

“Fairfax Media diberitahu, maklumat dikumpul agensi itu dari kedutaan di Jakarta, Bangkok, Hanoi, Beijing dan Dili selain Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur dan Port Moresby serta tempat lain,” kata media itu.

Sebahagian butir-butir aktiviti berkenaan didedahkan dalam dokumen Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika (NSA) yang dibocorkan bekas perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA), Edward Snowden dan disiarkan akhbar Jerman, Der Spiegel.

Program perisikan itu diberi nama ‘STATEROOM’ dan dijalankan di kedutaan dan konsulat Amerika serta sekutunya, Australia, Britain dan Kanada.

Bekas pegawai perisikan Australia memberitahu Fairfax Media, operasi risikan itu dilakukan di seluruh Asia dan Pasifik.

Laporan lain mengatakan, pengintipan itu dibantu oleh satu jabatan rahsia NSA, Perkhidmatan Pengutipan Khas (SCS) yang memasang peralatan bertujuan mengintip di bangunan diplomatik 80 negara asing termasuk Kanada.

Dokumen Snowden dan Der Spiegel mendedahkan, peralatan itu berupaya memantau isyarat satelit, Wi-Fi, WiMAX, GSM dan CDMA.

China dan Indonesia yang paling awal memberi reaksi dengan menuntut Amerika memberi penjelasan mengenai laporan dari media Australia itu.

“China amat bimbang dengan laporan ini dan menuntut Amerika memberi penjelasan,” kata jurucakap Kementerian Luarnya, Hua Chunying di Beijing.

Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa berkata Jakarta tidak menerima dan membantah sekeras-kerasnya kewujudan peralatan merisik di kedutaan Amerika di ibu negara itu.

“Perlu ditekankan, jika disahkan, tindakan seperti itu bukan hanya melanggar keselamatan tetapi juga norma dan etika diplomatik serta bercanggah dengan semangat hubungan baik antara negara,” katanya.

Wisma Putra Dapat Penjelasan Duta AS

Wisma Putra telah mendapatkan penjelasan daripada Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Joseph Y. Yun berhubung dakwaan mengenai kegiatan pengintipan di kedutaan negara itu di sini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini berkata Yun menyatakan semua kegiatan pengawasan yang dijalankan oleh AS di seluruh dunia adalah bagi tujuan keselamatan.

Ini khususnya untuk mengenal pasti kewujudan ancaman seperti keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran.

Isu itu timbul berikutan laporan akhabar mengenai dakwaan oleh pemberi maklumat perisikan Edward Joseph Snowden yang mendedahkan bahawa AS mempunyai 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk di kedutaan AS di Kuala Lumpur.

“Duta itu menyatakan Kedutaan AS telah menerima arahan daripada Washington D.C. untuk menyemak semula skop kerjanya dalam perkara itu,” kata Anifah dalam kenyataan.

Menteri itu berkata Duta Amerika itu turut memberi jaminan bahawa privasi individu tidak akan terjejas.

“Wisma Putra sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa relevan Malaysia berhubung perkara ini dan sekiranya terdapat bukti sahih, kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Wisma Putra memberi jaminan keselamatan dan kedaulatan Malaysia adalah menjadi keutamaan kerajaan Malaysia,” kata Anifah. -agensi/bernama

BACA INI JUGA: Malaysia Cipta Pesawat Pengintip SMART-V

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon