Tuesday, November 19, 2013

Faizul Sani Hadiahkan RM100,000 Kepada Keluarga!


Tidak keterlaluan, pemilihan Mohd. Faizul Sani atau Faizul menjuarai pertandingan realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) adalah keputusan yang tepat.

Mohd. Faizul Sani  - Juara-Akademi-Fantasia-2013
Mohd. Faizul Sani.

Tidak perlu dimomokkan dengan kesempitan hidup yang dilalui oleh peserta berasal dari Tawau, Sabah itu, Faizul membuktikan dia sememangnya layak menjuarai pertandingan itu berkat suara hebat yang dimiliki. Sementelah, dia juga berhabis tenaga memerah keringat berjuang sehingga ke peringkat final.

Mungkin juga ia satu rezeki industri bakal menerima satu lagi kehadiran penyanyi pelapis baharu yang bakal menyinar selepas penyanyi Hafiz, Adira dan Stacy yang juga lahir daripada platform yang sama iaitu Akademi Fantasia.

Faizul yang asalnya cuma pekebun di Sabah mengakui tidak pernah terfikir langsung untuk menyertai uji bakat program tersebut.

"Saya tidak pernah terfikir langsung untuk menyertai pertandingan ini. Bukan apa, saya seorang yang sangat pemalu, tetapi kawan-kawan saya dan adik beradik kata saya ada bakat menyanyi dan paksa saya pergi uji bakat AF2013.

"Daripada situ saya mula terfikir ibu bapa saya makin tua. Ibu saya, Shallena Langkab, 56, ada masalah jangkitan paru-paru dan dia juga tidak boleh berjalan.

"Bapa iaitu Sany Salun, 61, pula baru sahaja lepas buat pembedahan pintasan jantung (bypass) dan tidak begitu kuat untuk bekerja. Jadi saya mula terfikir untuk bantu mereka mengubah nasib," luahnya yang berjaya memperoleh wang tunai RM100,000, kontrak rakaman bernilai RM100,000 dan trofi sumbangan Astro di atas kemenangannya.

Tidak terfikir langsung untuk mengejar status glamor, anak kedua daripada lima beradik itu menegaskan, dia ingin menghadiahkan keseluruhan wang kemenangannya kepada kedua ibu bapanya.

Jujur bicara Faizul lagi, dia juga tidak mahu satu sen pun duit RM100,000 yang dimenanginya.

"Saya pegang pada niat mula-mula masuk AF2013 iaitu ingin membantu keluarga. Jadi, wang kemenangan itu memang akan diberikan semuanya pada kedua ibu bapa saya. Tetapi kalau mereka mahu beri sedikit wang itu saya akan terima," jelasnya sambil ketawa.

Mengulas mengenai hala tujunya selepas memenangi program tersebut, Faizul yang mengagumi bakat penyanyi Faizal Tahir berhasrat untuk menjadi penyanyi bukan tipikal untuk industri muzik.

Mohd. Faizul Sani  - Juara-Akademi-Fantasia-2013
Berkat vokal mantapnya, Faizul dijulang 
sebagai juara Akademi Fantasia 2013.

Bagaimanapun, dia berjanji akan sentiasa menjadi diri sendiri dan tidak akan sesekali menjadi seperti kaduk naik junjung (menjadi lupa diri dan asal usul).

"Mudah-mudahan saya sentiasa jadi diri sendiri. Dari segi muzik yang akan dibawa saya sukakan sesuatu yang eksperimental. Mungkin ada risiko untuk peminat menerimanya, tetapi saya yakin dengan hala tuju selepas ini di bawah pengurusan pihak Astro," ulasnya yang berjaya mengikis perasaan malu selama 10 minggu berada dalam AF2013.

Pada pertandingan tersebut, Faizul menyanyikan lagu baharunya berjudul Sepasang Sayap dan Hanyut yang dipopularkan oleh Faizal Tahir.

Faizul berjaya menewaskan calon kegemaran iaitu Azheal (Mohd. Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi) yang diundi masuk lima hari menjelang final AF2013.

Selain Azheal yang mengungguli tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro, tempat ketiga AF2013 pula dimenangi oleh Nadia Amira Othman atau Amira.

Amira berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000 dan trofi sumbangan Astro manakala tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing dimenangi oleh Siti Ruhailah Hussein atau Indah, Nur Nabila Mohd. Razali atau Nabila dan Nur Aishah Aziz atau Aishah.

Sementara itu, Azheal memberitahu, tidak berasa kecewa dengan kemenangan tempat kedua yang dimenangi mereka.

Menganggap semuanya rezeki, ujar salah seorang anggota duo itu iaitu Azhar, sudah berjaya ke peringkat final AF2013 juga sudah berbaloi buat mereka.

"Ramai yang buat andaian jika peserta yang diserap masuk ke Akademi Fantasia akan dinobatkan sebagai juara. Kami tidak fikir begitu. Azheal dinobatkan tempat kedua adalah kerana rezeki. Kami tidak rasa kecewa malah berbangga kemenangan itu diberikan buat Faizul yang kami anggap abang dalam AF2013," ungkap Azhar.

Harapan Hal Husaini pula, agar lagu baharu Azheal iaitu Hentian Terakhir yang dicipta oleh Damian Mikhail daripada kumpulan VE itu berjaya diterima oleh peminat.

Sebaliknya, bagi Amira pula, dia tidak menyangka menjadi pemenang tempat ketiga kerana berasakan kerap dikritik oleh juri-juri AF2013 iaitu Roslan Aziz, Shahrifah Amani dan Edry Abdul Halim.

"Berada di final pun saya tidak sangka langsung. Sebabnya, saya antara yang kerap dikritik juri. Bagaimanapun, saya anggap komen-komen juri sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang. Alhamdulillah rezeki tempat ketiga berpihak kepada saya," ulas peserta berusia 20 tahun, berasal dari Johor itu.

Dalam pada itu, pengilham (Inspirer) Datuk Siti Nurhaliza pula menganggap keputusan kemenangan AF2013 adalah tepat.

Kata Siti: "Keputusan bagi pemenang juara, tempat kedua dan ketiga adalah tepat berpandukan pada prestasi yang ditunjukkan mereka pada konsert final AF2013".

Keseluruhan konsert final AF2013 yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur, Ahad lalu, mempamerkan persembahan bertenaga daripada keenam-enam pelajar.

Rata-rata ramai yang menarik nafas lega tatkala Nabila, peserta yang sering menerima kritikan pedas daripada juri kerana vokalnya yang disifat terlalu lemah diumumkan berada di tempat kelima.

Duo Azheal
Dijangka menjadi juara, duo Azheal hanya diundi sebagai naib juara.

Biarpun persembahan bertenaga ditunjukkan setiap peserta di konsert final AF2013, namun persembahan mereka dicacatkan dengan beberapa prop yang dianggap seperti berada dalam tahun 80-an. Ada yang beranggapan penggunaan prop lilin dan lampu-lampu yang bergantungan tidak lagi relevan kerana ia seolah-olah seperti melihat persembahan pada era 80-an.

Padahal ia adalah konsert final AF2013 bukannya konsert final AF80-an.

Semua senarai pemenang diumumkan oleh pengacara Zizan Razak dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).

Istimewanya Konsert Akhir Akademi Fantasia 2013 itu turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh pengilham terakhir iaitu Datuk Siti Nurhaliza.

AF2013 memperkenalkan konsep baharu dengan menampilkan tiga pengilham terkenal iaitu Faizal Tahir, Melly Goslow dan Datuk Siti Nurhaliza.

Tiga pengilham tersebut menyalurkan pengalaman mereka kepada pelajar-pelajar AF2013.

Sumber: Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon