Thursday, November 14, 2013

Awas! Sistem Operasi Android Paling Mudah Di Serang Virus!


Kajian syarikat keselamatan online, Trend Micro menunjukkan sistem operasi Android adalah platform paling mudah diserang virus jenis Malware berbanding platform utama yang lain di pasaran.

Android Virus

Menurut Pengurus Pemasaran Produk Asia Pasifiknya, Andrew Tan, kajian Trend Micro juga menunjukkan peningkatan serangan terhadap platform terbabit meningkat tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.

“Ia diburukkan lagi dengan sikap pengguna peranti berasaskan Android yang mana hanya 19 peratus daripada mereka memuat turun perisian keselamatan ditawarkan vendor,” katanya kepada IT@Metro selepas melancarkan produk baru, Trend Micro Titanium Maximum Security 2014.

Katanya, pengguna telefon pintar sendiri boleh menyaksikan banyak serangan Malware dalam tempoh setahun yang dipercayai didalangi skim tertentu menyasarkan sistem operasi Android.

Terdapat laporan pada April lalu menunjukkan peningkatan 614 peratus serangan Malware dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac 2013 dengan serangan ke atas Android merangkumi 92 peratus.

Bagaimanapun, ia dilihat bukan perkara mengejutkan kerana Android mendominasi pasaran telefon pintar iaitu sekitar 75 peratus selain ia menggunakan platform terbuka.

Sementara itu, Trend Micro memaklumkan apa jua anda lakukan di dunia ‘online’ pasti meninggalkan kesan yang memungkinkan penjenayah siber mengesan pergerakan anda.

Menurut Pengarah Kanan Perniagaan Pengguna Pusat Jualan dan Pemasaran APACnya, Terrence Tang, kajian lain yang dikeluarkan jelas menunjukkan 69 peratus rakyat Malaysia mendedahkan tarikh lahir mereka dalam laman sosial.

“Sejumlah 47 peratus daripada angka itu pula juga melakukan ‘check in’ ketika berada lokasi mereka.

“Ia sekali gus mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri,” katanya.

Dengan lebih separuh daripada angka terbabit menunjukkan mereka mengemaskini sekurang-kurangnya satu status setiap hari, tahap keselamatan kehidupan rakyat Malaysia juga boleh dikatakan membimbangkan apabila pergerakan yang mudah dikesan setiap hari di Internet.

Menyedari hakikat sosial media terbabit, Trend Micro mula melancarkan rumusan Trend Micro Titanium Maximum Security 2014 iaitu teknologi perlindungan rangkaian sosial unik yang memelihara tetapan peribadi anda dengan melindungi maklumat sepatutnya menjadi rahsia.

Trend Micro Titanium Maximum Security 2014 adalah satu perisian lengkap dengan melindungi ancaman siber serta menghalang pautan dalam laman web yang berbahaya selain melindungi lamansosial, emel dan mesej pantas.

Ia memelihara tetapan biasa dalam Twitter, Google+ dan Facebook untuk mana-mana PC dan Mac selain boleh dipindahkan secara mudah alih dengan versi mudah alih.

Sumber: Harian Metro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon